Isnin, 9 Oktober 2023

AKU & IIUM




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Dah lama aku tak luangkan masa untuk coretkan sesuatu di sini. Ruangan ini dulunya jadi tempat aku aktif menulis. Satu ketika aku masih menjadi pelajar dulu. Minda aku aktif memikir dan menganalisis. Macam-macam. Iyalah. Daripada seorang teknologist, bertukar menjadi social scientist. Tiba-tiba rasa 'semak' dengan dunia yang semuanya mahukan bukti nyata. Sedangkan, yang ghaib itu pasti, bahkan wajib untuk diyakini. Rukun Iman!

Entahlah.... (perkataan anak aku) Dah lama sangat tak menulis selaras dengan kata hati.

Sekarang, minda aku pun aktif memikir dan menganalisis. Tapi dengan approach yang lebih baharu untuk diri aku. Nak tahu kenapa?

Dulu, aku buat kerja social scientist, dengan keadaan diri aku penuh JUDGEMENTAL! Sedih kan? Konon nak jadi wakil social scientist Islam, nak bantu Islam. Tapi, mata aku, hati aku - banyak tools menghakimi. Sekarang ini, dah banyak berubah. Kehendak ALLAH. Cerita Aku & IIUM buat aku sedar tentang diri aku yang sebenar. Kenal diri, kenal ALLAH, kenal kehidupan. Then, barulah aku dapat mengenal orang lain, memahami situasi luar dengan baik. Yang paling penting, tahu untuk menyerahkan diri dan urusan hidup ini kepada yang MAHA HAK.

Huh!

Bercakap tentang hal tak nampak dalam diri. Benda ini tak boleh buat main, dan tak boleh ambil mudah. Nak tahu kenapa?

Sebab, kita ada 'MUSUH' yang pasti ada walau baik macam mana pun diri kita.

Satu, iblis syaitan.
Dua, nafsu diri.

Dulunya, aku cuma tahu. Tapi tak pernah memahami. Dan kemudian, aku mengalami. Yes! Melalui ujian hidup (senyum!). Semua ini persiapan untuk hari 'esok'. Sama ada di dunia nyata atau di alam sana. Aku nak kembali dengan diri aku yang baharu! Lagi dua tahun, usia 40 bakal datang. InshaAllah kalau Allah masih berkati umur ini, aku bakal melalui usia 40 tahun. Pantas kan waktu ini berjalan?!

Aku sebenarnya nak menulis panjang lagi. Tapi, jam dah pukul 7 pagi. Waktu aku mulakan persiapan untuk Dhuha ke sekolah dan aku sendiri ada meeting pagi ini. Alhamdulillah. Rutin pagi begini buat aku sentiasa rasa nak bersyukur. Kerana Aku & IIUM, buat aku rasa kehidupan. Buat aku lebih bersemangat nak bangunkan diri aku. Bukan senang nak bangkit dari kegelapan. Bangkit dari kehidupan yang hampir hancur! (Senyum puas)

Terima kasih ya Allah!
Terima kasih semua (love)

Satu perkara yang hadir usai solat subuh tadi. Aku sedari, hati aku masih ada marah. Masih ada benci. Tapi, kalau nak jadi hamba Allah yang disayangi, tak boleh ada marah dan benci yang kotorkan diri. Kesucian sayang dan cinta Allah tak boleh menghuni tempat yang kotor. 

Ya Allah, aku tak boleh nak maafkan. Aku tak boleh menipu diri aku. Aku masih marah, dan makin aku membenci. Tapi rahmat dan cinta Kau lebih besar. Jauhi lah aku dan keluarga ku dari mereka yang menjadi punca kemarahan dan kebencian dalam diri aku. Aku mohon, ya ALLAH!

Amin.

Selasa, 7 Jun 2022

APA YANG AKU KEHILANGAN ADALAH...

 Assalamualaikum wrt wbt

Hampir tiga bulan berlalu. Entry lepas aku buka dan ulang membacanya. Cuba memahami emosi dan kehendak jiwa aku ketika itu dan cuba mencari makna. Sekali lagi, aku cuba mencatat sesuatu yang barangkali menjadi manfaat buat diri ku kelak, dan mungkin untuk mereka yang sudi membaca. Moga Allah terus pandu hati kita untuk memahami ilmu ini dengan penuh rasa kehambaan. Allahu ya 'Alim.

Tika ini aku menikmati satu rasa yang indah. Bukan bererti hidup ini bebas ujian dan cabaran hidup. Bahkan cabaran itu makin menduga. Akan tetapi, apa yang aku alami sekarang adalah satu ilmu dan kefahaman tentang satu rasa - sesuatu yang aku kehilangan sebelum ini.

TENANG

Tenang yang membawa diri ini lebih memahami tentang hakikat kehidupan.

Tenang yang membawa diri ini lebih memahami tentang tujuan dan hikmah ujian dan cabaran hidup.

Tenang yang membawa aku kembali mengenal Tuhan ku dan mengenal diri ku hanyalah hamba. Tidak ada daya dan kuasa ku untuk aku mengatur jalan kehidupan ini mengikut kehendak ku. Kehendak ku ketika itu adalah membalikan semua ujian dan cabaran hidup ini, termasuk ujian rasa kehilangan itu dengan cara MENYALAHKAN atau mencari SALAH SIAPA?! Tentunya tenang hilang, yang ada cuma sakit.

Rasa sakit membuat diri aku terus hilang dan hilang, sehingga aku tiada pilihan lain melainkan terPAKSA memaksa diri untuk surrender. Surrender membuatkan aku belajar untuk 'akur' biarpun jiwa masih dan terus mengasak untuk menuntut keadilan dan kebenaran. Surrender membuatkan aku terus bertahan melawan rasa sakit untuk terus berada di titik NULL.

