Rabu, 17 Julai 2024

MENCAPAI JIWA YANG TENANG DI TENGAH HIRUK PIKUK KEHIDUPAN

Hakikat kehidupan dunia yang fana ini adalah untuk menguji setiap makhluk berjiwa sebelum kembali ke alam akhirat yang abadi. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 185, "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."

Setelah manusia meninggal dunia, jiwa mereka akan dibangkitkan kembali untuk mempertanggungjawabkan segala amalan yang dilakukan sewaktu hidup. Peristiwa penting yang akan berlaku di padang mahsyar itu ialah umat manusia berjalan di atas titian sirath untuk menentukan destinasi akhir jiwa masing-masing - sama ada menuju syurga atau neraka. Allah SWT hanya menyediakan dua tempat akhir tersebut sahaja tanpa ada pilihan ketiga ataupun kawasan perantaraan di antara kedua-duanya.

Persoalannya, apakah kriteria utama untuk manusia dapat memasuki syurga? Al-Quran dengan jelas menyatakan bahawa hanya manusia yang mempunyai jiwa yang tenang sahajalah yang layak untuk mencapai syurga seperti firman Allah: "Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang rida dan diridai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku." (Surah al-Fajr ayat 27-30)

Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang jiwanya tidak tenang, yang sering dilanda tekanan, kerisauan, kemurungan dan kecelaruan mental? Apakah jalan akhir bagi mereka selepas kematian? Di sinilah kita perlu mengimbau kembali hakikat bahawa kehidupan di dunia ini adalah satu ujian besar untuk setiap individu memilih jalan mereka sendiri - sama ada terus menuju syurga atau neraka. Oleh itu, setiap jiwa mesti memiliki pilihan sendiri untuk menentukan jalan akhir mereka semasa masih hidup di dunia. Adakah kita benar-benar telah bersedia dengan jiwa yang tenang untuk kembali kepada Allah SWT? Atau masih wujud luka batin, keresahan dan kegelisahan yang membuat jiwa tidak tenang?

Realiti kehidupan masa kini amat kompleks dan rumit untuk dirungkaikan dengan mudah. Sering kali apa yang kita hadapi adalah penuh kontroversi dan  membuatkan perasaan tidak tenang. Dalam sistem kemasyakatan kini telah menjadi kebiasaan apabila individu lebih cenderung memilih untuk mengabaikan sesuatu masalah dengan hasrat memperoleh ketenteraman mengikut cara sendiri, khususnya apabila masalah itu berkaitan dengan individu lain.

Ramai yang cenderung untuk mengambil jalan mudah dengan hanya 'melupakan' dan membiarkan masalah itu berlalu begitu sahaja atas andaian bahawa 'masa akan mengubati luka'. Mereka berharap dengan melakukan demikian, jiwa mereka akan menjadi lebih tenang. Secara zahir atau luaran, mereka memang akan memperoleh ketenangan yang dihajati kerana tidak lagi terbabit dengan masalah tersebut. Namun, pendekatan ini hanya akan menyebabkan masalah menjadi lebih rumit dan pahit untuk ditangani pada masa hadapan. Inilah fenomena yang dikenali dalam bidang psikologi sebagai "trauma". Apa sebenarnya yang berlaku ialah luka batin dan trauma yang hanya tertangguh untuk sementara waktu di sudut hati. Akibatnya, jiwa akan menjadi semakin resah, tertekan, murung dan mengalami kecelaruan mental yang kronik.

