Rabu, 30 Januari 2013

ISLAM 'ALA KADAR': SUDAH CUKUP MEMADAI?


Menilai dan mentafsir hati sangatlah rumit. Terlalu banyak perkara yang Allah mahu sampaikan melalui hati. Memang. Insan punyai mata untuk melihat alam ciptaan penuh hikmah. Telinga untuk mendengar bunyi serta ayat 'kekuasan' Allah, dan sentuhan merasai kewujudan fizikal alam yang penuh keajaiban. Namun, sejauh manakah hati teguh membenarkan dan mengakui akan perkara-perkara yang tidak dapat menjangkau apa yang tidak dapat dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, dihidu oleh hidung dan disentuh oleh tubuh badan, tangan dan kaki. Sukar bukan? Gerak hati itu sungguh ajaib.

Satu hari, ayah meminta saya supaya singgah di kedai runcit depan simpang jalan. Mahu membeli surat khabar katanya. Sambil menunggu ayah membeli, saya memerhati keadaan di situ dari dalam kereta. Keadaan kedai runcit kelihatan makin hari makin berkembang maju. Daripada diniagakan secara kecil-kecilan, kini ia dipenuhi dengan barang keperluan yang hampir lengkap untuk keperluan orang kampung. Terlintas di hati, alangkah bertuahnya nasib si pemilik kedai dan keluarganya kerana perolehi rezeki Allah itu. Seronok. Terasa mahu berniaga juga. Memandang dan memerhati lagi keadaan di situ, ada sesuatu yang membuatkan hati saya terdetik dan akal berfikir ligat mencari maknanya.

Dalam kelas, saya pelajari tentang sumber alam dalam konteks rezeki Allah SWT kepada manusia. ‘Penyebaran’ rezeki Allah SWT kepada umat manusia melalui dua cara iaitu, secara terus dari Allah SWT iaitu penerima primer dan melalui manusia kepada manusia lain atau dikenali penerima sekunder. Namun, bagaimanakah manusia yang berfungsi sebagai khalifah dan hamba Allah SWT ini dapat menguruskan rezeki Allah SWT sepertimana yang digariskan dalam panduan dan piawaian syariat Islam? Bagaimana pula manusia itu dapat menjadikan rezeki yang Allah kurniakan itu sebagai alat untuk mencapai kebahagiaan hidup?

Dalam konteks mencari rezeki sama ada secara berniaga (bekerja sendiri) mahupun secara makan gaji, kedua-duanya mempunyai cara dan peranannya untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah SWT. Saya terus memerhati keadaan di kedai itu. Apa yang menarik perhatian saya adalah apabila  melihat seorang perempuan muda yang barangkali isteri si pemilik kedai. Bergaya penampilannya dan cekap menguruskan kedai runcitnya. Di sinilah terjawabnya persoalan saya sebelum ini? Fungsi manusia sebagai pengurus, peniaga dan terutama sekali sebagai makhluk Allah SWT.

Berbalik kepada konsep rezeki Allah SWT serta tanggungjawab kita sebagai penerima rezeki, menguruskan dan membangunkan perniagaan secara Islam adalah sangat penting. Hal pemilik kedai mahupun isterinya menguruskan kedai runcit itu merupakan salah satu usaha atau ikhtiar untuk pembangunan. Pembangunan yang dimaksudkan adalah sama ada pembangunan yang lebih khusus seperti pembangunan institusi keluarga mahupun pembangunan yang lebih luas iaitu pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat setempat. Umumnya, terdapat dua elemen yang dilihat dapat mencapai perniagaan yang dikehendaki dalam Islam. Pertama, peniaga mempunyai amanah untuk membekalkan keperluan masyarakat kampung yang majoritinya adalah masyarakat muslim. Wajib ke atas dirinya untuk membekalkan barangan yang baik dan halal untuk kegunaan umat Islam yang lain. Perniagaan juga bukan sekadar mendapatkan rezeki untuk meningkatkan taraf kehidupan keluarga sahaja, malah usaha itu telah memudahkan masyarakat kampung yang mempunyai taraf hidup yang sederhana untuk dijadikan 'sumber' bagi kelangsungan hidup tanpa perlu ke bandar. Dalam usaha ini, manusia yang berperanan sebagai peniaga yang menguruskan perniagaan kedai runcit itu tidak dinilai dari sudut keupayaan dan kemampuan semata-mata. Malah, usahanya dilihat dapat memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Dengan itu yang kedua, bagi memenuhi fungsi-fungsi yang jauh dari fahaman manusia sebagai makhluk ekonomi maka manusia itu wajib untuk berilmu. Dalam konteks ini, manusia tersebut adalah peniaga dan pengurus kedai runcit tadi. Dengan ilmu, manusia dapat membezakan yang hak dan yang bathil serta dapat menjalankan urusan perniagaannya tanpa melibatkan unsur riba atau penipuan.