Jiwa yang memberontak hanya untuk menuntut kebenaran - adalah berpunca dari rasa EGO diri. EGO means - Edging GOD Out. Allahu akbar! Benar sekali. Makin aku berusaha untuk bertahan dan pertahankan, makin jauh rasa aku dengan Allah. Di sinilah punca kenapa aku tidak lagi merasa aku yang dulu, kenapa aku tidak lagi pandai menulis macam dulu. Bertahan dan pertahan dengan rasa sakit itu menjadikan kesakitan itu berganda. Apa yang terjadi adalah, kesakitan yang berganda itu telah membuatkan aku sudah tiada pilihan lain melainkan berhenti dan membebaskan semuanya. Tetap berada di titik NULL, surrender dengan Allah. Aku sangka aku berilmu dan aku cuba bertahan dan pertahankan atas alasan aku berILMU dan beramanah dengan ilmu, mashaAllah.. Allah telah mengajar ku untuk kembalikan semuanya pada NYA dan kembali tunduk sepenuhnya kepada Allah pemilik mutlak ILMU. Allah telah mengajar aku untuk tidak malu untuk bangun dan bertatih kembali. Moga dengan kebangkitan kali ini beserta rasa penuh tawaduk dan rasa hamba hingga akhir hayat.

Pada zahir, kebenaran itu jelas dan kebatilan itu kelihatan samar. Namun, jika Allah tidak mengizinkan benar itu belum lagi menang hanya kerana hati ini penuh EGO, kebatilan tetap kelihatan 'menang'. Rasa tenang itu telah memberi peluang pada diri ku mengenal khilaf diri yang sarat dengan mazmumah termasuk ego. Ujian ini menjelaskan pada diri ku yang dalam diri ku terpikul satu sifat mazmumah ini yang sebenarnya menghalang aku untuk memahami ilmu-ilmu Allah yang seterusnya. Hebatnya aturan Allah.

Nafas aku sedut dalam dalam. Aku menyedari setiap rasa yang hadir, dan aku merasa nikmat tenang itu.

Allah...

Dunia ini tempat singgahan. Tempat penuh ujian dan cabaran. Dimanakah yang aku katakan aku berILMU dan beramanah dengan ilmu jika aku gagal menikmati rasa tenang. Tanpa tenang, aku sebenarnya kehilangan semuanya meskipun Allah sedang mengirimkan nikmat yang melimpah ruah pada kehidupan ini.

Ya Tuhan, terima kasih atas semua ini. Terima kasih atas ujian kehilangan ini. Kerananya, aku kembali bertemu dengan kehidupan yang lebih bermakna. InshaAllah.

Selamat malam, semua!

Rabu, 30 Mac 2022

HILANG DALAM PENCARIAN

Assalamualaikum

Hampir 3 tahun pengembaraan aku dalam dunia akademik. Sejak itu jugalah aku seperti hilang dalam pencarian arah tuju hidupku. 3 tahun aku hilang arah, aku masih tidak tahu dari mana harus aku mulai.

3 tahun berlalu, penuh cerita suka duka kehidupan ini. Pelbagai warna emosi diri serta perubahan drastik corak hidup setelah bergelar isteri dan ibu bekerjaya banyak mengubah cara pandang aku terhadap hidup ini. Aku menulis entry ini bukan untuk mengulang sketsa hidup yang telah berlalu. Aku menulis ini adalah untuk mencari diri ku kembali.

Aku dahulunya sangat suka menulis.
Akal aku tak biasa diam membatu tanpa memikirkan judul penulisan baharu walaupun sekadar entry di blog.
Jiwa aku bebas mengembara mencari dan menerima ilmu Allah yang Maha Luas.
Aku terlalu cintakan ILMU

Tapi kini, bukan bererti aku tidak lagi pencinta ILMU
Cuma, aku tidak tahu dimanakah silapku sehingga aku yang dulunya adalah diri yang sarat dengan idea-idea untuk menulis. Aku bersemangat nak menghasilkan sesuatu untuk manfaat ramai. 
Aku tidak lagi aku yang dulu. Aku malah tidak tahu bagaimana untuk menulis. KELU.

Kenapa sampai begini aku berubah?
Aku merasakan ujian kehilangan ini adalah ujian yang cukup berat untuk ditanggung. Allah seolah beri aku ujian dalam nikmatNya yang tidak terhitung. Nikmat yang tak mampu untuk aku dustakan. Apakah ini cagarannya? Menikmati 'kesenangan' materi, tapi aku 'ketandusan' jiwa.

Malam ini, sedar mengetuk pintu hati ku. 

Hati merasa satu kehilangan yang cukup besar. Tapi, akal tak mampu tercapai apa dan bagaimanakah kehilangan itu terjadi? Inilah yang dikatakan ujian dalam nikmat itu sangat berat untuk ditanggung. Biarlah diuji dengan kekurangan materinya, tapi jiwa sentiasa membangun. Puas merasa kaya jiwa!

Air mata hanya mampu mengalir, hati meronta minta dibantu. Ya Allah... bawalah kembali aku ke dunia jiwa yang membangun, cintakan ILMU. Aku terlalu leka mengejar kesempurnaan hidup dari manusia. Aku penat! Ribuan ringgit aku habiskan, kerana aku sangka aku hilang 'jiwa' itu dek perbuatan manusia lain terhadapku. Aku memaksa diri kembali kepada NULL.

KOSONG

Aku tak mampu merancang masa depan hidupku. Tapi aku tak biasa menunggu mengharap Allah mengubah takdirku. Aku terlalu rindukan sesuatu. Aku rindukan ILMU yang membangunkan jiwa, diri dan kehidupan ku. Aku rasa sangat berdosa. Tidak mampu beramanah dengan ILMU yang Allah izinkan untuk faham dan menjiwainya, dulu.... Aku berdosa kerana tidak mampu untuk memahaminya, malah aku tidak mampu untuk mengulangkaji dan menulis tentangnya lagi. 

