Rabu, 30 Ogos 2017

PERJALANAN PHD MENJADIKAN AKU SEORANG INSAN

Tanggal 10 Ogos yang lalu, saya menjalani peringkat terakhir pengajian PhD saya iaitu viva-voce. Gementarnya hanya Tuhan saja yang tahu. Dua minggu sebelum, tarikh menduduki viva-voce telah diumumkan. Persediaan awal semasa saya masih di kampung ialah saya hanya mampu memperbanyakkan waktu saya dengan yang Maha Pemberi Ilmu. Untuk menatap hasil tulisan dalam tesis, saya tak mampu. Dalam waktu kecemasan sebeginilah, ada saja ujian yang datang menduga. Dugaan saya sebagai seorang anak, kakak dan adik kepada ahli keluarga saya. Dugaan saya sebagai seorang teman kepada sahabat-sahabat saya. Dugaan saya sebagai seorang murid kepada guru-guru saya. Betapa berkecamuknya fikiran saya sehinggakan peristiwa 3 dan 4 tahun lalu pun boleh diulang tayang di minda lantas mengusik emosi mencetus syak wasangka saya terhadap semua orang. Ia berlanjutan sehinggalah petang sebelum hari viva. Allah~

Saat itu, sama seperti waktu-waktu saya hadapi kecemasan sepanjang saya bergelar pelajar - anak murid kepada guru yang saya amat kasihi, Dr Sukainah. Kekusutan hati ini walau disorok kemas pasti dapat dirasai oleh naluri seorang guru yang mursyid. Dengan itu, segala lelah saya luahkan. Saya dapat bersemuka dan memohon restu segala ilmu yang dicurahkan - dari hati-ke-hati.  Akhirnya, kata-kata beliau yang dapat saya ‘tangkap’ dan bersemat dalam hati saya ialah ‘Nora, jangan takut kerana blank! Kerana dengan kata blank itu Nora telah letakkan buruk sangka kepada Allah. Mintalah bantuan Allah supaya dibukakan pintu ilmu. InsyaAllah semoga semuanya dipermudahkan Allah SWT’.

Sesudah pertemuan itu, saya betul-betul letakkan segala keyakinan saya kepada Allah SWT. Masa yang berbaki, saya perbetulkan hujahan berdasarkan soalan-soalan past year serta hot spot questions dengan bantuan pemeriksa lakonan, Hidayah. (Jazakillahu khair jaza’)

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Wadud, Ya Jami’ – Semoga Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tautkan hati-hati panel pemeriksa

Terima kasih sahabat, Kak Norazita atas saranan mengamalkan zikir ini. Saat mental dan fizikal diasak teruk dengan ujian derita sebelum derita sebenar tiba, zikir inilah yang saya mampu amalkan. Ya. Saya akui, bukan mudah nak meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah dengan sifat lemahnya iman insan seperti saya. Tapi, tanpa semua ini saya percaya saya pasti tak akan merasai makna meletakkan keyakinan 100% kepada yang Maha Esa. Walaupun tidak sempurna, sekurang-kurang usaha ke arah itu telah wujud.

Sekitar jam 11 pagi, satu lafaz yang benar-benar membuatkan air mata saya mengalir mensyukuri hikmat dan nikmat Allah yang amat menakjubkan. ‘Anda berjaya!’ Subhanallah Alhamdulillah. Saya menangis bukan berkehendakkan pada keputusan itu. Saya menangis kerana benar-benar merasai kasih sayang-Nya. Segala syak wasangka saya sebelum ini telah membuatkan jiwa saya menderita kerana saya telah meragui Keagungan dan Kekuasaan Allah Taala, tanpa saya sedar! Apa lagi yang saya mahu dalam hidup ini, dengan apa yang saya lalui sepanjang menjalani kehidupan sebagai pelajar PhD penuh dengan onak duri dan pahit getir, Allah balas dengan kenikmatan dengan sekelip mata atas Kehendak-Nya. Seusai sesi viva hari itu, sekali lagi saya dapat mendengar kata-kata keramat dari guru saya yang saya kasihi, Prof Muhammad Syukri; ‘Dah tak nervous kan? (Beliau tersenyum pada saya) Ingat, jangan derita sebelum derita sebenar tiba.’ Saat itu, saya merasa sangat bahagia. Allah~

Ya Allah Ya Wadud – Kau Maha Mencintai

PhD itu bukanlah hanya kerana pencapaian, bukan juga kerana status. PhD itu satu perjalanan. Perjalanan mencari ilmu. Ilmu dalam menyiapkan satu kajian dalam bentuk tesis untuk dimanfaatkan, serta ilmu dalam mempersiapkan diri menjadi sebaik-baik hamba kepada Sang Pemilik Ilmu.

