Tuesday, January 21, 2014

FESYEN MUSLIMAH: ADAKAH REKAANNYA SUDAH HILANG SENTUHAN ROH SYARIAT ISLAM?

ARE MUSLIM FASHION LOSING THEIR ISLAMIC TOUCH?

Norazilawati Md Dahlal
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
norazilawatimddahlal@gmail.com


Terkini dalam industri fesyen telah mendedahkan satu bentuk fesyen berpakaian yang dilabelkan sebagai fesyen Muslimah, iaitu fesyen berpakaian yang sesuai dengan wanita Islam. Namun begitu, lambakan rekaan fesyen seperti ini dikatakan telah menimbulkan kekeliruan bagi sebahagian besar golongan wanita Islam mengenai tuntutan berpakaian mengikut syariat Islam. Persoalannya, adakah bentuk fesyen Muslimah yang mengikut tuntutan syariat? Sejauh manakah fesyen Muslimah sedia ada dalam industri ini memenuhi piawaian syariat Islam? Bagaimanakah respons pengguna Islam terhadap rekaan fesyen Muslimah yang kini menjadi keperluan dalam kehidupan?

Artikel ini ditulis bagi tujuan membincangkan tentang lambakan fesyen Muslimah masa kini. Perbincangan ini dilakukan bagi menghuraikan sama ada fesyen Muslimah kini benar-benar memenuhi kehendak dan piawaian Islam atau sekadar fesyen tempelan berjenamakan ‘Islam’. Perbincangan dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, perbincangan mengenai sejarah berpakaian menurut epistemologi Islam. Kedua, artikel ini memuatkan perbincangan mengenai isu-isu penyelewengan piawaian fesyen Islam yang dicemari oleh unsur-unsur fesyen Barat. Ketiga, rumusan mengenai keselarian konsep fesyen Muslimah terkini berdasarkan aspek tasawur Islam.

Sejarah Fesyen Pakaian Islam

Antara nikmat Allah SWT kepada kaum manusia, pakaian merupakan salah satu kurniaan Nya yang sangat besar. Secara fizikalnya, pakaian bukan sahaja mempunyai manfaat serta penting untuk melindungi tubuh badan manusia daripada sebarang bahaya alam sekitar seperti cuaca dan sinaran UV daripada cahaya matahari. Malah, hikmah perintah berpakaian ini dapat memberi manfaat dari aspek spiritual manusia. Kepelbagaian jenis dan cara berpakaian dapat melambangkan kekuasaan yang dimiliki seseorang. Dari aspek perspektif sosial, pakaian mempunyai tiga fungsi iaitu, 1) pakaian dapat membezakan identiti seseorang; 2) pakaian dapat menggambarkan perilaku seseorang dan mengelak dari diganggu; 3) pakaian dapat memelihara emosi seseorang daripada dipermainkan oleh orang yang melihatnya. Sementara dari aspek Islam, pakaian berfungsi sebagai ibadah menutup aurat. Dengan itu, identiti seseorang Muslim dapat dibezakan daripada seorang yang bukan Islam melalui pakaiannya.

Sejarah fesyen pakaian menurut epistemologi Islam bermula ketika manusia pertama diciptakan oleh Allah SWT iaitu Nabi Adam a.s dan Hawa. Ketika di syurga, Allah SWT telah mengurniakan pakaian yang indah dan agung untuk menambahkan kewibawaan makhluk manusia di hadapan para malaikat. Menyorot tentang sejarah kehidupan Nabi Adam a.s dan Hawa di syurga ketika manusia terawal ini melakukan kesilapan pertama dengan melanggar perintah Allah SWT mendekati pohon larangan Nya, Nabi Adam a.s dan Hawa merasa malu dan berusaha menutupi aurat masing-masing dengan menggunakan daun-daun pohon syurga. Melalui kisah ini, ternyatalah bahawa aurat menutup tubuh daripada pandangan orang lain merupakan fitrah manusia. Maka dengan itu, perbuatan membuka aurat ialah satu perbuatan yang melawan fitrah, menimbulkan rasa malu dan sekali gus melawan perintah Allah SWT.

