Rabu, 14 Mei 2014

Musafir Jiwa

Setelah setahun berganjak waktu, saya kini berpeluang lagi bermusafir bersama guru-guru dan sahabat-sahabat ISDEV. Kami berkumpul lagi di bumi Medan dengan satu tujuan dan satu matlamat. Alhamdulillah, Februari yang lalu saya telah mendaftar sebagai pelajar PhD di USM bagi menyempurnakan hasrat untuk terus menimba ilmu dan memperdalamkan kajian saya dalam bidang industri makanan halal khusus untuk ilmu pengurusan pembangunan Islam.

Walaupun agenda perjuangan dalam bidang yang berbeza, kesepaduan tujuan dan matlamat perjuangan itu jelas kelihatan apabila masing-masing memahami hakikat kehidupan alam ini dan segala isinya. Bersyukur juga saya kepada ke hadrat Ilahi, usaha untuk melengkapkan hasrat menziarahi keluarga ISDEV di Medan dipermudahkan Allah SWT. Tiga bulan sebelum musafir ini, saya mendapat satu peluang kerja di Jabatan Kesihatan Kedah dalam Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sebagai seorang juruaudit MeSTI (satu pensijilan ‘Makanan Selamat Tanggungjawab Industri’). Tanggal 30 April lalu, kontrak sebagai Pegawai Teknologi Makanan telah tamat dan agenda hidup saya diteruskan dengan kembali fokus kepada pengajian PhD. Insya-Allah dalam entri akan datang saya cuba coretkan pengalaman dan ilmu untuk perkongsian bersama.

Sahabat

Sahabat itu sangat indah maknanya. Keindahan dapat dirasai tatkala dapat bermusafir bersama. Subuh pagi terakhir di bumi Medan, seusai solat jemaah sahabat-sahabat berkongsi seribu satu pengalaman dan kenangan untuk dimanfaatkan bersama. Salah satu perkara yang sering muncul dalam perkongsian tersebut ada nilai sahabat. Seawal usia saya dalam pengembaraan hidup ini, guru saya yang kini hebat menempa nama dalam dunia politik di negeri pulau mutiara pernah memberi pesan. Musafir ialah satu cara untuk mengenali seseorang. Apabila saya berpeluang merasai sendiri pengalaman bermusafir secara berjemaah, saya mengakui kebenaran kata guru itu. Sahabat itu baik pada erti dan manfaatnya. Namun ia bukan satu pengukuran untuk menilai dan menghukum baik atau buruknya seorang sahabat. Ukuran itu harus pada diri sendiri serta bagaimana mahu fleksibel membina kawan yang ramai. Walau bagaimanapun, dalam musafir kali ini tetap mengajar jiwa saya tentang makna kejujuran, keikhlasan dan kepekaan dan keprihatinan dalam membina sebuah persahabatan.

Musafir inilah perjuangan dalam membina ukhwah dan bersahabat. Musafir itu bakal mendedahkan hal-hal yang tersembunyi dalam diri teman yang didampingi. Teman sebilik, teman satu kenderaan, teman satu jemaah. Itu mampu mengubah persepsi awal seseorang terhadap sahabat lain yang masih belum mengenali dengan lebih akrab.

‘Apabila redha, pasti akan diberi satu hadiah kejutan’ (Kak Hanani, RISDEV:UUM)

Tafsir Alam

Musafir ini merupakan musafir kali ketiga saya ke bumi Medan. Ketiga-tiga musafir ini dilihat sangat berbeza walaupun bumi Medan tidak banyak yang berubah. Seperti mana yang dimanfaatkan dalam musafir kedua saya ke bumi Medan dan musafir pertama saya bersama-sama guru dan sahabat ISDEV dengan tema ‘Tadabbur Alam’, tafsiran alam yang dapat dilihat sering berubah-ubah. Mata itu kunci kepada ilmu pengetahuan. Namun, sekiranya mata itu hanya dianggap sebagai satu elemen fizikal tanpa menggunakan mata hati maka tafsiran ilmu juga tampak sangat terhad.

Pertama kali saya bermusafir bersama-sama rakan-rakan sepejabat Halal Penang, dua minggu lebih awal dari tarikh musafir kedua saya. Musafir ini merupakan habuan daripada majikan untuk usaha keras kami menjayakan program tahunan PIHEC. Alhamdulillah, walaupun musafir itu lebih kepada rehlah namun pandang pertama saya terhadap alam dan isi kehidupan di bumi Medan banyak membuatkan saya termenung memikirkan sesuatu. Saat itu, banyak tanda tanya yang ditinggalkan tanpa jawapan. Jawapan itu banyak terjawab pada musafir saya yang kedua dengan bantuan dan perkongsian ilmu guru-guru, sahabat dan ilmuan yang turut sama bermusafir yang bertema ‘Tadabbur Alam’ itu.

Untuk ke sekian kalinya, saya kembali menyertai musafir bersama ISDEV dengan makna dan persepsi yang berbeza. Lagaknya seperti sudah mahir tentang alam dan kehidupan bumi Medan. Namun begitu, ia tetap menjadi satu perjalanan yang agak menguji. Ujian yang berbeza, tapi sangat menguja. Musafir yang membuat saya lebih bersedia dan lebih merancang.

Semangat Baru

Setelah hampir tiga bulan berehat dari serius memikirkan tentang penulisan tesis kerana memberi komitmen penuh pada tugasan kerja di JKN Kedah, sekembalinya saya dari bermusafir semangat diri seperti dibajai dan disirami dengan impian memanfaatkan ilmu dan pengalaman sendiri.

Kebetulan tema konferensi pada tahun ini ialah ‘Transformasi Gaya Hidup Halal’, saya merasakan musafir untuk kali sangat menguntungkan saya. Isi perbincangan dan pembentangan memberi sejuta manfaat dan ilmu baru dalam bidang halal. Alhamdulillah. Kesyukuran yang tidak terhingga dengan takdir dan izin-Nya. Bertambah teruja apabila berpeluang dapat berdiskusi secara terus dengan Prof Muhammad Syukri Salleh mengenai kajian PhD tanpa dirancang. Semangat itu kembali mekar mengiringi perjuangan yang masih belum selesai. Insya Allah diharapkan ia terus mekar tanpa bermusim.


Keluar ISDEV yang mengikuti musafir di bumi Medan tahun ini

Musafir Jiwa 2014

Tiada ulasan:

AKU & IIUM

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dah lama aku tak luangkan masa untuk coretkan sesuatu di sini. Ruangan ini dulunya ...