Kepada teman dan sahabat yang masih berusaha menyelesaikan pengajian anda, dengan rendah hati saya kongsi satu tips mudah untuk mengakhiri perjalanan PhD dengan penuh bermakna.

Tips Tesis ‘SIAP dan BERKUALITI’

Harus diingat, hanya tesis yang siap sahaja yang layak diserahkan untuk dinilai. Untuk hasilkan tesis yang siap pula saya amalkan tiga jenis pantang. Tapi cukupkah dengan hanya SIAP? Bagaimana pula dengan KUALITI? Inilah yang membezakan tujuan dan matlamat kita sebagai pejuang ilmu Allah atau sekadar mendapat segulung ijazah. Usah kita nilai orang lain, tapi sebaiknya kita nilai diri kita sendiri sebagai tanda kita seorang yang bijaksana.

Berkualiti di sini bukanlah bermakna kajian dan tesis yang kita hasilkan itu wajib power! Atau berkualiti yang menunjukkan bahawa penyelidik itu mesti bijak. Tidak sama sekali. Kefahaman kualiti cara ini adalah mengikut kefahaman konvensional yang mentakrifkan kualiti itu terbatas pada kemampuan fizikal atau material semata-mata. Sebaliknya dengan kefahaman berasaskan Islam, kualiti yang boleh kita manfaatkan dalam menyempurnakan kajian dan penulisan tesis mempunyai makna yang sangat luas. Kualiti yang boleh dilihat dari sudut kepuasan. Kepuasan kita sebagai penyelidik yang menghasilkan tesis yang sempurna dengan berusaha sehabis baik; kepuasan penyelia yang menjadi pendidik dan pembimbing bukan sahaja berjaya memandu anak didiknya sehingga selesai PhD, tapi yang lebih bermakna dapat melahirkan anak didik yang berguna dunia akhirat; kepuasan pemeriksa yang menilai hasil kerja yang dipersembahkan dalam tesis dan secara oral serta keperibadian diri penyelidik; kepuasan yang bakal diterima oleh seluruh masyarakat sebagai kelompok utama yang mendapat sumbangan dari hasil kajian kita dan yang paling penting kepuasan dari sudut redha dan restu Allah – Sang Pemilik Ilmu.

Jadi, selagi mana manusia itu berakal dan boleh berfikir dengan baik, manusia itu sebenarnya bijak. Semua orang ada kebijaksanaan masing-masing. Bagaimana mahu menggunakan kebijaksanaan kita untuk menghasilkan tesis yang power? Perkara ini berkait dengan konsep rezeki dan nilai barakah yang hanya dapat diperoleh melalui ‘kebijaksanaan’ kita menguruskan hubungan diri kita dengan Pencipta serta hubungan diri kita dengan manusia lain serta alam sekeliling. Semua ini dikira!

Oleh itu, amalan pantang yang pertama - JANGAN SUKA MEMBANDING-BANDINGKAN diri kita dengan orang lain. Kita kenali kelebihan dan kelemahan sendiri. Sebarang kelebihan itu dimanfaatkan sehabis baik dan diserahkan kembali kepada Allah. Moga-moga urusan kita dalam menuntut ilmu ini diberkati Allah. Sebenarnya, inilah yang menjadi pemangkin kepada proses menghasilkan satu kajian dan tesis yang benar-benar power! Jangan pula kita terlalu selesa dengan kelebihan yang kita ada. Bertitik tolak dari keselesaan itulah datangnya dugaan yang menguji sama ada kita benar-benar power atau tidak.

Sekiranya kita sibuk membandingkan diri kita dengan orang lain, sesungguhnya ia sangat merugikan. Lama-kelamaan dengan perbandingan yang kita lakukan, kita sendiri telah memperakui kelemahan sendiri. Inilah yang menjadi racun dalam diri dari terus bersemangat untuk menghasilkan satu kajian dan tesis yang berkualiti.

