Tanggal 10 Ogos
yang lalu, saya menjalani peringkat terakhir pengajian PhD saya iaitu viva-voce. Gementarnya hanya Tuhan saja
yang tahu. Dua minggu sebelum, tarikh menduduki viva-voce telah diumumkan.
Persediaan awal semasa saya masih di kampung ialah saya hanya mampu
memperbanyakkan waktu saya dengan yang Maha Pemberi Ilmu. Untuk menatap hasil
tulisan dalam tesis, saya tak mampu. Dalam waktu kecemasan sebeginilah, ada
saja ujian yang datang menduga. Dugaan saya sebagai seorang anak, kakak dan adik
kepada ahli keluarga saya. Dugaan saya sebagai seorang teman kepada
sahabat-sahabat saya. Dugaan saya sebagai seorang murid kepada guru-guru saya.
Betapa berkecamuknya fikiran saya sehinggakan peristiwa 3 dan 4 tahun lalu pun
boleh diulang tayang di minda lantas mengusik emosi mencetus syak wasangka saya
terhadap semua orang. Ia berlanjutan sehinggalah petang sebelum hari viva. Allah~
Saat itu, sama
seperti waktu-waktu saya hadapi kecemasan sepanjang saya bergelar pelajar - anak
murid kepada guru yang saya amat kasihi, Dr Sukainah. Kekusutan hati ini walau
disorok kemas pasti dapat dirasai oleh naluri seorang guru yang mursyid. Dengan itu, segala lelah saya luahkan. Saya
dapat bersemuka dan memohon restu segala ilmu yang dicurahkan - dari
hati-ke-hati. Akhirnya, kata-kata beliau yang dapat
saya ‘tangkap’ dan bersemat dalam hati saya ialah ‘Nora, jangan takut kerana blank! Kerana dengan kata blank itu Nora telah letakkan buruk
sangka kepada Allah. Mintalah bantuan Allah supaya dibukakan pintu ilmu.
InsyaAllah semoga semuanya dipermudahkan Allah SWT’.
Sesudah pertemuan
itu, saya betul-betul letakkan segala keyakinan saya kepada Allah SWT. Masa
yang berbaki, saya perbetulkan hujahan berdasarkan soalan-soalan past year serta hot spot questions dengan bantuan pemeriksa lakonan, Hidayah. (Jazakillahu khair jaza’)
Ya Allah, Ya
Rahman, Ya Rahim, Ya Wadud, Ya Jami’ – Semoga Allah yang Maha Pengasih dan Maha
Penyayang tautkan hati-hati panel pemeriksa
Terima kasih
sahabat, Kak Norazita atas saranan mengamalkan zikir ini. Saat mental dan
fizikal diasak teruk dengan ujian derita sebelum derita sebenar tiba, zikir
inilah yang saya mampu amalkan. Ya. Saya akui, bukan mudah nak meletakkan
sepenuh keyakinan kepada Allah dengan sifat lemahnya iman insan seperti saya.
Tapi, tanpa semua ini saya percaya saya pasti tak akan merasai makna meletakkan
keyakinan 100% kepada yang Maha Esa. Walaupun tidak sempurna, sekurang-kurang
usaha ke arah itu telah wujud.
Sekitar jam 11
pagi, satu lafaz yang benar-benar membuatkan air mata saya mengalir mensyukuri
hikmat dan nikmat Allah yang amat menakjubkan. ‘Anda berjaya!’ Subhanallah
Alhamdulillah. Saya menangis
bukan berkehendakkan pada keputusan itu. Saya menangis kerana benar-benar
merasai kasih sayang-Nya. Segala syak wasangka saya sebelum ini telah
membuatkan jiwa saya menderita kerana saya telah meragui Keagungan dan
Kekuasaan Allah Taala, tanpa saya sedar! Apa lagi yang saya mahu dalam hidup
ini, dengan apa yang saya lalui sepanjang menjalani kehidupan sebagai pelajar
PhD penuh dengan onak duri dan pahit getir, Allah balas dengan kenikmatan
dengan sekelip mata atas Kehendak-Nya. Seusai sesi viva hari itu, sekali lagi saya dapat mendengar kata-kata keramat dari guru saya yang saya kasihi, Prof Muhammad Syukri; ‘Dah tak nervous kan? (Beliau tersenyum pada saya) Ingat, jangan derita sebelum derita sebenar tiba.’ Saat itu, saya merasa sangat bahagia. Allah~
Ya Allah Ya Wadud
– Kau Maha Mencintai
PhD itu bukanlah
hanya kerana pencapaian, bukan juga kerana status. PhD itu satu perjalanan.
