Selasa, 2 Julai 2013

[Piawaian Halal MS1500:2009] Kekangan Dalam Pengurusan Kualiti Makanan Halal

[Malaysian Standard MS1500:2009] Constraints in the management of halal food quality

Nilai eksport dalam sektor industri makanan halal yang berjumlah RM 33 bilion pada tahun 2012 telah menunjukkan perkembangan yang amat membanggakan negara. Malaysia sebagai negara peneraju industri makanan halal akan terus mepertingkatkan usahasaing bagi menjana peluang ekonomi negara di samping merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa. Impian ini dilihat berpotensi tinggi untuk direalisasikan berdasarkan kedudukan Malaysia yang berwibawa sebagai sebuah negara Islam yang progresif, sederhana dan dinamik.

Salah satu usaha penjanaan peluang industri makanan halal adalah melalui pengurusan kualiti Islam yang dapat memastikan kehalalan produk makanan serta perkhidmatan makanan halal. Dengan itu, piawaian halal Malaysia MS1500:2009 - Garis Panduan Asas bagi Pengeluaran, Penyediaan, Pengawalan dan Penyimpanan Makanan Halal merupakan salah satu inisatif Kerajaan Malaysia yang telah dirangka dan dibina melalui Institut Penyelidikan dan Perindustrian Malaysia (SIRIM). Kandungannya adalah lebih komprehensif serta mematuhi standard keselamatan antarabangsa iaitu Hazard Critical Control Point (HACCP). Piawaian ini juga merangkumi pematuhan piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Amalan Kebersihan Baik (GHP) serta menjadikan hukum Syarak sebagai panduan utama piawaian. Apabila piawaian halal MS1500:2009 dikatakan telah menepati atau patuh syariah yang berkonsepkan halal dengan merujuk kepada undang-undang Islam, maka komponen klausa yang terkandung dapat membantu pengusaha makanan dalam mengawal dan menguruskan kualiti, keselamatan serta kesucian makanan yang dihasilkan.

Seiring dengan perkembangan positif ini, piawaian halal MS1500:2009 telah menjadi dokumen rujukan rasmi dalam proses pensijilan halal di Malaysia. Piawaian MS1500:2009 terus mendapat sambutan dalam industri makanan halal sehingga di peringkat global malah di negara bukan Islam juga. Namun begitu, sehingga kini terdapat beberapa isu yang dikaitkan dengan jaminan kualiti halal masih lagi kedengaran di ruang media elektronik dan masih lagi kelihatan di helaian media cetak. Kenapa dan bagaimana perkara ini berlaku?

Merujuk kepada beberapa pembacaan dan penelitian penulis, terdapat empat isu yang dilihat telah menyumbang kepada kekangan pengurusan kualiti halal melalui penggunaan piawaian halal MS1500:2009 . Penulis yakin terdapat banyak lagi faktor yang menjadi kekangan dalam pelaksanaan pengurusan kualiti makanan halal. Apa yang dibincangkan dalam ruangan ini hanyalah sebahagian. Penelitian dan pengkajian berterusan harus dilaksanakan bagi menyumbang kepada pemantapan pembangunan industri makanan halal.

Pertama, isu integriti halal dalam operasi pengeluaran makanan. Secara komprehensifnya, perkara seperti ini perlu diambil perhatian dari keseluruhan aspek jaringan bekalan makanan halal iaitu dari ladang hingga ke meja makan (farm-to-fork). Hal ini termasuklah individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Kenapa penglibatan individu atau dinamakan sebagai pekerja, pengusaha atau pengurus juga dikaitkan dalam soal ini? Perkara ini jelas terbukti dengan perkaitannya dalam isu kedua ini. Isu tersebut telah dibincangkan dalam kajian Soong (2007). Kebanyakkan pengusaha makanan tidak lagi mengamalkan piawaian kualiti makanan halal yang ditetapkan oleh MS1500:2009 setelah produk mereka memperoleh pengiktirafan halal dari JAKIM. Sekiranya piawaian halal MS1500:2009 telah lengkap dan menyeluruh, apa akan jadi pada status makanan yang dihasilkan tersebut?