Dari sudut kelemahan diri, manusia itu sebenarnya dicipta dengan banyak kelemahan. Lalai (102:1); penakut (2:155); tergesa-gesa (17:11), suka membantah (16:4); berlebih-lebihan (10:12); pelupa (39:8), suka berkeluh-kesah (70:20). Tapi tidak bermakna kita terpaksa akur dengan semua kelemahan ini dan membiarkan sahaja kesalahan yang kita lakukan disebabkan oleh kelemahan ‘semula jadi’ ini. Membiarkan sahaja kajian dan tesis dihasilkan secara ala kadar hanya kerana kita akur dengan kelemahan diri. Ini bukan masa untuk merendahkan diri sendiri. Sebaliknya peluang dan ruang yang Allah telah berikan kepada kita sebagai seorang penyelidik dan penuntut ilmu ini merupakan peluang yang sangat berharga. Ayuhlah kita berusaha memperbaiki diri. Setidak-tidaknya waktu inilah kita gunakan untuk belajar berani membuat silap atau belajar dari kelemahan untuk bersedia menjadi yang terbaik. Paling penting bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan dan hasilkan.

Amalan pantang kedua ialah JANGANLAH CEPAT MENGELUH (dalam loghat Kedah yang kerap kali saya guna untuk memperingatkan diri sendiri; JANGAN BEBAI). Perjalanan sebagai seorang pelajar PhD sama seperti kita menjalani kehidupan sehari-hari. Misalnya bagi yang berumah tangga, ujian kehidupan itu tidak memilih sama ada anda seorang pelajar PhD atau tidak. Atau bagi yang masih single, ujiannya tetap ada. Sudah pasti perkara-perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada tahap kualiti diri kita untuk menghasilkan tesis yang berkualiti. Macam firman Allah dalam al-Quran, ‘tidak dikatakan seorang itu beriman selagi dia tidak diuji (29:2)’. Jadi, berjaga-jagalah. Jangan cepat bebai!

Peringatan yang paling mudah; dalam usaha merealisasikan target menulis sehelai kertas sehari, ada ketika kita tidak dapat menulis langsung. Waktu itu juga kita mula membandingkan diri kita dengan orang lain tanpa sedar. Atau kesilapan secara halusnya, kita mudah untuk bercerita kepada teman. ‘Aku tak boleh tulislah!’. Mengulang-ulang frasa tersebut dengan harapan ‘ilham’ datang bak bulan jatuh ke riba. Sedangkan peraturan berilmu itu kan wajib adanya usaha bersungguh-sungguh, ikhtiar, berkorban, yakin dan tawakal. Perkara ini nampak seperti kecil, bukan? Tapi sebenarnya, ia memberi kesan yang cukup mendalam bagi diri penyelidik/penuntut ilmu. Kesannya boleh dilihat melalui sikap kita yang suka bersyak-wasangka. Oleh itu, pantang yang ketiga ialah JANGAN SUKA BERSANGKA BURUK. 

Seperti diri saya sendiri, saya juga mengalami saat turun naik dan pasang surut kerana saya masih seorang manusia biasa. Saya masih berurusan dengan perasaan dan emosi. Tip dan pantang larang ini menjadi ‘arahan’ pada diri supaya tidak kalah sebelum berjuang. Perjuangan itu perlukan pengorbanan dan istiqamah di jalan kebaikan. Mengenal mazmumah diri yang menjadikan diri kita terlanggar pantang larang tersebut. Sekiranya berlaku, perbaiki hubungan diri kita dengan Pencipta serta hubungan diri kita dengan manusia lain serta alam sekeliling. Di mana-mana saja kita berada, sama ada kita putuskan untuk melanjutkan pelajaran atau berkerjaya selagi namanya kehidupan, ujian dan cabaran tetap ada. Keep Positive!

Kisah anda pasti berbeza dengan kisah saya. Situasi anda semestinya tidak sama dengan situasi saya. Ujian dan cabaran hidup anda tidak serupa dengan apa yang telah dan sedang saya alami. Perbezaan ini bukanlah satu penghalang untuk anda dan kita semua terus bersemangat meneruskan perjuangan ini. Yakinlah bahawa Allah SWT sebaik-baik Pentadbir. Dia jualah yang menyusun cerita anda dan cerita saya. Walau ia berbeza, tapi pegangan kita tetap sama. Matlamat kita serupa, perjuangkan ilmu Allah dengan sebaik-baik usaha dan ikhtiar. Moga-moga dengan usaha ini, Islam tetap terus berkembang dan gah. InsyaAllah~

Yang baik itu datang dari Yang Maha Kuasa,
Yang buruk itu adalah kesilapan dan kekhilafan diri saya sebagai seorang insan biasa.