Perniagaan bukan perkara asing dalam Islam. Nabi Muhammad SAW pun berniaga, malah baginda mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa dalam menguruskan perniagaan bapa saudaranya, Abu Talib. Rasulullah SAW ada bersabda, ‘sembilan persepuluh daripada sumber rezeki adalah perniagaan’. Hebatnya bagi mereka yang mempunyai perniagaan sendiri. Lebih hebat lagi sekiranya perniagaan yang mereka usahakan itu adalah mengikut syariat Islam sepenuhnya. Tidak sekadar ‘menyelitkan’ sebahagian ajaran Islam, hanya kerana mahu melabelkan perniagaan yang mereka usahakan adalah bentuk perniagaan Islam dan terlepas dari beban tanggungjawab kekhalifannya. Dalam erti kata lain, Islam hanya diletakkan satu tanda dalam perniagaan yang diusahakan dan ia tidak dijadikan panduan dan piawaian untuk mencapai perniagaan yang diredhai Allah SWT. Sebagai contoh dalam pengurusan kedai runcit tadi, cukuplah bagi si peniaga itu untuk hadir ke surau/masjid untuk solat jemaah pada dua waktu di malam hari. Ia sudah memadai bagi dirinya untuk menyumbang bilangan saf di surau atau masjid. Biarpun niatnya tidak jelas, namun sesungguhnya solat itu membentuk keperibadian seorang Muslim. Alhamdulillah. Perkara ini juga ada dinyatakan dalam al-Qur’an yang bermaksud:

“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan keji) dan mungkar” (Surah al-‘Ankabut:45)

Tapi, adakah itu sudah memadai bagi seorang Muslim yang menunjukkan tanda syukur ke atas nikmat rezeki tadi tanpa melibatkan tanggungjawabnya sebagai manusia secara keseluruhannya? Atau mungkin usaha perniagaan itu semata-mata dijadikan mata pencarian rezeki bagi kelangsungan hidup. Sementara ajaran Islam ‘ala kadar’ yang dilaksanakan adalah sekadar bagi memenuhi tuntutan manusia yang dikatakan Islam dan sekadar mengikut amalan kebiasaan bukannya dengan keikhlasan melaksanakan tanggungjawab itu. Kalau inilah yang masih berlaku, jelas sekali pengurusan perniagaan itu masih belum cukup sempurna untuk ditadbir mengikut piawaian dan panduan Islam yang hakiki. Saya terus berfikir sehingga tidak sedar yang saya sudah memandu sampai destinasi tujuan.

Wallahu’alam.

Selasa, 29 Januari 2013

PENJENAMAAN HALAL DALAM PERKEMBANGAN INDUSTRI MAKANAN MALAYSIA


PENJENAMAAN HALAL DALAM PERKEMBANGAN INDUSTRI MAKANAN MALAYSIA[1]

Halal Branding In The Development Of Halal Food Industry

Norazilawati Md Dahlal[2]
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
11800 USM, Pulau Pinang, Malaysia
E-mel: norazilawatimddahlal@gmail.com

ABSTRAK

Kertas kerja ini membincangkan mengenai dua perkara penting yang terlibat dalam membangunkan penjenamaan halal dalam industri makanan. Pertama, mengkaji konsep halal yang digunakan dalam industri makanan. Kedua, membincangkan pelaksanaan yang dilakukan dalam membangunkan industri makanan melalui penjenamaan halal ini. Sejajar dengan pertambahan umat Islam global, penjenamaan halal menerusi logo dan sijil halal sesuatu produk yang dihasilkan menjadi keutamaan dalam kalangan pengusaha industri makanan berdasarkan kesedaran umum tentang keistimewaan istilah halal ini. Kedua-dua perkara tersebut telah menjadi penggerak kepada perkembangan industri makanan halal di Malaysia diteliti. Penelitian ini dibuat dengan mengkaji penulisan-penulisan pembangunan halal oleh para sarjana tempatan dan antarabangsa serta dari sumber-sumber penerbitan berkala yang berkaitan. Akhir sekali, kertas kerja ini merumuskan bahawa walaupun konsep halal berbeza mengikut bidang pengamal industri makanan halal, usaha membangunkan industri halal serta melahirkan idea-idea baru untuk meletakkan halal sebagai jenama utama dalam pasaran makanan halal global sentiasa diperjuangkan.