Aspek fesyen berpakaian telah berkembang mengikut peredaran masa. Pada zaman Rasulullah SAW, seni berpakaian pada ketika itu menggambarkan fesyen pakaian mengikut Islam. Fesyen ini terus menjadi ikutan dan panduan umat Islam sehingga kini. Menurut beberapa catatan hadis, Rasulullah SAW gemar mengenakan pakaian yang diperbuat daripada benang bulu biri-biri dan berwarna putih. Fesyen seperti ini bukan menunjukkan Rasulullah SAW terlalu daif dalam pemilihan fesyen untuk dijadikan ikutan dalam fesyen Islam seperti mana yang dimaksudkan oleh segolongan peminat fesyen. Fesyen Rasulullah SAW menggambarkan sifat dan keperibadian sebenar baginda yang kemudiannya menjadi ikutan sunah untuk mengekalkan hikmah berpakaian menurut Islam. Fesyen pakaian seperti mana contoh sunah Rasulullah SAW adalah secara sederhana dan tidak melampau perhiasannya, bersih, kemas dan melambangkan kezuhudan peribadi serta kerendahan hati. Sementara fesyen bagi golongan wanita pada zaman Rasulullah SAW ialah berupa seluar panjang dan baju berbelah di leher. Sesuai dengan keadaan iklim dan persekitaran masyarakat Arab ketika itu, fesyen ini dibenarkan selagi mana pakaian tersebut memenuhi piawaian berpakaian menurut syariat Islam. Sebelum meninggalkan rumah, mereka akan mengenakan tudung untuk melindungi bahagian kepada dan rambut.

Fesyen berpakaian terus berubah mengikut zaman dan gaya persekitaran masyarakat tertentu. Walaupun bagaimanapun, konsep asal berpakaian berdasarkan sunah Rasulullah SAW tetap menjadi panduan seperti mana yang dinyatakan sebelum ini. Dalam etika berpakaian pula, ajaran Islam membenarkan umatnya untuk memakai apa juga pakaian kecuali yang diharamkan oleh syariat. Contoh pengharaman dari aspek pakaian seperti diharamkan sutera bagi lelaki dan diharamkan memakai pakaian yang menyerupai kaum lain. Panduan fesyen Islam lebih mengutamakan adab dalam berpakaian. Allah SWT telah menetapkan garis panduan dan piawaian berpakaian seperti mana yang difirmankan dalam al-Quran yang bermaksud:

Wahai nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuan mu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (al-Ahzab 33:59)

Pada zaman Umayyah dan ‘Abassiyah, banyak pengaruh telah meresap dalam etika pemakaian umat Islam. Kesan penaklukan di setiap wilayah telah menyebabkan rakyat tempatan yang memeluk Islam cuba untuk menyelarikan fesyen pakaian tempatan dengan kehendak berpakaian mengikut piawaian Islam. Wujud pengaruh fesyen gaya mewah pada ketika itu apabila golongan wanita zaman ‘Abassiyah memakai tudung dengan bertatahkan batu permata dan juntaian emas. Perkembangan fesyen mula tercetus sejak awal kurun ke-15. Pembeli boleh menentukan rekaan dan corak pada pakaian mereka. Penentuan corak dan warna pakaian berdasarkan kepada kreativiti sendiri.

Isu Fesyen Muslimah Masa Kini

Fesyen dalam berpakaian merupakan satu gaya yang digunakan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Kemudian, fesyen tersebut menjadi ikutan dalam kelompok masyarakat tertentu. Fesyen juga mempunyai gaya yang khusus dan berubah mengikut peredaran zaman kesan daripada kecanggihan teknologi maklumat, komunikasi dan mobilisasi manusia seluruh dunia. Menurut fesyen Islam, bentuk atau cara pakaian tidak ditentukan secara khusus, baik ketika beribadah atau di luar ibadah. Fesyen Islam hanya menekankan etika dan adab berpakaian seperti bersih, menutup aurat dengan sempurna, sopan dan sesuai dengan keperibadian dan akhlak seorang Muslim. Namun begitu, tamadun Islam telah memberi pengaruh penting dalam pembentukan etika fesyen pakaian masyarakat Islam masa kini. Walau apa pun fesyen yang ingin digayakan, fesyen pakaian Islam masih terikat dengan konsep fesyen mengikut syariat dan menjadikan pakaian sebagai ibadah serta tidak boleh menyebabkan dosa sama ada kepada si pemakai atau orang di sekitarnya.