Yang sentiasa mendambakan kemaafan dan pengampunan dari Tuhan dan seluruh insan yang mengenali diri ini - Nora Dahlal


Bersama panel pemeriksa, pengerusi viva-voce, penyelia utama dan bersama

Isnin, 7 Ogos 2017

Takdir Allah Mengatasi Tadbir Manusia

Satu hari, saya bersama teman singgah makan di sebuah gerai makanan melayu. Setelah mengambil nasi dan lauk pauk, pekerja kedai mengira harganya. Jumlah bagi dua pinggan nasi kami ialah RM9.50. Pada ketika itu, saya dan teman sedang berebut ingin membayar. Kedua-duanya menghulur not RM10. Akhirnya, wang saya yang diterima oleh pekerja kedai.

Seketika kemudian, setelah pekerja tersebut membawa not tadi ke kaunter wang untuk menukarkan baki sebanyak 50 sen, tiba-tiba pekerja ini menjerit. 'Kenapa bagi duit terkoyak ni?'.

Dia menunjukkan not yang terkoyak itu dari tempat kaunter wang yang agak terlindung dengan rak hidangan lauk pauk. Saya menegaskan itu bukan wang saya, kerana saya yakin wang yang saya berikan tadi masih baru dan berkeadaan baik. Pekerja itu masih bersungguh menuduh bahawa wang terkoyak itu dari saya dan meminta saya supaya menukarkannya dengan yang baru. Saya juga bimbang kalau-kalau tuduhannya itu betul, dan barangkalin ia boleh jadi kesilapan yang saya tanpa saya sedari.

Walaupun dia kerap mengucapkan maaf, saya membiarkan saja kerana saya yakin wang terkoyak itu bukan milik saya. Hairan! Agak lama wang asal berada dalam genggaman saya ketika kami sedang berebut-rebut untuk membayar sebelum ia berpindah tangan, tiada pula cebisan terkoyak itu bercerai sebagaimana yang ditunjukkan oleh pekerja itu. Akhirnya, saya biarkan saja pekerja itu 'menang'. Kami segera menghabiskan makanan dan dengan itu kami akan segera sampai ke destinasi.

Selepas dari kejadian itu, saya masih berfikir. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Bukanlah niat saya untuk terus mencari jalan untuk menegakkan yang hak. Kalaupun saya masih mahu mengatakan bahawa wang yang tidak terkoyak itu milik saya, tapi kaedahnya tetap harus 'dipelihara'. Sekiranya saya masih tertegas menyatakan bukan salah saya, maka makanan yang kami beli tadi tidak lagi 'enak' untuk dijamah.

Soalnya, bagaimana kaedah yang dikatakan dipelihara itu?

Mungkin pada ketika itu, saya merasakan bahawa saya seorang manusia yang mempunyai hak untuk menyatakan saya adalah benar. Pekerja itu tidak sepatutnya mempergunakan saya untuk mendapatkan wang yang baru bagi menggantikan wangnya yang terkoyak. Ia perlu diadili dengan seadilnya. Patutkah saya biarkan perkara itu diperbesarkan sehingga orang ramai dapat mengambil tempat sebagai pengadil? Bagaimana kalau saya biarkan nafsu saya yang menang? Dengan teknologi tular masa ini, saya fikir ia mampu membantu diri saya menjadi 'pemenang'. Paling tidak, saya menang untuk 'menjatuhkan' pekerja kedai itu. "Nah, rasakan balasan kerana memperbodohkan orang lain!" Mungkin inilah kepuasan yang saya dapat.

Oleh sebab saya seorang manusia dan juga seorang Muslim, not RM10 itu bukanlah nilai yang besar untuk dipertahan sehingga tergadai maruah dan akhlak seorang Muslim. Inilah fenomena yang melanda masyarakat kita. Ini adalah situasi sebenar yang acapkali kita tahui melalui kisah tular di laman sosial. Kali ini, Allah izinkan saya alaminya sendiri. Di sinilah pentingnya fungsi iman yang bertapak pada hati yang bersih.

Lama saya juga termenung memikirkannya. Saya seolah memahami apa yang dirasai oleh orang-orang yang senasib saya dan pernah berkongsi cerita mereka di laman sosial. Mungkin niat mereka untuk mendapatkan kemenangan dari pengadil 'keyboard'. Atau mungkin niatnya untuk memberi pengajaran kepada orang lain dan meminta orang lain supaya berhati-hati.