BIBLIOGRAFI

Ahmad, R. W. (2004). Halal Perspective. The Halal Journal, Vol. 3.
Al-Qardhawi (1998). Peranan Nilai dan Akhlak dalam Ekonomi Islam. Terjemahan Mufti Labib & Arsil Ibrahim. Kuala Lumpur: Blue-T.
Asmak Ab Rahman (2009). Sekuriti Makanan Dari Perspektif Syariah. Jurnal Syarah, Jilid 17, Bil. 2, 299-326.
Azrina Sobian (2006). Perbaiki Sistem Pemasaran Produk Halal. Utusan Malaysia, 30 Jun 2006.
Burhan, A. (2000). Consumer behaviour and religiosity of Muslim community in Klang Valley: Consumer perception on halal and non-halal in products and services. University Malaya. Tidak diterbitkan.
E-Halal (2010). Portal Rasmi Halal Malaysia. Diakses dari http://www.halal.gov.my pada 31 Ogos 2010.
E-Halal Organization (2010). Your Ultimate Guide to the World of Halal Food. Diakses dari http://www.ehalal.org/index.html pada 4 Jun 2010.
Fischer, Johan (2008). Proper Islamic Consumption: Shopping Among the Malays in Modern Malaysia. Copenhagen: Nias Press.
Hayati@Habibah Abdul Talib & Khairul Anuar Mohd Ali (2008). Aspek Kualiti, Keselamatan dan Kesihatan di Kalangan PKS Makanan: Satu Sorotan Kajian. Jurnal Teknologi, 49(E) Dis. 2008: 65-67.
Husna, M. (2007). It is a matter trust. Forward, Vol. 11, 39.
Jinap Selamat et. al. (2002-2003). Malaysia in Pasific Food System Outlook 2002-2003. Tidak diterbitkan.
Laporan Ekonomi (2004/2005). Bab2: Prestasi dan Prospek Ekonomi. Kementerian Kewangan Malaysia. Diakses dari http://www.treasury.gov.my/pdf/ ekonomi/le/ 0405/ bab2.pdf pada 19 Disember 2011.
Laporan Ekonomi (2007/2008). Bab 1: Pengurusan dan Prospek Ekonomi. Kementerian Kewangan Malaysia. Diakses dari http://www.treasury.gov .my/pdf/ ekonomi/le/0708/bab1_0708.pdf pada 23 Disember 2011.
MIDA, (2007). Laman Rasmi Malaysian Industrial Development Authority. Diakses dari http://www.mida.gov.my pada 28 Ogos 2007.
Mohamed. S. (2001).  Marketing niche for halal food supply: framework for the establishment of an international halal food market. Food Security from the Islamic Perspective, 1-21. Tidak diterbitkan.
Mohd Akbal Abdullah & Rafiuddin Afkari (2011). Strategi Pengembangan Usaha Kecil dan Menengah Dalam Menghadapi Serangan ACPTA. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Internasional Universitas Islam Indragiri pada 15 Jun 2011.
Mohd Ali Mohd Noor, Hairunnizam Wahid & Abd. Razak Dan (2011). Strategi Ke Arah Peningkatan Daya Saing Produk Makanan Halal Di Malaysia. Diakses dari http://www.ukm.my/hairun/kertas%20kerja/produk%20makanan%20 halal.pdf pada 25 Disember 2011.
Mohd Ali Mohd Noor, Hairunnizam Wahid dan Abd. Razak Dan (2011). Strategi ke arah peningkatan daya saing produk makanan halal di Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia. Diakses pada 21 Mac 2012 dari http://www.ukm.my/hairun/kertas%20kerja/ produk%20makanan%20halal.pdf
Mohd Rosli Abdul Aziz, 1998. Suasana Ekonomi Semasa: Hala Tuju Sektor Pertanian Komersial Malaysia. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Pembangunan Usahawan Wanita Dalam Industri Berasaskan Pertanian.
Mohd Yusrin Mohamed Yusof (2010). Hab Halal: Kajian Terhadap Industri Makanan Halal Di Malaysia. Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Tidak diterbitkan.
Muhyidin Mohd Yassin (2010). Mempekasakan Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan Tempatan Dan Penerokaan Berkesan Dalam Pasaran Global: Persiapan Mendepani Cabaran Baru Ekonomi Dunia. Ucapan Persidangan Kongress Ekonomi Islam ke-3 pada 12 – 15 Januari 2010.
Nik Maheran Nik Muhammad, Filzah Md Isa dan Bidin Chee Kifli (2009).  Positioning Malaysia as Halal-Hub: Integration Role of Supply Chain Strategy and Halal Assurance System. Asian Social Science, Jilid 5, Bil. 7.
Nor Aini Idris. 2004. Laporan IRPA: Cabaran Industri Pemprosesan Makanan Halal Bersaiz Kecil dan Sederhana Menghadapi AFTA. Jabatan Ekonomi Pembangunan, Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Tidak diterbitkan.
Norman Ali & Alisa Wanwang (2002). Halal Food: Thai Halal Food Products and International Market. Karlstad Business School, Sweden. Tidak diterbitkan.
Pang, F. & P. S. Toh. 2008. Hawker Food Industry: Food Safety/Public Health Strategies in Malaysia. Nutrition and Food Science. 38 (1): 41-51.
Raja Adam, Z. (2006). Seizing Opportunities in Lucrative Halal Business. New Straits Times, 6 May 2006, 44-41.
Sazelin Arif (2009). Keupayaan Pemasaran dalam Kalangan Pengusaha Kecil Makanan di Melaka Tengah: Satu Kajian Awal. Pusat Bahasa & Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM). Tidak diterbitkan.
Siti Norlina Muhamad et al. (2005). Kecenderungan Ibubapa Muslim Terhadap Pemakanan Halal. Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia. Tidak diterbitkan.
Zawanah Muhammad, Munir Md. Salleh & Abdul Muhaimin Mahmood (2011). Halal: Antara Tuntutan Agama dan Strategi Ekonomi. Diakses dari http://www.islam.gov.my/ muamalat/sites/default/files/kertas_ilmiah/2010/04/halal_antara_tuntuan_agama_dan_strategi_ekonomi.pdf pada 26 November 2011
Zunirah Talib, Suhaiza Zailani and Yusserie Zainuddin (2010). Conceptualizations on the Dimensions for Halal Orientation for Food Manufacturers: A Study in the Context of Malaysia. Pakistan Journal of Social Sciences Jilid 7, Bil. 2, 56-61.



