Isnin, 17 Oktober 2011

MAHUKAH JADI ORANG BERJIWA BESAR?

Assalamualaikum

Orang yang berjiwa besar adalah orang yang bercita-cita besar. Orang seperti ini memiliki semangat yang besar. Baginya tiada yang mustahil (dengan izinNya) untuk dicapai. 

Ibn Rajab berkata; "Nilai seseorang ditentukan oleh cita-citanya."

Bagi sesetengah pihak menganggap, cita-cita seseorang (wanita atau lelaki) terhenti setelah berkahwin dan berkeluarga. Bermakna, setelah bergelar suami/isteri, tiada lagi cita-cita yang diperjuangkan melainkan hanya untuk keluarga. Hanya kerana tanggungjawab, ia telah mengikat diri daripada terus berjuang lebih dari itu. Tanggapan seperti ini adalah salah dan merupakan pandangan golongan yang berjiwa 'kecil'.

Apabila Allah SWT suka kepada orang yang bersemangat tinggi, Allah SWt membenci orang yang lemah semangat. Setiap kali peluang kejayaan menghampiri orang ini, ia melepaskan begitu sahaja. Alasan yang sering dikatakan adalah; 'Ini mustahil dilakukan!' - 'Ia tidak mungkin akan berlaku!'

Maka, rata-rata kita perhatikan, ramai yang memilih satu tujuan untuk melengkapi cita-cita dan impian yang dikejar. Misalannya, para wanita lebih cenderung untuk mengejar cita-cita membina kerjaya, dan sanggup mengetepikan hasrat untuk berkahwin. Begitulah sebaliknya, bagi ibubapa yang mempunyai tanggungjawab pada keluarganya. 

Sikap penuh semangat selalu dianjurkan setiap saat. Walau sesempit mana pun situasi yang menghimpit, kita tetap tidak boleh hilang semangat.
"I know I'm waiting,
Waiting for something,
Something to happen to me,
But this waiting comes with.. Trials and Challenges
Nothing in LIFE is free"    -Make Me Strong; Sami Yusuf-
 Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Kejarlah apa yang berguna untukmu, minta bantuan daripada Allah dan jangan lemah. Apabila ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: 'Kalau begini, nescaya tidak akan begitu.' Akan tetapi katakanlah: 'Ini takdir Allah untukku.' Sesungguhnya 'KALAU' akan membuka pintu syaitan." (Riwayat Muslim)
Hadis diatas menunjukkan sifat orang yang takut akan risiko. Sedangkan, untuk memperolehi sesuatu kejayaan, perlulah menghadapi risiko. 'Nothing in LIFE is free'. Risiko dalam mencapai kejayaan itulah dikatakan sebagai UJIAN (Trails and Challenges). Bagi orang yang berjiwa besar, tidak akan kalah dan tidak akan putus asa dengan ujian-ujian yang mendatang. Kerana itu, Allah SWT mengajarkan kepada kita erti tawakkal.

'Bagaimana saya mahu letakkan niat tawakkal itu pada tempat yang sepatutnya di saat saya berdepan dengan ketakutan untuk menerima risiko dalam perjuangan ini?'

Salah satu cara wujudnya rasa iman adalah sikap hidup yang memandang Allah SWT sebagai tempat menyandarkan diri dan menggantungkan harapan.
"Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu" - Al-Ikhlas:2 -
google image

Dengan itu, kesan keimanan adalah sikap husnuzhan (bersangka baik)  kepada Allah SWT dan dilarang berputus asa apabila berhadapan dengan kesusahan yang meresahkan. Maka, orang yang berjiwa besar sentiasa memiliki semangat yang besar untuk melahirkan kejayaan yang besar dalam apa jua bidang yang diceburi. Namun, apabila cita-cita/impian seseorang itu hanya untuk kebaikan dirinya, maka dia akan menjadi seorang yang ego. Jika cita-cita itu meluas sehingga meliputi sehingga seluruh rakyat di negerinya, maka ia seorang nasionalis. Akan tetapi, jika cita-citany lebih tinggi lagi sehingga meliputi seluruh manusia di muka bumi ini kerana Allah Taala, maka ia seorang wali Allah yang sangat disegani.

Mahukah kita jadi orang yang berjiwa besar?

Rujukan:
Solusi isu no.35 - 'Sihat Tanpa Maksiat'
Al-Quran dan Terjemahan
'Hadirkan Allah di Hatimu' - Muhammad Sholokhin

Tiada ulasan:

MENCAPAI JIWA YANG TENANG DI TENGAH HIRUK PIKUK KEHIDUPAN

Hakikat kehidupan dunia yang fana ini adalah untuk menguji setiap makhluk berjiwa sebelum kembali ke alam akhirat yang abadi. Sebagaimana fi...