Selain elemen hati dan ruh, manusia dilengkapi dengan elemen akal yang terdiri daripada minda sedar dan minda separa sedar. Minda separa sedar ini memainkan peranan penting, memandangkan ia merupakan tempat penyimpanan sebanyak 90% daripada pengalaman dan memori seseorang. Sekiranya kita cuba melupakan atau menafikan kewujudan pengalaman pahit yang pernah dialami, ia tidak akan hilang begitu sahaja. Sebaliknya, pengalaman itu akan terpendam di sudut jiwa dan tersimpan di minda separa sedar. Jika tidak ditangani dengan cara yang betul, lama-kelamaan, bebanan pengalaman pahit itu akan terus memberat dalam jiwa serta menganggu minda seterusnya menghalang diri individu untuk menikmati ketenangan dan kebahagiaan hidup. Pengalaman pahit dan kecederaan pada hati yang terpendam tidak akan lenyap begitu sahaja, malah akan terus bersubur dan terpelihara dalam jiwa. Apabila sampai masanya, iaitu ketika diuji dengan situasi atau cabaran yang serupa, ia akan tersua semula dan menimbulkan luka serta keresahan jiwa yang lebih dahsyat berbanding sebelumnya.

Untuk memahami permasalahan ini dengan lebih mendalam, kita perlu meneliti semula hakikat penciptaan manusia itu sendiri oleh Allah SWT yang terdiri daripada lima elemen utama - jasad atau tubuh fizikal, akal atau minda, hati atau qalbu, nafsu dan ruh. Kelima-lima elemen ini perlu dijaga keharmonian dan keseimbangannya agar jiwa tenang dapat dikecapi. Namun, ini tidak bermakna seseorang itu bebas dari sebarang masalah atau cabaran hidup, apatah lagi pada zaman moden ini yang penuh dengan tekanan hidup yang hebat. Kehidupan yang penuh tekanan dan desakan materialistik menyebabkan ramai individu mengalami keresahan jiwa yang membawa kepada masalah seperti stres, kemurungan, kecelaruan mental dan kerisauan. Tidak mustahil, trauma dan luka batin yang belum selesai turut menyumbang kepada masalah ini menjadi lebih serius dan adakala sukar dirawat, bahkan memberi ancaman pada nyawa sendiri atau kesan yang lebih teruk kepada sekeliling terutama mereka yang hampir dengan kita.

Dalam konteks akhirat dan keredaan jiwa yang dijanjikan Allah SWT itu, kita dapat melihat bahayanya menghayati pendekatan "melupakan" sebagai kaedah menangani masalah jiwa ini. Jiwa kita semakin lama semakin tertindih dengan pelbagai pengalaman dan trauma yang tidak ditangani hingga ianya menjadi keruh, kusut, murung, cemas dan resah gelisah. Sudah tentu dalam keadaan sebegini, jiwa kita tidak mungkin mencapai tahap ketenangan dan keredaan yang dikehendaki untuk melayakkan diri meraih syurga di akhirat nanti.

Persoalannya, bagaimana kita dapat memastikan jiwa kita benar-benar tenang dan reda (redho) dengan apa yang dikurniakan Allah SWT sedangkan dalam kehidupan ini kita tidak dapat lari dari menghadapi dugaan dan cabaran? Bukankah kita juga manusia biasa yang tidak dapat tidak turut bergelut dengan pelbagai masalah seperti orang lain?

Setiap dugaan yang dilalui dalam kehidupan adalah ujian sama ada kita mampu menanganinya dengan kesabaran dan keikhlasan hati. Ia lebih bermakna jika kita dapat menikmati setiap peristiwa sebagai jalan untuk merasai ketenangan dan kebahagiaan sejati. Namun, hal ini sukar dicapai sekiranya dalam diri masih tersimpan luka yang belum pulih, meskipun secara luaran kita mungkin tidak lagi terbabit dengan masalah tersebut. Ketenangan dan kebahagiaan yang digapai hanyalah sementara dan palsu jika ia dicapai dengan cara yang menyakiti diri sendiri atau orang lain. Mana mungkin seseorang boleh merasai tenang dan bahagia sejati dengan berjalan di atas kemelutan dan derita?