Dewasa ini, kemajuan teknologi banyak memberi impak dalam perkembangan fesyen pakaian telah menyebabkan dunia berhadapan dengan cabaran-cabaran yang disogokkan dalam dunia fesyen berunsurkan hiburan. Fesyen pakaian berunsurkan hiburan ini menonjolkan kecantikan fizikal melebihi implikasi dan manfaatnya dari aspek spiritual manusia. Ironinya, ramai pengguna khususnya pengguna Islam makin keliru tentang konsep fesyen Islam yang sebenar. Kini, masyarakat Muslim dilonggokkan dengan jutaan jenis dan gaya fesyen ‘Islam’ yang telah dicemari oleh unsur-unsur fesyen barat. Lebih meruncingkan, pengguna fesyen Islam tidak lagi mengendahkan kecantikan sebenar yang digariskan oleh piawaian syariat Islam. Penyelewengan fesyen ‘Islam’ seperti ini telah merebak dalam dunia masyarakat Islam dengan melalui pesta-pesta fesyen sehingga tanpa disedari fenomena ini telah memuliakan fesyen dan gaya terbaru sehingga sanggup menjual agamanya.

Berdasarkan kefahaman kemajuan sekular, Negara Barat dijadikan model dan rujukan untuk membentuk kemajuan dalam bidang fesyen pakaian Islam. Fesyen Islam ini lebih tertumpu pada fesyen Muslimah atau fesyen untuk wanita Islam. Pada asasnya, kod dan etika pemakaian wanita Islam lebih jelas dan mudah difahami dengan menggunakan konsep perhiasan cantik, menutup aurat, sopan dan sederhana atau tidak melampau. Namun, label pada perkembangan fesyen Islam kini kelihatan hanya merujuk kepada unsur-unsur tamadun dan masyarakat Arab tanpa mengambil kira panduan yang ditetapkan Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW serta memahami manfaat konsep fesyen Islam dari sudut spiritual manusia. Aspek yang ditekan dalam fesyen tempelan ‘Islam’ ini hanya merujuk kepada aspek material, aspek kesenian masyarakat Arab dan aspek bentuk serta gaya yang lazim diamalkan dalam masyarakat Arab zaman lampau.

Isu seperti ini menjadi kebimbangan apabila rekaan fesyen yang menggunakan label fesyen Muslimah atau fesyen Islam telah dipertontonkan di pentas peragaan sehingga ke pentas antarabangsa. Oleh sebab aspek fizikal menjadi fokus utama dalam perkembangan industri fesyen pakaian, para peminat dan pereka fesyen telah mengabaikan matlamat sebenar tuntutan berpakaian serta tujuan menghasilkan dan mereka cipta sesuatu fesyen untuk Muslimah. Matlamat asal berpakaian dan menghasilkan pakaian adalah sebahagian daripada memenuhi tuntutan fardu kifayah. Namun, bagi memenuhi ledakan kemajuan dalam industri fesyen antarabangsa, aspek Islam atau halal telah menjadi medium pemasaran yang cukup signifikan kerana aspek ini secara tidak langsung dapat melambangkan konsep baik, sempurna dan menepati ciri-ciri feminin atau kesopanan seorang wanita. Akibat tersasarnya matlamat fesyen seperti ini menyebabkan konsep fesyen Muslimah telah dieksploitasi untuk tujuan keuntungan dan pengiktirafan manusia semata-mata.