Hati aku tersentak. Apakah Allah menarik berkah atas apa yang Allah pernah izinkan untukku dulu? Allahu, Ya Tuhan. Kasihanilah diriku.

Malam ini, aku menangis sepuasnya. Aku berdosa kerana aku terlalu leka dengan dunia. Aku tak tahu dari mana harus aku mulai? Doa yang bagaimana harus aku pinta? Aku KELU.

Ya Allah, ampunilah dosaku
Tunjukilah aku jalan kembali, jalan yang benar...

Rabu, 30 Ogos 2017

PERJALANAN PHD MENJADIKAN AKU SEORANG INSAN

Tanggal 10 Ogos yang lalu, saya menjalani peringkat terakhir pengajian PhD saya iaitu viva-voce. Gementarnya hanya Tuhan saja yang tahu. Dua minggu sebelum, tarikh menduduki viva-voce telah diumumkan. Persediaan awal semasa saya masih di kampung ialah saya hanya mampu memperbanyakkan waktu saya dengan yang Maha Pemberi Ilmu. Untuk menatap hasil tulisan dalam tesis, saya tak mampu. Dalam waktu kecemasan sebeginilah, ada saja ujian yang datang menduga. Dugaan saya sebagai seorang anak, kakak dan adik kepada ahli keluarga saya. Dugaan saya sebagai seorang teman kepada sahabat-sahabat saya. Dugaan saya sebagai seorang murid kepada guru-guru saya. Betapa berkecamuknya fikiran saya sehinggakan peristiwa 3 dan 4 tahun lalu pun boleh diulang tayang di minda lantas mengusik emosi mencetus syak wasangka saya terhadap semua orang. Ia berlanjutan sehinggalah petang sebelum hari viva. Allah~

Saat itu, sama seperti waktu-waktu saya hadapi kecemasan sepanjang saya bergelar pelajar - anak murid kepada guru yang saya amat kasihi, Dr Sukainah. Kekusutan hati ini walau disorok kemas pasti dapat dirasai oleh naluri seorang guru yang mursyid. Dengan itu, segala lelah saya luahkan. Saya dapat bersemuka dan memohon restu segala ilmu yang dicurahkan - dari hati-ke-hati.  Akhirnya, kata-kata beliau yang dapat saya ‘tangkap’ dan bersemat dalam hati saya ialah ‘Nora, jangan takut kerana blank! Kerana dengan kata blank itu Nora telah letakkan buruk sangka kepada Allah. Mintalah bantuan Allah supaya dibukakan pintu ilmu. InsyaAllah semoga semuanya dipermudahkan Allah SWT’.

Sesudah pertemuan itu, saya betul-betul letakkan segala keyakinan saya kepada Allah SWT. Masa yang berbaki, saya perbetulkan hujahan berdasarkan soalan-soalan past year serta hot spot questions dengan bantuan pemeriksa lakonan, Hidayah. (Jazakillahu khair jaza’)

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Wadud, Ya Jami’ – Semoga Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tautkan hati-hati panel pemeriksa

Terima kasih sahabat, Kak Norazita atas saranan mengamalkan zikir ini. Saat mental dan fizikal diasak teruk dengan ujian derita sebelum derita sebenar tiba, zikir inilah yang saya mampu amalkan. Ya. Saya akui, bukan mudah nak meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah dengan sifat lemahnya iman insan seperti saya. Tapi, tanpa semua ini saya percaya saya pasti tak akan merasai makna meletakkan keyakinan 100% kepada yang Maha Esa. Walaupun tidak sempurna, sekurang-kurang usaha ke arah itu telah wujud.

Sekitar jam 11 pagi, satu lafaz yang benar-benar membuatkan air mata saya mengalir mensyukuri hikmat dan nikmat Allah yang amat menakjubkan. ‘Anda berjaya!’ Subhanallah Alhamdulillah. Saya menangis bukan berkehendakkan pada keputusan itu. Saya menangis kerana benar-benar merasai kasih sayang-Nya. Segala syak wasangka saya sebelum ini telah membuatkan jiwa saya menderita kerana saya telah meragui Keagungan dan Kekuasaan Allah Taala, tanpa saya sedar! Apa lagi yang saya mahu dalam hidup ini, dengan apa yang saya lalui sepanjang menjalani kehidupan sebagai pelajar PhD penuh dengan onak duri dan pahit getir, Allah balas dengan kenikmatan dengan sekelip mata atas Kehendak-Nya. Seusai sesi viva hari itu, sekali lagi saya dapat mendengar kata-kata keramat dari guru saya yang saya kasihi, Prof Muhammad Syukri; ‘Dah tak nervous kan? (Beliau tersenyum pada saya) Ingat, jangan derita sebelum derita sebenar tiba.’ Saat itu, saya merasa sangat bahagia. Allah~

Ya Allah Ya Wadud – Kau Maha Mencintai

PhD itu bukanlah hanya kerana pencapaian, bukan juga kerana status. PhD itu satu perjalanan. Perjalanan mencari ilmu. Ilmu dalam menyiapkan satu kajian dalam bentuk tesis untuk dimanfaatkan, serta ilmu dalam mempersiapkan diri menjadi sebaik-baik hamba kepada Sang Pemilik Ilmu.

Kepada teman dan sahabat yang masih berusaha menyelesaikan pengajian anda, dengan rendah hati saya kongsi satu tips mudah untuk mengakhiri perjalanan PhD dengan penuh bermakna.