Ironinya, pelbagai pihak baik dari pihak kerajaan mahupun organisasi bukan kerajaan acapkali mencari ikhtiar untuk mempertingkatkan kesedaran umum tentang betapa pentingnya konsep halal khususnya dalam diet pemakanan Islam. Halal tidak sekadar digunakan sebagai 'market tools' semata-mata. Ia didalami dengan konsep halal sebagai fardhu atau kewajiban bagi umat Islam serta menjadi cara hidup Islam yang diambilkira dosa dan pahalanya. 
Usaha seperti ini dilihat terbatas pada penilaian fizikal iaitu kepentingan penggunaan logo halal yang memberi simbol jaminan kepada kehalalan produk makanan. Ia tidak melihat kepada keutuhan penggunaan rujukan piawaian halal MS1500:2009 ini dari perspektif Islam kerana dokumen inilah yang menjadi panduan produk makanan itu dinilai sebelum diiktiraf kehalalannya. Hasil penelitian, banyak penemuan kajian lepas juga telah membuktikan bahawa kesedaran serta keyakinan terhadap konsep halal sentiasa diambil perhatian (Asyraf Ab. Rahman, Wan Ibrahim Wan Ahmad, Mohd Yusoff Mohamad, & Zainab Ismail, 2011; Mohd Rodzi, 2010; Rezai, Zainalabidin Mohamed, & Mad Nasir Shamsudin, 2012; Suzila Shaharudin, 2011).

Selain itu, bagi isu ketiga adalah dari aspek kehalalan bahan mentah atau bahan tambahan makanan. Sepanjang  aktiviti pemprosesan makanan, sumber asas makanan seperti bahan tambah makanan merupakan bahan utama yang akan digunakan. Bahan tambah ini bukan sahaja berfungsi dalam membantu memelihara jangka hayat dan menambah nilai nutrisi makanan tersebut, malah bahan ini yang akan memberikan status makanan yang dihasilkan sama ada halal, haram atau syubhah. 

Berkait dengan isu integriti yang dibincangkan awal tadi, usaha mendapatkan dan memastikan bahan mentah yang digunakan adalah dijamin kehalalannya merupakan cabaran utama bagi pengusaha dan pengguna makanan (Parveen Jamal, 2011/2012). Kekangan seperti ini menjadi salah satu faktor kesulitan dalam mengekalkan konsep halal di sepanjang pemprosesan makanan biarpun tanpa pemantauan pihak berkuasa. Perkara ini juga menunjukkan bahawa tanggungjawab tersebut terletak kepada setiap individu pekerja, bukanlah semata-mata diserahkan pada pihak berkuasa sahaja. 

Apabila diteliti, sekiranya perkara seperti ini tidak diberi tumpuan penting atau dalam kata operasinya disebut sebagai; ‘critital control point’ tidak diendahkan, maka perkara ini juga tidak mustahil boleh menimbulkan keraguan kepada pengguna Islam. Lebih merumitkan lagi dalam era teknologi tinggi kini. Sumbangan teknologi dalam perkembangan penyelidikan saintifik bidang makanan halal memberi kemudahan kepada umum untuk mengakses maklumat dengan mudah dan cepat. Ia telah memberi impak negatif terhadap keyakinan pengguna dalam pemilihan produk berdasarkan logo dan sijil halal. Akhirnya, situasi ini tidak lagi menjadikan logo dan sijil halal sebagai kebergantungan utama terhadap jaminan kualiti makanan halal tersebut.

Implikasi dari keseluruhan isu ini akhirnya menjadikan kedudukan piawaian halal MS1500:2009 yang menjadi rujukan rasmi bagi proses pensijilan halal mungkin boleh dipersoalkan. Dimanakah lompangnya? Pada pembuat dasar, atau pengamal dasar tersebut?

Pertambahan jumlah masyarakat Islam dunia dan peningkatan kesedaran umum tentang jaminan kualiti makanan halal telah menyumbang kepada perkembangan positif terhadap pengurusan kualiti makanan halal melalui piawaian halal MS1500:2009. Pengurusan kualiti makanan halal ini dilihat semakin mencabar apabila penguasaan industri makanan halal makin menjadi tumpuan bagi pengusaha dari kalangan bukan Islam. Setiap perusahaan yang terlibat dalam pengeluaran makanan kini makin menunjukkan minat untuk menguruskan kualiti makanan halal khususnya pengusaha bukan Islam biarpun permohonan halal adalah secara sukarela. Di penghujungnya, pengiktirafan produk makanan yang diuruskan berpandukan piawaian halal MS1500:2009 menjadi nilai kormersil yang begitu penting dan tinggi sehingga mengatasi sempadan bangsa, agama dan negara.

