Isnin, 7 Ogos 2017

Takdir Allah Mengatasi Tadbir Manusia

Satu hari, saya bersama teman singgah makan di sebuah gerai makanan melayu. Setelah mengambil nasi dan lauk pauk, pekerja kedai mengira harganya. Jumlah bagi dua pinggan nasi kami ialah RM9.50. Pada ketika itu, saya dan teman sedang berebut ingin membayar. Kedua-duanya menghulur not RM10. Akhirnya, wang saya yang diterima oleh pekerja kedai.

Seketika kemudian, setelah pekerja tersebut membawa not tadi ke kaunter wang untuk menukarkan baki sebanyak 50 sen, tiba-tiba pekerja ini menjerit. 'Kenapa bagi duit terkoyak ni?'.

Dia menunjukkan not yang terkoyak itu dari tempat kaunter wang yang agak terlindung dengan rak hidangan lauk pauk. Saya menegaskan itu bukan wang saya, kerana saya yakin wang yang saya berikan tadi masih baru dan berkeadaan baik. Pekerja itu masih bersungguh menuduh bahawa wang terkoyak itu dari saya dan meminta saya supaya menukarkannya dengan yang baru. Saya juga bimbang kalau-kalau tuduhannya itu betul, dan barangkalin ia boleh jadi kesilapan yang saya tanpa saya sedari.

Walaupun dia kerap mengucapkan maaf, saya membiarkan saja kerana saya yakin wang terkoyak itu bukan milik saya. Hairan! Agak lama wang asal berada dalam genggaman saya ketika kami sedang berebut-rebut untuk membayar sebelum ia berpindah tangan, tiada pula cebisan terkoyak itu bercerai sebagaimana yang ditunjukkan oleh pekerja itu. Akhirnya, saya biarkan saja pekerja itu 'menang'. Kami segera menghabiskan makanan dan dengan itu kami akan segera sampai ke destinasi.

Selepas dari kejadian itu, saya masih berfikir. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Bukanlah niat saya untuk terus mencari jalan untuk menegakkan yang hak. Kalaupun saya masih mahu mengatakan bahawa wang yang tidak terkoyak itu milik saya, tapi kaedahnya tetap harus 'dipelihara'. Sekiranya saya masih tertegas menyatakan bukan salah saya, maka makanan yang kami beli tadi tidak lagi 'enak' untuk dijamah.

Soalnya, bagaimana kaedah yang dikatakan dipelihara itu?

Mungkin pada ketika itu, saya merasakan bahawa saya seorang manusia yang mempunyai hak untuk menyatakan saya adalah benar. Pekerja itu tidak sepatutnya mempergunakan saya untuk mendapatkan wang yang baru bagi menggantikan wangnya yang terkoyak. Ia perlu diadili dengan seadilnya. Patutkah saya biarkan perkara itu diperbesarkan sehingga orang ramai dapat mengambil tempat sebagai pengadil? Bagaimana kalau saya biarkan nafsu saya yang menang? Dengan teknologi tular masa ini, saya fikir ia mampu membantu diri saya menjadi 'pemenang'. Paling tidak, saya menang untuk 'menjatuhkan' pekerja kedai itu. "Nah, rasakan balasan kerana memperbodohkan orang lain!" Mungkin inilah kepuasan yang saya dapat.

Oleh sebab saya seorang manusia dan juga seorang Muslim, not RM10 itu bukanlah nilai yang besar untuk dipertahan sehingga tergadai maruah dan akhlak seorang Muslim. Inilah fenomena yang melanda masyarakat kita. Ini adalah situasi sebenar yang acapkali kita tahui melalui kisah tular di laman sosial. Kali ini, Allah izinkan saya alaminya sendiri. Di sinilah pentingnya fungsi iman yang bertapak pada hati yang bersih.

Lama saya juga termenung memikirkannya. Saya seolah memahami apa yang dirasai oleh orang-orang yang senasib saya dan pernah berkongsi cerita mereka di laman sosial. Mungkin niat mereka untuk mendapatkan kemenangan dari pengadil 'keyboard'. Atau mungkin niatnya untuk memberi pengajaran kepada orang lain dan meminta orang lain supaya berhati-hati.

Soalnya, berhati-hati yang bagaimana? Perlukah kita berhati-hati sehingga sentiasa mencurigai orang lain. Kelak, nilai insan dan ukhwah tidak lagi relevan kerana keperluan 'berhati-hati'. Bersangka baik juga tidaklah sehingga membiarkan diri terdedah dengan kebinasaan. Jadi, soalnya bagaimana?

Namanya manusia, seteliti mana pun kita berjaga-jaga andai Allah mentakdirkan bahawa pada ketika itu dan di suatu tempat itu Allah mengizinkan perkara sebegini berlaku, apakah kita dikatakan leka daripada berhati-hati? Atau lebih teruk lagi, kita dikatakan tidak bertanggungjawab dan seumpamanya.