Tips Tesis ‘SIAP dan BERKUALITI’

Harus diingat, hanya tesis yang siap sahaja yang layak diserahkan untuk dinilai. Untuk hasilkan tesis yang siap pula saya amalkan tiga jenis pantang. Tapi cukupkah dengan hanya SIAP? Bagaimana pula dengan KUALITI? Inilah yang membezakan tujuan dan matlamat kita sebagai pejuang ilmu Allah atau sekadar mendapat segulung ijazah. Usah kita nilai orang lain, tapi sebaiknya kita nilai diri kita sendiri sebagai tanda kita seorang yang bijaksana.

Berkualiti di sini bukanlah bermakna kajian dan tesis yang kita hasilkan itu wajib power! Atau berkualiti yang menunjukkan bahawa penyelidik itu mesti bijak. Tidak sama sekali. Kefahaman kualiti cara ini adalah mengikut kefahaman konvensional yang mentakrifkan kualiti itu terbatas pada kemampuan fizikal atau material semata-mata. Sebaliknya dengan kefahaman berasaskan Islam, kualiti yang boleh kita manfaatkan dalam menyempurnakan kajian dan penulisan tesis mempunyai makna yang sangat luas. Kualiti yang boleh dilihat dari sudut kepuasan. Kepuasan kita sebagai penyelidik yang menghasilkan tesis yang sempurna dengan berusaha sehabis baik; kepuasan penyelia yang menjadi pendidik dan pembimbing bukan sahaja berjaya memandu anak didiknya sehingga selesai PhD, tapi yang lebih bermakna dapat melahirkan anak didik yang berguna dunia akhirat; kepuasan pemeriksa yang menilai hasil kerja yang dipersembahkan dalam tesis dan secara oral serta keperibadian diri penyelidik; kepuasan yang bakal diterima oleh seluruh masyarakat sebagai kelompok utama yang mendapat sumbangan dari hasil kajian kita dan yang paling penting kepuasan dari sudut redha dan restu Allah – Sang Pemilik Ilmu.

Jadi, selagi mana manusia itu berakal dan boleh berfikir dengan baik, manusia itu sebenarnya bijak. Semua orang ada kebijaksanaan masing-masing. Bagaimana mahu menggunakan kebijaksanaan kita untuk menghasilkan tesis yang power? Perkara ini berkait dengan konsep rezeki dan nilai barakah yang hanya dapat diperoleh melalui ‘kebijaksanaan’ kita menguruskan hubungan diri kita dengan Pencipta serta hubungan diri kita dengan manusia lain serta alam sekeliling. Semua ini dikira!

Oleh itu, amalan pantang yang pertama - JANGAN SUKA MEMBANDING-BANDINGKAN diri kita dengan orang lain. Kita kenali kelebihan dan kelemahan sendiri. Sebarang kelebihan itu dimanfaatkan sehabis baik dan diserahkan kembali kepada Allah. Moga-moga urusan kita dalam menuntut ilmu ini diberkati Allah. Sebenarnya, inilah yang menjadi pemangkin kepada proses menghasilkan satu kajian dan tesis yang benar-benar power! Jangan pula kita terlalu selesa dengan kelebihan yang kita ada. Bertitik tolak dari keselesaan itulah datangnya dugaan yang menguji sama ada kita benar-benar power atau tidak.

Sekiranya kita sibuk membandingkan diri kita dengan orang lain, sesungguhnya ia sangat merugikan. Lama-kelamaan dengan perbandingan yang kita lakukan, kita sendiri telah memperakui kelemahan sendiri. Inilah yang menjadi racun dalam diri dari terus bersemangat untuk menghasilkan satu kajian dan tesis yang berkualiti.

Dari sudut kelemahan diri, manusia itu sebenarnya dicipta dengan banyak kelemahan. Lalai (102:1); penakut (2:155); tergesa-gesa (17:11), suka membantah (16:4); berlebih-lebihan (10:12); pelupa (39:8), suka berkeluh-kesah (70:20). Tapi tidak bermakna kita terpaksa akur dengan semua kelemahan ini dan membiarkan sahaja kesalahan yang kita lakukan disebabkan oleh kelemahan ‘semula jadi’ ini. Membiarkan sahaja kajian dan tesis dihasilkan secara ala kadar hanya kerana kita akur dengan kelemahan diri. Ini bukan masa untuk merendahkan diri sendiri. Sebaliknya peluang dan ruang yang Allah telah berikan kepada kita sebagai seorang penyelidik dan penuntut ilmu ini merupakan peluang yang sangat berharga. Ayuhlah kita berusaha memperbaiki diri. Setidak-tidaknya waktu inilah kita gunakan untuk belajar berani membuat silap atau belajar dari kelemahan untuk bersedia menjadi yang terbaik. Paling penting bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan dan hasilkan.

Amalan pantang kedua ialah JANGANLAH CEPAT MENGELUH (dalam loghat Kedah yang kerap kali saya guna untuk memperingatkan diri sendiri; JANGAN BEBAI). Perjalanan sebagai seorang pelajar PhD sama seperti kita menjalani kehidupan sehari-hari. Misalnya bagi yang berumah tangga, ujian kehidupan itu tidak memilih sama ada anda seorang pelajar PhD atau tidak. Atau bagi yang masih single, ujiannya tetap ada. Sudah pasti perkara-perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada tahap kualiti diri kita untuk menghasilkan tesis yang berkualiti. Macam firman Allah dalam al-Quran, ‘tidak dikatakan seorang itu beriman selagi dia tidak diuji (29:2)’. Jadi, berjaga-jagalah. Jangan cepat bebai!