Namun begitu, konsep Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam menunjukkan, perkembangan positif dalam dunia industri makanan halal tidak terbatas kepada pemilik atau pengusaha Islam sahaja. Ia dikongsikan bersama bagi menampong keperluan ummah di samping memperkenalkan syariah Islam kepada pengusaha dan penguna bukan Islam. Namun begitu, tanggungjawab untuk mengukuhkan pengurusan kualiti makanan halal ini tetap digalas oleh masyarakat Islam itu sendiri. Golongon inilah yang perlu menjadi rujukan dan panduan utama miskipun tidak bergelak pengurus atau pemilik perusahaan makanan halal. Keadaan ini menunjukkan pengurusan kualiti halal tidak dilaksanakan semata-mata untuk merebut peluang meraih tumpuan kuasa pembeli yang kini mementingkan kualiti halal. Ia juga tidak seharusnya menjadikan piawaian halal MS1500:2009 semata-mata sebagai rujukan praktikal sahaja. Malah, penelitian dan penglibatan langsung pengusaha atau pekerja Islam juga membantu dalam memahamkan kesemua bentuk praktikal yang terkandung dalam piawaian ini. Dengan itu, pengamalan pengurusan kualiti halal yang beserta dengan roh syariat dilihat dapat membantu mengelak daripada berlakukan ketidaktelusan dalam pengurusan. 

Jadi sekiranya piawaian halal digunakan semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan halal dalam meningkatkan pasaran produk sepertimana yang dimaksudkan dalam isu yang keempat tadi, bagaimanakah pula status makanan yang dihasilkan itu dari perspektif Islam keseluruhannya? Bagi menjawab keempat-empat isu yang telah dibincangkan dalam ruangan ini serta dapat menampong sebarang lompang serta memenuhi konsep halal yang benar-benar patuh syariah, penelitian dan pengkajian khusus ke atas isi kandungan piawaian halal MS1500:2009 dari perspetif Islam adalah sangat dituntut. Ia dilihat lebih bermakna dan bermanfaat sekiranya menghadirkan roh syariat Islam dalam melaksanakan konsep halal dalam mengurusan pembangunan industri makanan halal. Piawaian halal MS1500:2009 masih belum dapat meyakinkan tahap keberkesanannya jika pengurusan kualitinya hanya mengunakan panduan praktikal yang termaktub didalamnya dan menggunakan penilai fizikal semata-mata.

Wallahu'alam.




Rujukan:

Soong, S. F. (2007). Managing halal quality in food service industry. Master, University of Nevada Las Vegas Singapore. Tidak diterbitkan.
SIRIM. (2009). Makanan halal: Pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan - Garis panduan umum (Semakan kedua). Shah Alam, Selangor: SIRIM Berhad.
Mohd Rodzi, S. (2010). Persepsi Pelajar Fakulti Pendidikan Terhadap Makanan Berlogo Halal. Diakses pada 21 Mac 2012, dari http://eprints.utm.my/10689/1 /Persepsi_Pelajar_Fakulti_Pendidikan_Terhadap_Makanan_Berlogo_Halal.pdf
Suzila Shaharudin. (2011). Persepsi guru pelatih terhadap perkembangan industri makanan halal dalam membangunkan modal insan. Tesis yang diserahkan kepada Universiti Teknologi Malaysia; Tidak diterbitkan.  
Golnaz Rezai, Zainalabidin Mohamed, & Mad Nasir Shamsudin. (2012). Non-Muslim consumers' understanding of Halal principles in Malaysia. Journal of Islamic Marketing, 3(1), 35-46.
Parveen Jamal (2011/2012). The Islamic perspective of the halal chocolates. Halal Page: The official directory for halal industry 2011/2012



1 ulasan:

SIAPA SAYA? berkata...

As salam sis,
Article sis mengenai kekangan dlm pengurusan kualiti makanan memberi input yg bgus kpd saye.

Saye berkerje sbg halal exec di sebuah company bkn bumiputera. Sebagai fresh grad, saye amat berharap sis bole terus berkongsi maklumat dgn saye kerana saye masih baru lg dlm industri halal ni.

Harap sis, teruskn usahe utk menulis berkaitan halal terutamanye industri makanan di malaysia. Ni emel saye fadlina72@gmail.com.

AKU & IIUM

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dah lama aku tak luangkan masa untuk coretkan sesuatu di sini. Ruangan ini dulunya ...