Perjalanan mencari ilmu. Ilmu dalam menyiapkan satu kajian dalam
bentuk tesis untuk dimanfaatkan, serta ilmu dalam mempersiapkan diri menjadi sebaik-baik
hamba kepada Sang Pemilik Ilmu.
Kepada teman dan
sahabat yang masih berusaha menyelesaikan pengajian anda, dengan rendah hati
saya kongsi satu tips mudah untuk mengakhiri perjalanan PhD dengan penuh
bermakna.
Tips Tesis ‘SIAP dan
BERKUALITI’
Harus diingat, hanya tesis
yang siap sahaja yang layak diserahkan untuk dinilai. Untuk hasilkan tesis yang
siap pula saya amalkan tiga jenis pantang. Tapi cukupkah dengan hanya SIAP? Bagaimana
pula dengan KUALITI? Inilah yang membezakan tujuan dan matlamat kita sebagai
pejuang ilmu Allah atau sekadar mendapat segulung ijazah. Usah kita nilai orang
lain, tapi sebaiknya kita nilai diri kita sendiri sebagai tanda kita seorang
yang bijaksana.
Berkualiti di
sini bukanlah bermakna kajian dan tesis yang kita hasilkan itu wajib power! Atau berkualiti yang menunjukkan
bahawa penyelidik itu mesti bijak. Tidak sama sekali. Kefahaman kualiti cara
ini adalah mengikut kefahaman konvensional yang mentakrifkan kualiti itu
terbatas pada kemampuan fizikal atau material semata-mata. Sebaliknya dengan
kefahaman berasaskan Islam, kualiti yang boleh kita manfaatkan dalam
menyempurnakan kajian dan penulisan tesis mempunyai makna yang sangat luas. Kualiti
yang boleh dilihat dari sudut kepuasan. Kepuasan kita sebagai penyelidik yang menghasilkan
tesis yang sempurna dengan berusaha sehabis baik; kepuasan penyelia yang menjadi
pendidik dan pembimbing bukan sahaja berjaya memandu anak didiknya sehingga selesai PhD, tapi yang lebih bermakna dapat melahirkan anak didik yang berguna dunia akhirat; kepuasan pemeriksa yang menilai hasil kerja yang
dipersembahkan dalam tesis dan secara oral serta keperibadian diri penyelidik;
kepuasan yang bakal diterima oleh seluruh masyarakat sebagai kelompok utama
yang mendapat sumbangan dari hasil kajian kita dan yang paling penting kepuasan
dari sudut redha dan restu Allah – Sang Pemilik Ilmu.
Jadi, selagi mana
manusia itu berakal dan boleh berfikir dengan baik, manusia itu sebenarnya
bijak. Semua orang ada kebijaksanaan masing-masing. Bagaimana mahu menggunakan
kebijaksanaan kita untuk menghasilkan tesis yang power? Perkara ini berkait
dengan konsep rezeki dan nilai barakah yang hanya dapat diperoleh melalui ‘kebijaksanaan’
kita menguruskan hubungan diri kita dengan Pencipta serta hubungan diri kita
dengan manusia lain serta alam sekeliling. Semua ini dikira!
Oleh itu, amalan pantang yang pertama - JANGAN SUKA MEMBANDING-BANDINGKAN
diri kita dengan orang lain. Kita kenali kelebihan dan kelemahan sendiri.
Sebarang kelebihan itu dimanfaatkan sehabis baik dan diserahkan kembali kepada
Allah. Moga-moga urusan kita dalam menuntut ilmu ini diberkati Allah. Sebenarnya,
inilah yang menjadi pemangkin kepada proses menghasilkan satu kajian dan tesis
yang benar-benar power! Jangan pula
kita terlalu selesa dengan kelebihan yang kita ada. Bertitik tolak dari
keselesaan itulah datangnya dugaan yang menguji sama ada kita benar-benar power atau tidak.
Sekiranya kita sibuk membandingkan diri kita dengan orang lain, sesungguhnya
ia sangat merugikan. Lama-kelamaan dengan perbandingan yang kita lakukan, kita sendiri
telah memperakui kelemahan sendiri. Inilah yang menjadi racun dalam diri dari
terus bersemangat untuk menghasilkan satu kajian dan tesis yang berkualiti.
Dari sudut kelemahan diri, manusia itu sebenarnya dicipta dengan banyak
kelemahan. Lalai (102:1); penakut (2:155); tergesa-gesa (17:11), suka membantah
(16:4); berlebih-lebihan (10:12); pelupa (39:8), suka berkeluh-kesah (70:20).