Peringatan yang paling mudah; dalam usaha merealisasikan target menulis sehelai kertas sehari, ada ketika kita tidak dapat menulis langsung. Waktu itu juga kita mula membandingkan diri kita dengan orang lain tanpa sedar. Atau kesilapan secara halusnya, kita mudah untuk bercerita kepada teman. ‘Aku tak boleh tulislah!’. Mengulang-ulang frasa tersebut dengan harapan ‘ilham’ datang bak bulan jatuh ke riba. Sedangkan peraturan berilmu itu kan wajib adanya usaha bersungguh-sungguh, ikhtiar, berkorban, yakin dan tawakal. Perkara ini nampak seperti kecil, bukan? Tapi sebenarnya, ia memberi kesan yang cukup mendalam bagi diri penyelidik/penuntut ilmu. Kesannya boleh dilihat melalui sikap kita yang suka bersyak-wasangka. Oleh itu, pantang yang ketiga ialah JANGAN SUKA BERSANGKA BURUK. 

Seperti diri saya sendiri, saya juga mengalami saat turun naik dan pasang surut kerana saya masih seorang manusia biasa. Saya masih berurusan dengan perasaan dan emosi. Tip dan pantang larang ini menjadi ‘arahan’ pada diri supaya tidak kalah sebelum berjuang. Perjuangan itu perlukan pengorbanan dan istiqamah di jalan kebaikan. Mengenal mazmumah diri yang menjadikan diri kita terlanggar pantang larang tersebut. Sekiranya berlaku, perbaiki hubungan diri kita dengan Pencipta serta hubungan diri kita dengan manusia lain serta alam sekeliling. Di mana-mana saja kita berada, sama ada kita putuskan untuk melanjutkan pelajaran atau berkerjaya selagi namanya kehidupan, ujian dan cabaran tetap ada. Keep Positive!

Kisah anda pasti berbeza dengan kisah saya. Situasi anda semestinya tidak sama dengan situasi saya. Ujian dan cabaran hidup anda tidak serupa dengan apa yang telah dan sedang saya alami. Perbezaan ini bukanlah satu penghalang untuk anda dan kita semua terus bersemangat meneruskan perjuangan ini. Yakinlah bahawa Allah SWT sebaik-baik Pentadbir. Dia jualah yang menyusun cerita anda dan cerita saya. Walau ia berbeza, tapi pegangan kita tetap sama. Matlamat kita serupa, perjuangkan ilmu Allah dengan sebaik-baik usaha dan ikhtiar. Moga-moga dengan usaha ini, Islam tetap terus berkembang dan gah. InsyaAllah~

Yang baik itu datang dari Yang Maha Kuasa,
Yang buruk itu adalah kesilapan dan kekhilafan diri saya sebagai seorang insan biasa.

Yang sentiasa mendambakan kemaafan dan pengampunan dari Tuhan dan seluruh insan yang mengenali diri ini - Nora Dahlal


Bersama panel pemeriksa, pengerusi viva-voce, penyelia utama dan bersama

Isnin, 7 Ogos 2017

Takdir Allah Mengatasi Tadbir Manusia

Satu hari, saya bersama teman singgah makan di sebuah gerai makanan melayu. Setelah mengambil nasi dan lauk pauk, pekerja kedai mengira harganya. Jumlah bagi dua pinggan nasi kami ialah RM9.50. Pada ketika itu, saya dan teman sedang berebut ingin membayar. Kedua-duanya menghulur not RM10. Akhirnya, wang saya yang diterima oleh pekerja kedai.

Seketika kemudian, setelah pekerja tersebut membawa not tadi ke kaunter wang untuk menukarkan baki sebanyak 50 sen, tiba-tiba pekerja ini menjerit. 'Kenapa bagi duit terkoyak ni?'.

Dia menunjukkan not yang terkoyak itu dari tempat kaunter wang yang agak terlindung dengan rak hidangan lauk pauk. Saya menegaskan itu bukan wang saya, kerana saya yakin wang yang saya berikan tadi masih baru dan berkeadaan baik. Pekerja itu masih bersungguh menuduh bahawa wang terkoyak itu dari saya dan meminta saya supaya menukarkannya dengan yang baru. Saya juga bimbang kalau-kalau tuduhannya itu betul, dan barangkalin ia boleh jadi kesilapan yang saya tanpa saya sedari.

Walaupun dia kerap mengucapkan maaf, saya membiarkan saja kerana saya yakin wang terkoyak itu bukan milik saya. Hairan! Agak lama wang asal berada dalam genggaman saya ketika kami sedang berebut-rebut untuk membayar sebelum ia berpindah tangan, tiada pula cebisan terkoyak itu bercerai sebagaimana yang ditunjukkan oleh pekerja itu. Akhirnya, saya biarkan saja pekerja itu 'menang'. Kami segera menghabiskan makanan dan dengan itu kami akan segera sampai ke destinasi.

Selepas dari kejadian itu, saya masih berfikir. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Bukanlah niat saya untuk terus mencari jalan untuk menegakkan yang hak. Kalaupun saya masih mahu mengatakan bahawa wang yang tidak terkoyak itu milik saya, tapi kaedahnya tetap harus 'dipelihara'. Sekiranya saya masih tertegas menyatakan bukan salah saya, maka makanan yang kami beli tadi tidak lagi 'enak' untuk dijamah.

Soalnya, bagaimana kaedah yang dikatakan dipelihara itu?

Mungkin pada ketika itu, saya merasakan bahawa saya seorang manusia yang mempunyai hak untuk menyatakan saya adalah benar. Pekerja itu tidak sepatutnya mempergunakan saya untuk mendapatkan wang yang baru bagi menggantikan wangnya yang terkoyak. Ia perlu diadili dengan seadilnya. Patutkah saya biarkan perkara itu diperbesarkan sehingga orang ramai dapat mengambil tempat sebagai pengadil? Bagaimana kalau saya biarkan nafsu saya yang menang? Dengan teknologi tular masa ini, saya fikir ia mampu membantu diri saya menjadi 'pemenang'. Paling tidak, saya menang untuk 'menjatuhkan' pekerja kedai itu. "Nah, rasakan balasan kerana memperbodohkan orang lain!" Mungkin inilah kepuasan yang saya dapat.