Merujuk kepada hasil tinjauan dan penelitian terhadap laman-laman sesawang fesyen terkini, objektif utama penghasilan rekaan fesyen adalah untuk ‘menzahirkan gaya elegan dan lebih berani untuk menonjolkan diri dalam berfesyen’. Tujuan penetapan panduan berfesyen dan menutup aurat kepada manusia bukanlah sekadar untuk menyembunyikan tubuh badan atau menonjolkan diri dengan gaya menarik, tetapi ia merangkumi aspek tasawur berpakaian dan berfesyen atas tujuan sebagai ibadah. Jelas di sini, hubung kait fesyen Muslimah sedia dengan konsep berpakaian menurut Islam sudah jauh tersasar. Pembinaan tasawur fesyen Muslimah banyak memperlihatkan ketidakselariannya dari aspek tasawur Islam iaitu menjadikan Allah SWT sebagai matlamat utama dalam berfesyen; manusia sebagai pengguna ada pereka fesyen yang tidak menjadikan aspek lain selain keredaan Allah SWT dalam berfesyen; dan menggunakan sumber penghasilan fesyen Muslimah sebagai makhluk Allah SWT yang wajib digunakan untuk tujuan yang baik. Allah SWT telah menjelaskan bahawa fesyen Islam sebenar adalah merupakan ‘pakaian takwa’ seperti mana yang difirmankan dalam al-Quran yang bermaksud:

Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (al-‘Araaf 7:26)

Galakan industri fesyen Muslimah semakin bertambah dengan wujudnya cadangan rekaan fesyen berunsur Islam yang berkonsepkan ‘up-to-date’. Konsep sebegini digunakan sebagai satu platform yang mudah kepada penghijrahan golongan wanita Islam khususnya dari aspek berpakaian. Sebagai contoh, wanita Islam yang biasa tidak mengenakan tudung sama ada di dalam atau luar rumah akan mudah membuat penghijrahan diri ke arah menutup aurat atau bertudung apabila konsep bertudung telah difesyenkan mengikut tren. Dengan fesyen terkini yang menampilkan fesyen bertudung tidak lagi menyebabkan pengguna menggunakan alasan bertudung sebagai fesyen ketinggalan zaman atau fesyen lapuk. Namun apabila menilai dan meneliti fesyen berpakaian dengan hanya meningkatkan gred (upgrade) material dan gaya fesyen, hasrat murni menutup aurat belum cukup untuk mencapai matlamat utama mendapatkan keredaan Allah serta mendapatkan kesan dari aspek spiritual dan akhlak Muslimah. Biarpun fesyen terkini dihadirkan lengkap menutup keseluruhan badan termasuk bertudung, tetapi kebanyakan yang terdapat dalam industri ini adalah berbentuk ‘membungkus badan’. Malah ia juga mewujudkan unsur-unsur tabarruj dan al-kaasiaat al-‘aariyaat iaitu berpakaian tetapi bertelanjang. Ada ketika, amalan mengenakan fesyen Muslimah ini hanya dilakukan mengikut musim dan tempat tertentu.


Akhir sekali, terdapat dua elemen yang menjadi rumusan kepada isu fesyen Muslimah masa kini. Pertama; dari aspek epistemologi Islam, tuntutan dan panduan berpakaian menurut syariat Islam telah termaktub dalam sumber-sumber utama Islam iaitu al-Quran dan Hadis. Panduan berpakaian yang dijelaskan dalam al-Quran dan Hadis merangkumi konsep menutup aurat, sederhana, bersih, kemas dan tidak melampau dalam perhiasan. Kedua; panduan yang dinyatakan tersebut belum cukup tanpa melahirkan tasawur berfesyen mengikut tasawur Islam. Biarpun fesyen dan gaya pakaian itu berubah mengikut situasi dan kebiasaan dalam sesuatu kelompok masyarakat, dengan berpandukan syariat Islam dan akhlak Islam, pembentukan tasawur penghasilan rekaan fesyen dan penggunaan fesyen dapat menghubungkan konsep Tauhid dan pengabdian diri kepada Allah SWT. Fesyen Muslimah bukan sekadar untuk kecantikan semata-mata, bahkan dapat disertakan matlamat mendapat keredaan Allah SWT dan akhlak Muslimah yang ideal.

No comments:

Takdir Allah Mengatasi Tadbir Manusia

Satu hari, saya bersama teman singgah makan di sebuah gerai makanan melayu. Setelah mengambil nasi dan lauk pauk, pekerja kedai mengira harg...