[1]
Kertas kerja ini dibentangkan di Workshop Antarabangsa Pembangunan Berteraskan Islam Ke-5 (WAPI 5) 2012 di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara, Medan, Indonesia pada 10 April 2012.

[2] Norazilawati Md Dahlal merupakan pelajar Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

Ahad, 27 Januari 2013

KISAH PENSIL DAN PEMADAM

Alhamdulillah, tugasan sebagai seorang pelajar sarjana sudah menghampiri ke penghujung. Syukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia dan nikmatnya, penulis berjaya menyempurnakan keseluruhan keperluan untuk berijazah Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam di Universiti Sains Malaysia. Secara teoretikalnya, penulis memperoleh ilmu-ilmu baru dalam pengajian Pengurusan Pembangunan Islam serta ilmu dalam menulis akademik. Selama tiga semester, sebuah disertasi (mini tesis), tiga kertas kerja yang telah dibentangkan di seminar-seminar, dan artikel-artikel akademik bagi keperluan tugasan kursus semester telah berjaya dihasilkan. Terima kasih di atas tunjuk ajar dan sokongan para pendidik ISDEV. Namun, apa yang sangat berharga bagi diri penulis sewaktu menjadi pelajar ISDEV adalah ilmu praktikalnya. Secara jujurnya, penulis pernah belajar agama secara teoretikal sejak dari bangku sekolah lagi. Namun sehingga usia lewat 20-an, penulis tetap merasai sukarnya untuk mempraktikan ilmu-ilmu agama yang telah dipelajari walaupun sekadar ilmu asas sahaja. Malah lebih membeban apabila penulis mahu mempraktikan Islam sewaktu penulis berada di dunia kerjaya, kerana sewaktu itulah pandangan penulis telah menjangkaui apa yang umumnya manusia berkehendak. Dimana perginya wang gaji setelah penat bekerja tanpa mengira waktu? Apakah habuannya setelah berkorban diri dan kesetiaan kepada majikan dan organisasi? Rupanya, ilmu dunia belum cukup untuk memberi jawapan kepada soalan-soalan tersebut. Alhamdulillah, nikmat pemahaman dan kesabaran yang penulis pelajari dan berkat didikan guru-guru serta dengan redha Allah SWT (insyaAllah) telah membuatkan penulis merasa sangat bertuah kerana terpilih dalam memahami ilmu Islam yang maha luas. Entry kali ini bukanlah untuk catatan luahan perasaan penulis, tetapi perkongsian motivasi diri untuk semua pembaca. Penulis ingin berkongsi satu kisah yang penulis dapat dari feed facebook. Kisah ini mengenai perhubungan antara sebatang pensil dan sebiji pemadam. 