Oleh sebab saya seorang manusia dan juga seorang Muslim, not RM10 itu bukanlah nilai yang besar untuk dipertahan sehingga tergadai maruah dan akhlak seorang Muslim. Inilah fenomena yang melanda masyarakat kita. Ini adalah situasi sebenar yang acapkali kita tahui melalui kisah tular di laman sosial. Kali ini, Allah izinkan saya alaminya sendiri. Di sinilah pentingnya fungsi iman yang bertapak pada hati yang bersih.

Lama saya juga termenung memikirkannya. Saya seolah memahami apa yang dirasai oleh orang-orang yang senasib saya dan pernah berkongsi cerita mereka di laman sosial. Mungkin niat mereka untuk mendapatkan kemenangan dari pengadil 'keyboard'. Atau mungkin niatnya untuk memberi pengajaran kepada orang lain dan meminta orang lain supaya berhati-hati.

Soalnya, berhati-hati yang bagaimana? Perlukah kita berhati-hati sehingga sentiasa mencurigai orang lain. Kelak, nilai insan dan ukhwah tidak lagi relevan kerana keperluan 'berhati-hati'. Bersangka baik juga tidaklah sehingga membiarkan diri terdedah dengan kebinasaan. Jadi, soalnya bagaimana?

Namanya manusia, seteliti mana pun kita berjaga-jaga andai Allah mentakdirkan bahawa pada ketika itu dan di suatu tempat itu Allah mengizinkan perkara sebegini berlaku, apakah kita dikatakan leka daripada berhati-hati? Atau lebih teruk lagi, kita dikatakan tidak bertanggungjawab dan seumpamanya.

Dalam surah Yunus (10:12) dan al-Fursilat (41:50), manusia merupakan makhluk pelupa. Pelupa salah satu sifat lemah bagi manusia. Setelah kita tersedar bahawa kita terleka dan orang yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kelekaan diri kita, dari satu sudut sebagai seorang manusia biasa tentu diri merasakan tersangat bodoh kerana dipermainkan orang lain. Adakah kita boleh tertegas dan berlawan dengan pekerja tadi sebagai contoh? Sehingga mungkin boleh menimbulkan pergaduhan, dan akhirnya diketahui ramai. Ya, sebagai manusia biasa sekiranya kita mengikut tuntutan nafsu mempertahan bahawa kita tidak salah kerana sememang kita memang berlaku jujur dan menyakininya. Sudah tentu kita tak kisah sekiranya masalah itu diperbesarkan dan diketahui orang lain kerana rasa ego di dalam diri. 'Asal aku menang, dia yang salah!'

Barulah hati saya kembali tersenyum. Agaknya hanya kerana manusia biasa yang terlalu menangkan ego dan nafsu, diri sendiri yang akan kalah nanti. Mungkin kalah dengan diri sendiri kerana hati tentunya tidak akan tenang kerana memikirnya sakitnya hati diperlakukan sedemikian. Sedangkan sekiranya hati bertindak mengikut iman, perkara itu boleh diselesaikan tanpa diperpanjang atau diperbesarkan sehingga ada kemungkinan tersebar satu dunia. Inilah teknologi 'viral', satu bentuk fitnah masa ini yang sangat ditakuti. Allahu akbar!

Hati memujuk lagi. Usai solat dan memohon doa semoga Allah tetapkan iman... sampai mati. Ya, dengan iman. Hati menjawab dengan iman, masalah seperti wang terkoyak tadi boleh diselesaikan. Alhamdulillah cuma RM10. Biarkan saja pada pekerja tadi. Seandainya kita dipihak yang benar, dengan jawapan iman; 'insyaAllah wang tadi saya sedekahkan, wang yang terkoyak ini saya boleh tukar kepada yang baru di bank saja'. Tapi seandainya pekerja itu betul, dan saya tak terus berada dalam kesilapan. Jadi, saya masih boleh menikmati makanan yang dibeli tanpa ada rasa bersalah.  Dengan jawapan iman, itu ada ujian. Ujian sebagai kafarah kesan dosa sebelum ini, mungkin. Ujian untuk Allah tegur supaya kembali berhati-hati kerana Allah SWT.

Untuk bertindak dengan iman, untuk menjawap persoalan dengan iman, ia bukanlah perkara yang boleh dapat dengan sekelip mata. Iman itu perlu dididik. Didikannya bukan sehari dua, didikan hati dengan iman perlukan masa dan pengorbanan. Bermujahadah. Berusaha meminimakan mazmumah, dan memaksimakan mahmudah. Usaha dan pengorbanan inilah dinamakan bermujahadah. Bermujahadah pula perlukan alat. Alatnya ialah amalan wajib dan amalan sunat. Ilmu pula penggerak alat tadi untuk berfungsi. InsyaAllah, kalaupun kita mahu berhati-hati. Kita berhati-hati tanpa menidakkan kuasa Allah sebagai Penentu takdir manusia. Berhati-hatilah kita dengan bantuan Allah.

Khamis, 26 Mei 2016

Setia Hujung Nyawa

Kenapa setia hujung nyawa? Kerana inilah tahun terakhir saya terpaksa berkorban dan berusaha sehabis baik untuk menunjukkan rasa cinta saya kepada tesis. Harapnya begitulah. Masa begitu pantas bergerak. Langsung saya tak perasan. Tarikh entry sebelum ini bulan Oktober tahun lepas. Terkejut pun, macam acah-acah dunia ku yang terlalu sibuk. Tidak juga terlalu sibuk. Cuma, saya begitu asyik menyusun strategi untuk menyiapkan fasa kedua penyelidikan PhD saya.