Tapi tidak bermakna kita terpaksa akur dengan semua kelemahan ini dan
membiarkan sahaja kesalahan yang kita lakukan disebabkan oleh kelemahan ‘semula
jadi’ ini. Membiarkan sahaja kajian dan tesis dihasilkan secara ala kadar hanya
kerana kita akur dengan kelemahan diri. Ini bukan masa untuk merendahkan diri sendiri. Sebaliknya peluang dan ruang yang Allah telah berikan kepada kita sebagai
seorang penyelidik dan penuntut ilmu ini merupakan peluang yang sangat berharga. Ayuhlah kita
berusaha memperbaiki diri. Setidak-tidaknya waktu inilah kita gunakan untuk belajar berani membuat silap atau belajar dari kelemahan untuk bersedia menjadi
yang terbaik. Paling penting bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan dan hasilkan.
Amalan pantang kedua ialah JANGANLAH CEPAT MENGELUH (dalam loghat Kedah
yang kerap kali saya guna untuk memperingatkan diri sendiri; JANGAN BEBAI). Perjalanan
sebagai seorang pelajar PhD sama seperti kita menjalani kehidupan sehari-hari.
Misalnya bagi yang berumah tangga, ujian kehidupan itu tidak memilih sama ada
anda seorang pelajar PhD atau tidak. Atau bagi yang masih single, ujiannya tetap ada. Sudah pasti perkara-perkara ini sedikit
sebanyak memberi kesan kepada tahap kualiti diri kita untuk menghasilkan tesis
yang berkualiti. Macam firman Allah dalam al-Quran, ‘tidak dikatakan
seorang itu beriman selagi dia tidak diuji (29:2)’. Jadi, berjaga-jagalah.
Jangan cepat bebai!
Peringatan yang paling mudah; dalam usaha merealisasikan target menulis sehelai kertas sehari, ada ketika kita tidak dapat
menulis langsung. Waktu itu juga kita mula membandingkan diri kita dengan orang
lain tanpa sedar. Atau kesilapan secara halusnya, kita mudah untuk bercerita
kepada teman. ‘Aku tak boleh tulislah!’. Mengulang-ulang frasa tersebut dengan
harapan ‘ilham’ datang bak bulan jatuh ke riba. Sedangkan peraturan berilmu itu kan wajib adanya usaha bersungguh-sungguh, ikhtiar, berkorban, yakin dan tawakal. Perkara
ini nampak seperti kecil, bukan? Tapi sebenarnya, ia memberi kesan yang cukup
mendalam bagi diri penyelidik/penuntut ilmu. Kesannya boleh dilihat melalui
sikap kita yang suka bersyak-wasangka. Oleh itu, pantang yang ketiga ialah JANGAN SUKA BERSANGKA
BURUK.
Seperti diri saya sendiri, saya juga mengalami saat turun naik dan pasang
surut kerana saya masih seorang manusia biasa. Saya masih berurusan dengan
perasaan dan emosi. Tip dan pantang larang ini menjadi ‘arahan’ pada diri
supaya tidak kalah sebelum berjuang. Perjuangan itu perlukan pengorbanan dan
istiqamah di jalan kebaikan. Mengenal mazmumah diri yang menjadikan diri kita
terlanggar pantang larang tersebut. Sekiranya berlaku, perbaiki hubungan diri
kita dengan Pencipta serta hubungan diri kita dengan manusia lain serta alam
sekeliling. Di mana-mana saja kita berada, sama ada kita putuskan untuk
melanjutkan pelajaran atau berkerjaya selagi namanya kehidupan, ujian dan
cabaran tetap ada. Keep Positive!
Kisah anda pasti berbeza dengan kisah saya. Situasi anda semestinya tidak sama dengan situasi saya. Ujian dan cabaran hidup anda tidak serupa dengan apa yang telah dan sedang saya alami. Perbezaan ini bukanlah satu penghalang untuk anda dan kita semua terus bersemangat meneruskan perjuangan ini. Yakinlah bahawa Allah SWT sebaik-baik Pentadbir. Dia jualah yang menyusun cerita anda dan cerita saya. Walau ia berbeza, tapi pegangan kita tetap sama. Matlamat kita serupa, perjuangkan ilmu Allah dengan sebaik-baik usaha dan ikhtiar. Moga-moga dengan usaha ini, Islam tetap terus berkembang dan gah. InsyaAllah~
Yang baik itu datang dari Yang Maha Kuasa,
Yang buruk itu adalah kesilapan dan kekhilafan diri saya sebagai seorang
insan biasa.
Yang sentiasa mendambakan kemaafan dan pengampunan dari Tuhan dan seluruh
insan yang mengenali diri ini - Nora Dahlal
 |
Bersama panel pemeriksa, pengerusi viva-voce, penyelia utama dan bersama |