Soalnya, berhati-hati yang bagaimana? Perlukah kita berhati-hati sehingga sentiasa mencurigai orang lain. Kelak, nilai insan dan ukhwah tidak lagi relevan kerana keperluan 'berhati-hati'. Bersangka baik juga tidaklah sehingga membiarkan diri terdedah dengan kebinasaan. Jadi, soalnya bagaimana?

Namanya manusia, seteliti mana pun kita berjaga-jaga andai Allah mentakdirkan bahawa pada ketika itu dan di suatu tempat itu Allah mengizinkan perkara sebegini berlaku, apakah kita dikatakan leka daripada berhati-hati? Atau lebih teruk lagi, kita dikatakan tidak bertanggungjawab dan seumpamanya.

Dalam surah Yunus (10:12) dan al-Fursilat (41:50), manusia merupakan makhluk pelupa. Pelupa salah satu sifat lemah bagi manusia. Setelah kita tersedar bahawa kita terleka dan orang yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kelekaan diri kita, dari satu sudut sebagai seorang manusia biasa tentu diri merasakan tersangat bodoh kerana dipermainkan orang lain. Adakah kita boleh tertegas dan berlawan dengan pekerja tadi sebagai contoh? Sehingga mungkin boleh menimbulkan pergaduhan, dan akhirnya diketahui ramai. Ya, sebagai manusia biasa sekiranya kita mengikut tuntutan nafsu mempertahan bahawa kita tidak salah kerana sememang kita memang berlaku jujur dan menyakininya. Sudah tentu kita tak kisah sekiranya masalah itu diperbesarkan dan diketahui orang lain kerana rasa ego di dalam diri. 'Asal aku menang, dia yang salah!'

Barulah hati saya kembali tersenyum. Agaknya hanya kerana manusia biasa yang terlalu menangkan ego dan nafsu, diri sendiri yang akan kalah nanti. Mungkin kalah dengan diri sendiri kerana hati tentunya tidak akan tenang kerana memikirnya sakitnya hati diperlakukan sedemikian. Sedangkan sekiranya hati bertindak mengikut iman, perkara itu boleh diselesaikan tanpa diperpanjang atau diperbesarkan sehingga ada kemungkinan tersebar satu dunia. Inilah teknologi 'viral', satu bentuk fitnah masa ini yang sangat ditakuti. Allahu akbar!

Hati memujuk lagi. Usai solat dan memohon doa semoga Allah tetapkan iman... sampai mati. Ya, dengan iman. Hati menjawab dengan iman, masalah seperti wang terkoyak tadi boleh diselesaikan. Alhamdulillah cuma RM10. Biarkan saja pada pekerja tadi. Seandainya kita dipihak yang benar, dengan jawapan iman; 'insyaAllah wang tadi saya sedekahkan, wang yang terkoyak ini saya boleh tukar kepada yang baru di bank saja'. Tapi seandainya pekerja itu betul, dan saya tak terus berada dalam kesilapan. Jadi, saya masih boleh menikmati makanan yang dibeli tanpa ada rasa bersalah.  Dengan jawapan iman, itu ada ujian. Ujian sebagai kafarah kesan dosa sebelum ini, mungkin. Ujian untuk Allah tegur supaya kembali berhati-hati kerana Allah SWT.

Untuk bertindak dengan iman, untuk menjawap persoalan dengan iman, ia bukanlah perkara yang boleh dapat dengan sekelip mata. Iman itu perlu dididik. Didikannya bukan sehari dua, didikan hati dengan iman perlukan masa dan pengorbanan. Bermujahadah. Berusaha meminimakan mazmumah, dan memaksimakan mahmudah. Usaha dan pengorbanan inilah dinamakan bermujahadah. Bermujahadah pula perlukan alat. Alatnya ialah amalan wajib dan amalan sunat. Ilmu pula penggerak alat tadi untuk berfungsi. InsyaAllah, kalaupun kita mahu berhati-hati. Kita berhati-hati tanpa menidakkan kuasa Allah sebagai Penentu takdir manusia. Berhati-hatilah kita dengan bantuan Allah.

AKU & IIUM

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dah lama aku tak luangkan masa untuk coretkan sesuatu di sini. Ruangan ini dulunya ...