Saya tak fikir yang saya boleh menyusun ayat mencerita sesuatu tentang perjalanan PhD saya ketika ini. Diharapkan perjalanan ini bermanfaat untuk diri saya walaupun pahit berselang seli dengan manis hati berbunga mekar.

Takkan saya biarkan PhD terkubur sebelum ditemui cinta setia nan suci itu. InsyaAllah.


Khamis, 1 Oktober 2015

Musafir Mencari Erti Tenang

Rasanya masih belum terlambat untuk saya catatkan rasa bahagianya bermusafir; musafir mencari erti tenang.

Kali ini saya diberi peluang untuk bermusafir ke negara orang dalam tempoh yang agak panjang. Negara Brunei Darussalam. Kesempatan yang tidak ternilai harganya ini, tidak mungkin saya akan lepaskan merujuk kepada beberapa sebab. Pertama, tawaran bermusafir ini dilakukan atas tujuan untuk menyertai kursus asas Bahasa Arab di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). UNISSA merupakan universiti yang mempunyai kepakaran khusus dalam pengajian Bahasa Arab. Kedua, peluang bermusafir mengenali negara yang diberkati Allah SWT di atas pentadbiran yang berasaskan kepada syariat Islam. Ketiga, peluang untuk melebarkan ukhwah dan dakwah.

Memang. Sudah lama saya mengidamkan untuk bermusafir ke Brunei yang dirahmati Allah. Tapi tidaklah seawal dan semudah seperti yang saya sangkakan. Sebab itu, sebaik saja Prof mengumumkan tawaran ini, hati saya melonjak kegirangan. Macam tak percaya pun ya! Selesai kelas pengajian petang itu, saya terus berjumpa dengan Dr Sukainah mohon keizinan. Padahal, program itu lambat lagi. Saya juga antara yang terawal membayar duit untuk tiket. Wah, semangat tak?! Biasanya, saya akan bincang dengan mak ayah, tanda mahu minta izin. Tapi kali ini, saya yakin, mak ayah pasti mengizinkan. 'P lah hang. Tengok negara orang, negara yang berani laksanakan hudud.' Itu lah kata-kata mak yang saya masih ingat.

Alhamdulillah. Pada 27 Julai 2015 bersamaan 11 Syawal 1436H (Isnin), rombongan seramai 17 muslimat, 5 muslimin dan seorang pensyarah pengiring berangkat ke Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Tempoh selama 5 minggu di sana cukup memberi manfaat, ilmu dan pengalaman yang cukup bermakna. Secara peribadi, ia sukar digambarkan dengan kata-kata. Pada dua minggu pertama, saya dan sahabat-sahabat masih belajar mengenali adat, budaya dan masyarakat di Brunei. Khususnya di sekitar kawasan penginapan kami selama sebulan iaitu Gadong, Brunei Darussalam. Saya lebih selesa untuk memerhati. Adakala pengamatan itu terlalu mengasyikkan. Betul-betul telus menembusi hati. Aneh ya hidup di Brunei? Sesekali saya sendiri terkedu, buntu. Kenapa di sini (Brunei) sungguh mengasyikkan?

Pernah saya kongsikan kepada sahabat dan juga guru saya, selaku teman sebangku di dalam bas pengangkutan kami di sana. Tapi, beliau tinggalkan soalan tanpa jawapan supaya saya sendiri dapat hadam segala pertanyaan saya.

Sepanjang berberadaan kami di sana, kami berpelang menjelajah hampir di seluruh Negara Brunei Darussalam yang melibatkan empat daerah utama. Daerah tersebut ialah Brunei Muara, Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong. Segala yang berkaitan dengan Negara Brunei khususnya berkaitan pemerintahannya, kami telah lawati. Terkenang akan peluang ini, hati berasa sangat-sangat bersyukur dan terhutang budi dengan sabahat-sahabat UNISSA selaku jawatankuasa yang melayani kami sepanjang bermusafir di sana. Sehinggakan berus gigi tak ada pun, mereka tolong beli kan. Allah~

Sumbangan Google Imej

Masuk minggu ketiga, kami mulai akrab dengan sabahat-sahabat dari UNISSA; paling dekat dengan kami ketika bermusafir di sana. Hampir 44 orang kesemuanya, termasuklah muslimin dan muslimat. Aktiviti yang dirangka padat hampir setiap hari membuatkan kami sentiasa bersama-sama setiap waktu. Dan saya yakin perkara yang mengeratkan lagi ukhuwah antara kami ialah perkara-perkara yang menghubungkan kami dengan Allah SWT. Solat berjamaah, bertadarus, bertausiah, dan aktiviti-aktiviti memasak dan makan beramai-ramai.

Saya kongsikan pengalaman saya di sana melalui tulisan saya di status facebook. Kerana, pencarian #mencariertitenang saya catatkan terus dalam wall facebook saya. Catatan itu masih segar dengan ibrah hasil pemerhatian tentang manusia dan alam sekitar di Negara Brunei Darussalam. Semoga ia bermanfaat.