Dalam surah Yunus (10:12) dan al-Fursilat (41:50), manusia merupakan makhluk pelupa. Pelupa salah satu sifat lemah bagi manusia. Setelah kita tersedar bahawa kita terleka dan orang yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kelekaan diri kita, dari satu sudut sebagai seorang manusia biasa tentu diri merasakan tersangat bodoh kerana dipermainkan orang lain. Adakah kita boleh tertegas dan berlawan dengan pekerja tadi sebagai contoh? Sehingga mungkin boleh menimbulkan pergaduhan, dan akhirnya diketahui ramai. Ya, sebagai manusia biasa sekiranya kita mengikut tuntutan nafsu mempertahan bahawa kita tidak salah kerana sememang kita memang berlaku jujur dan menyakininya. Sudah tentu kita tak kisah sekiranya masalah itu diperbesarkan dan diketahui orang lain kerana rasa ego di dalam diri. 'Asal aku menang, dia yang salah!'

Barulah hati saya kembali tersenyum. Agaknya hanya kerana manusia biasa yang terlalu menangkan ego dan nafsu, diri sendiri yang akan kalah nanti. Mungkin kalah dengan diri sendiri kerana hati tentunya tidak akan tenang kerana memikirnya sakitnya hati diperlakukan sedemikian. Sedangkan sekiranya hati bertindak mengikut iman, perkara itu boleh diselesaikan tanpa diperpanjang atau diperbesarkan sehingga ada kemungkinan tersebar satu dunia. Inilah teknologi 'viral', satu bentuk fitnah masa ini yang sangat ditakuti. Allahu akbar!

Hati memujuk lagi. Usai solat dan memohon doa semoga Allah tetapkan iman... sampai mati. Ya, dengan iman. Hati menjawab dengan iman, masalah seperti wang terkoyak tadi boleh diselesaikan. Alhamdulillah cuma RM10. Biarkan saja pada pekerja tadi. Seandainya kita dipihak yang benar, dengan jawapan iman; 'insyaAllah wang tadi saya sedekahkan, wang yang terkoyak ini saya boleh tukar kepada yang baru di bank saja'. Tapi seandainya pekerja itu betul, dan saya tak terus berada dalam kesilapan. Jadi, saya masih boleh menikmati makanan yang dibeli tanpa ada rasa bersalah.  Dengan jawapan iman, itu ada ujian. Ujian sebagai kafarah kesan dosa sebelum ini, mungkin. Ujian untuk Allah tegur supaya kembali berhati-hati kerana Allah SWT.

Untuk bertindak dengan iman, untuk menjawap persoalan dengan iman, ia bukanlah perkara yang boleh dapat dengan sekelip mata. Iman itu perlu dididik. Didikannya bukan sehari dua, didikan hati dengan iman perlukan masa dan pengorbanan. Bermujahadah. Berusaha meminimakan mazmumah, dan memaksimakan mahmudah. Usaha dan pengorbanan inilah dinamakan bermujahadah. Bermujahadah pula perlukan alat. Alatnya ialah amalan wajib dan amalan sunat. Ilmu pula penggerak alat tadi untuk berfungsi. InsyaAllah, kalaupun kita mahu berhati-hati. Kita berhati-hati tanpa menidakkan kuasa Allah sebagai Penentu takdir manusia. Berhati-hatilah kita dengan bantuan Allah.

Khamis, 26 Mei 2016

Setia Hujung Nyawa

Kenapa setia hujung nyawa? Kerana inilah tahun terakhir saya terpaksa berkorban dan berusaha sehabis baik untuk menunjukkan rasa cinta saya kepada tesis. Harapnya begitulah. Masa begitu pantas bergerak. Langsung saya tak perasan. Tarikh entry sebelum ini bulan Oktober tahun lepas. Terkejut pun, macam acah-acah dunia ku yang terlalu sibuk. Tidak juga terlalu sibuk. Cuma, saya begitu asyik menyusun strategi untuk menyiapkan fasa kedua penyelidikan PhD saya.

Saya tak fikir yang saya boleh menyusun ayat mencerita sesuatu tentang perjalanan PhD saya ketika ini. Diharapkan perjalanan ini bermanfaat untuk diri saya walaupun pahit berselang seli dengan manis hati berbunga mekar.

Takkan saya biarkan PhD terkubur sebelum ditemui cinta setia nan suci itu. InsyaAllah.


Khamis, 1 Oktober 2015

Musafir Mencari Erti Tenang

Rasanya masih belum terlambat untuk saya catatkan rasa bahagianya bermusafir; musafir mencari erti tenang.