**** 
Pensil       : Pemadam, maafkan aku ya. 
Pemadam : Maafkan untuk apa? Kamu tidak melakukan kesalahan apa-apa. 
Pensil      : Aku minta maaf kerana membuatmu terluka. Setiap kali aku melakukan kesalahan, kamu selalu berada di sana untuk menghapuskannya. Namun setiap kali kamu membuat kesalahanku lenyap, kamu kehilangan sebahagian dari dirimu. Kamu akan menjadi semakin dan kecil setiap kali kamu membantu melenyapkan kesalahanku. 
Pemadam : Hal itu benar. Namun aku sama sekali tidak merasa keberatan. Kau lihat, aku memang tercipta untuk melakukan hal itu. Diriku tercipta untuk selalu membantumu setiap kali kau melakukan kesalahan. Walaupun suatu hari nanti, aku tahu bahawa aku akan pergi dan kau akan menggantikan diriku dengan yang baru. Aku sungguh bahagia dengan perananku. Jadi tolonglah, usah kau khawatir. Aku tidak suka melihat dirimu bersedih. 

**** 

Bagaimana anda menterjemahkan kisah ini? 

Dalam kisah ini, pemadam umpama ibubapa atau guru kita yang menjalankan tanggungjawabnya dalam mendidik anak-anak atau pelajar. Manakala, pensil umpama diri kita sendiri sebagai anak dan pelajar. Kedua ibubapa adalah insan yang selalu ada untuk anak-anak mereka dan sentiasa memperbaiki kesalahan anak-anaknya. Guru pula tak jemu memberi tunjuk ajar tanpa ada sengketa mahupun jurang. Setiap kesalahan diperbaiki dengan penuh sabar meskipun adakala diri merasAi perit dan pahit. Seiring berjalannya waktu, mereka ini akan terluka dan menjadi kecil dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka. Secara realitinya, kedua ibubapa dan guru akan bertambah tua dan akhirnya meninggal. Manakala, anak mereka akan bertemu dengan seseorang yang baru (suami atau isteri) atau menjadi orang yang lebih berjaya dan bertemu dengan orang ramai. Walaupun begitu, ibubapa dan guru akan tetap merasa bahagia atas apa yang mereka lakukan terhadap anak serta anak didiknya. Biarpun adakala pahit dan perit, mereka tidak suka anak serta anak diri mereka merasa khawatir ataupun bersedih. 

Sehingga saat ini, sekiranya kita sebagai anak atau pelajar masih menjadi pensil dan selalu ingin menjadi pensil, hal ini akan tetap terus menyakitkan diri anda. Apatah lagi kalau melihat pemadam akan terus dilukai dan bertambah kecil berterusan. Sedar ataupun tidak, penulis juga merasai situasi pensil dan pemadam ini. InsyaAllah, dengan izin Allah SWT dan waktu yang berbaki ini penulis akan berusaha menulis dengan kurang kesalahan yang dilakukan. Juga dengan seiringnya waktu berjalan, biarlah sebatang pensil itu berubah peranan sebagai sebiji pemadam dan tidak selamanya menjadi pensil sahaja dalam usaha menyampaikan ilmu dan memanjangkan jihad di jalan Allah SWT.

Wallahu'alam.

AKU & IIUM

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dah lama aku tak luangkan masa untuk coretkan sesuatu di sini. Ruangan ini dulunya ...