Tarikh: 13 Ogos 2015

Sejak dari hari pertama, aku masih mencari-cari dari manakah puncanya rasa tenang di sini. Sudah tiga minggu berlalu, masih belum dapat hadam jawapannya. Bahasa kami mungkin berbeza, tapi aku yakin hidup mereka tidak banyak berbeza daripada kehidupanku sendiri. Walaupun ketara pada zahir ucapanku, namun yang menjadi persamaan itu datangnya dari kehendak dan impian hati ini. Ya, namanya manusia. Dimana saja ada mazmumah mahmudahnya. Tiada yang sempurna, bukan? Tapi alam dan sekitarnya membuatkan mata ku tenang untuk memandang. Soalnya, kenapa dan bagaimanakah? Moga-moga dalam masa berbaki ini, Allah temukan aku dengan punca makna tenangnya bumi Nya ini. (Risau jua. Kalau terlalu jauh memandang, makin lama mendalami, bimbang pula hati akan terpaut di sini) 

Menyaksikan perarakan Hari Keputeraan Kebawah Duli Sultan Hasanal Bolkiah
Tarikh: 15 Ogos 2015
Jawapan pertama; kenapa tenangnya di sini? Seawal jam 6.30 pagi kami sudah bergerak ke bandar. Berjalan kaki hampir 1 km. Bersemangat untuk menyertai sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Sultan Hasal Bolkiah. Sama jua dengan sambutan di Malaysia. Tapi kenapa rasanya luar biasa? Sepanjang jalan, aku dapat lihat anak-anak, pelajar sekolah, penjawat awam dan rakyat jelata bersiap sedia untuk meraikan Pemimpin yang dikasihi. Diri sendiri masih merasa hairan. Kenapa perasaan ini semacam luar biasa? Aneh˜Biarpun berpanas, aku sanggup menanti apakah yang membuatkan hati tertaut di sini. 
Saat jantung berdebar menantikan keberangkatan Kebawah Duli, aku yakin inilah jawapannya. Tautan hati pemimpin dengan rakyatnya adalah melalui ikatan tali Allah SWT. Kalau kuat berpegang dengan suruhan Allah, dan menghindar segala laranganNya. Usahlah dibimbangkan tentang ketenangan dan kesejahteraan bumiNya serta seisi alamNya. Kami bukan rakyatnya pun merasa kasih dan tempias ketenangan itu. Semoga memperoleh rahmat dan keredhaan Allah SWT, insyaAllah. Di tanah air sendiri pun ada sambutan sebegini. Tapi tak sana, malah tak pernah pula nak ada keinginan untuk sertai. 'Hargai betul-betul, sebab mahal tu', pesan Dr Sifu. Mahalnya ilmu dan pengalaman berada di Negara Brunei Darussalam. 
Tarikh: 19 Ogos 2015
Jawapan pemerhatian #mencariertitenang ke 2. Negara Brunei Darussalam beruntung. Jelas terjalin dimensi tiga hubungan ini walaupun tak sepenuhnya sempurna.
  1. Hubungan menegak (Hablum-minallah); dengan terlaksananya syariat Islam, tanpa ragu-ragu.
  2. Hubungan mendatar (Hablum-minannas); Hubungan pemimpin dan rakyat, pemimpin yang adil dan warak. Terkagum! Kebawah Duli Sultan yang menjadi imam solat dan khatib, rakyat pula menjadi makmumnya. Sementara rakyat sentiasa mengasihi dan mendoakan kesejahteraan pemimpin. Bagi alam sekitarnya, masih terpeliharan tanpa eksploitasi mazmumah. Sedap sangat mata memandang. Kerana saya pecinta alam semulajadi.
  3. Dan insyaAllah; hubungan mendalam iaitu keseimbangan komponen dalam diri manusia (akal-hati-nafsu-roh). Buktinya, saya dapat lihat keadaan di jalan raya. Payah benar nak dengar bunyi hon. Apabila ada kereta block laluan bas sewaktu kami pulang dari makan malam, saya tanyakan pada sahabat Brunei. Kenapa tak ada pula apa-apa signal untuk minta laluan, contoh bunyikan hon ke? Sahabat saya jawab; ada juga bunyi hon di sini. Tapi biasanya tak sampai hati. Tertib saja kenderaan mereka di jalan raya. Ada ketika, pejalan kaki lebih diberi keutamaan untuk menggunakan jalan raya. Allah˜Syiuknya tenang.
Akhir sekali, jawapan itu saya temui dalam Kelas Pengajian Selasa minggu lepas. Tazkirah yang disampaikan oleh Dr Syakir sudah menghuraikan lengkap kenapa perlu bermusafir, dan bagaimana mahu bermusafir secara jama'ie. Ya. Musafir jama'ie sebahagian daripada adat kami di ISDEV.

*Setelah kembali ke tanah air. Rindu masih mengusik jiwa. Masih terbayang suasana di sana. Terasa benarlah telahan diri, hati telah terpaut di sana, kasih tertumpah di sana.


Kami bersahabat
Tarikh: 1 September 2015
Tidak pernah terfikir yang pokok ini boleh hidup dengan akar yang tidak sempurna. Tidak pula ditebangnya dan digantikan dengan pokok yang baru yang lebih cantik. Sedikit pun tidak mencacatkan pemandangan sekitarnya. Masih anggun dan menenangkan. Alangkah bahagianya dia. Teguhnya dia di atas tanah langsung tidak dipedulikan. Sedang akar itulah jantungnya.
'Akak, saya rindu sangat!' 'Kalau rindu, doakanlah yang baik-baik. Moga Allah pelihara insan-insan yang kita rindu itu dengan sebaik-baik perlinduangan.'

Salah satu pokok kelapa di perkarangan Musium Maritim Negara Brunei Darussalam
InsyaAllah. Moga ilmu dan pengalaman ini akan menjadikan alat untuk terus memuliakan Islam. Dan semoga kasih bersahabat atas tali Allah SWT sentiasa mekar dan tak pudar mengikut musim.

Wallahu'alam bissawab

AKU & IIUM

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dah lama aku tak luangkan masa untuk coretkan sesuatu di sini. Ruangan ini dulunya ...