Oleh itu, kita tidak dapat mengatakan telah berjaya memperoleh jalan ke syurga melalui jiwa yang tenang sedangkan apabila diingat semula, hati masih terasa sakit. Ini bermakna kita belum benar-benar redha dengan apa yang telah berlaku. Kebanyakan individu terlupa bahawa kebahagiaan sebenar datangnya dari kebahagiaan hati. Apabila hati tenang, segala kebahagiaan akan datang dengan sendirinya.

Punca kemelut ini adalah kerana manusia semakin hilang kewarasan dan pegangan hidup yang kukuh untuk benar-benar mengusahakan keredaan hati agar jiwa menjadi tenang. Mereka terlalu mudah terperangkap dalam lingkungan 'jiwa yang tidak tenang' yang dipenuhi tekanan, kerisauan dan kecelaruan akibat gagal menguruskan cabaran kehidupan dengan bijaksana. Untuk meraih ketenangan jiwa, manusia mesti mengambil pendekatan holistik dan menyeluruh terhadap kelima-lima elemen utama dalam diri iaitu jasad, akal, hati, nafsu dan ruh. Ketidaktenteraman jiwa sering bermula dari pengabaian terhadap salah satu dari elemen tersebut sehingga menjejaskan elemen-elemen lain.

Sebagai peneladanan, seseorang yang mengabaikan kesihatan jasmani dan hanya mengejar kepuasan hawa nafsu semata-mata, akhirnya akan mengalami kerosakan pada akal fikirannya. Ini seterusnya memberi kesan ke atas emosinya dan menjadikan hatinya tidak tenang. Begitu juga jika mensia-siakan akal untuk berfikir secara rasional, mengabaikan hati dan keredaan ruh, sudah pasti jiwa tidak akan mencapai ketenangan. Justeru, untuk mencapai jiwa yang tenang, seluruh komponen jasmani dan rohani manusia perlu diuruskan dengan sebaik mungkin. Ini bukan satu usaha yang mudah pada zaman serba mencabar ini. Ia memerlukan komitmen jitu, keazaman yang tinggi dan berpandukan petunjuk kerohanian seperti yang ditunjukkan oleh ajaran agama.

Adalah penting untuk kita menyedari bahawa kehidupan di dunia ini bukanlah matlamat akhir, tetapi hanyalah jambatan untuk sampai ke akhirat yang lebih kekal abadi. Jika kita terlalu terpedaya dengan kesenangan dunia yang sementara, sudah pasti jiwa kita akan terus dihimpit kerisauan hingga ke akhirat nanti. Dalam hal ini, menjaga hubungan baik dengan sesama manusia dan alam sekitar juga memainkan peranan penting. Keharmonian dalam interaksi sosial serta pemeliharaan alam semulajadi mampu menenangkan jiwa dari tekanan dan kerisauan duniawi. Inilah antara falsafah Islam yang menyeru kepada keseimbangan dalam segenap aspek kehidupan untuk mencapai kesejahteraan jiwa.

Di akhir kehidupan fana ini, segalanya akan kembali kepada Allah SWT. Tidak ada daya dan upaya melainkan pertolongan-Nya jua. Maka dengan sepenuh hati, marilah kita berusaha meraih ketenangan jiwa agar kelak di akhirat nanti, jiwa kita menjadi jiwa yang tenang yang diperkenankan untuk masuk ke dalam kumpulan hamba-hamba Allah SWT yang ditempatkan di syurga-Nya yang penuh dengan kenikmatan abadi. Seperti diungkap oleh Jalaluddin Rumi, "Tugas kita bukanlah untuk mencari cinta, tapi sekadar untuk mencari dan menemukan segala penghalang di dalam diri sendiri yang kita bangun untuk menahan cinta itu."

Tiada ulasan:

MENCAPAI JIWA YANG TENANG DI TENGAH HIRUK PIKUK KEHIDUPAN

Hakikat kehidupan dunia yang fana ini adalah untuk menguji setiap makhluk berjiwa sebelum kembali ke alam akhirat yang abadi. Sebagaimana fi...