Kali ini saya diberi peluang untuk bermusafir ke negara orang dalam tempoh yang agak panjang. Negara Brunei Darussalam. Kesempatan yang tidak ternilai harganya ini, tidak mungkin saya akan lepaskan merujuk kepada beberapa sebab. Pertama, tawaran bermusafir ini dilakukan atas tujuan untuk menyertai kursus asas Bahasa Arab di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). UNISSA merupakan universiti yang mempunyai kepakaran khusus dalam pengajian Bahasa Arab. Kedua, peluang bermusafir mengenali negara yang diberkati Allah SWT di atas pentadbiran yang berasaskan kepada syariat Islam. Ketiga, peluang untuk melebarkan ukhwah dan dakwah.

Memang. Sudah lama saya mengidamkan untuk bermusafir ke Brunei yang dirahmati Allah. Tapi tidaklah seawal dan semudah seperti yang saya sangkakan. Sebab itu, sebaik saja Prof mengumumkan tawaran ini, hati saya melonjak kegirangan. Macam tak percaya pun ya! Selesai kelas pengajian petang itu, saya terus berjumpa dengan Dr Sukainah mohon keizinan. Padahal, program itu lambat lagi. Saya juga antara yang terawal membayar duit untuk tiket. Wah, semangat tak?! Biasanya, saya akan bincang dengan mak ayah, tanda mahu minta izin. Tapi kali ini, saya yakin, mak ayah pasti mengizinkan. 'P lah hang. Tengok negara orang, negara yang berani laksanakan hudud.' Itu lah kata-kata mak yang saya masih ingat.

Alhamdulillah. Pada 27 Julai 2015 bersamaan 11 Syawal 1436H (Isnin), rombongan seramai 17 muslimat, 5 muslimin dan seorang pensyarah pengiring berangkat ke Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Tempoh selama 5 minggu di sana cukup memberi manfaat, ilmu dan pengalaman yang cukup bermakna. Secara peribadi, ia sukar digambarkan dengan kata-kata. Pada dua minggu pertama, saya dan sahabat-sahabat masih belajar mengenali adat, budaya dan masyarakat di Brunei. Khususnya di sekitar kawasan penginapan kami selama sebulan iaitu Gadong, Brunei Darussalam. Saya lebih selesa untuk memerhati. Adakala pengamatan itu terlalu mengasyikkan. Betul-betul telus menembusi hati. Aneh ya hidup di Brunei? Sesekali saya sendiri terkedu, buntu. Kenapa di sini (Brunei) sungguh mengasyikkan?

Pernah saya kongsikan kepada sahabat dan juga guru saya, selaku teman sebangku di dalam bas pengangkutan kami di sana. Tapi, beliau tinggalkan soalan tanpa jawapan supaya saya sendiri dapat hadam segala pertanyaan saya.

Sepanjang berberadaan kami di sana, kami berpelang menjelajah hampir di seluruh Negara Brunei Darussalam yang melibatkan empat daerah utama. Daerah tersebut ialah Brunei Muara, Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong. Segala yang berkaitan dengan Negara Brunei khususnya berkaitan pemerintahannya, kami telah lawati. Terkenang akan peluang ini, hati berasa sangat-sangat bersyukur dan terhutang budi dengan sabahat-sahabat UNISSA selaku jawatankuasa yang melayani kami sepanjang bermusafir di sana. Sehinggakan berus gigi tak ada pun, mereka tolong beli kan. Allah~

Sumbangan Google Imej

Masuk minggu ketiga, kami mulai akrab dengan sabahat-sahabat dari UNISSA; paling dekat dengan kami ketika bermusafir di sana. Hampir 44 orang kesemuanya, termasuklah muslimin dan muslimat. Aktiviti yang dirangka padat hampir setiap hari membuatkan kami sentiasa bersama-sama setiap waktu. Dan saya yakin perkara yang mengeratkan lagi ukhuwah antara kami ialah perkara-perkara yang menghubungkan kami dengan Allah SWT. Solat berjamaah, bertadarus, bertausiah, dan aktiviti-aktiviti memasak dan makan beramai-ramai.

Saya kongsikan pengalaman saya di sana melalui tulisan saya di status facebook. Kerana, pencarian #mencariertitenang saya catatkan terus dalam wall facebook saya. Catatan itu masih segar dengan ibrah hasil pemerhatian tentang manusia dan alam sekitar di Negara Brunei Darussalam. Semoga ia bermanfaat.

Tarikh: 13 Ogos 2015

Sejak dari hari pertama, aku masih mencari-cari dari manakah puncanya rasa tenang di sini. Sudah tiga minggu berlalu, masih belum dapat hadam jawapannya. Bahasa kami mungkin berbeza, tapi aku yakin hidup mereka tidak banyak berbeza daripada kehidupanku sendiri. Walaupun ketara pada zahir ucapanku, namun yang menjadi persamaan itu datangnya dari kehendak dan impian hati ini. Ya, namanya manusia. Dimana saja ada mazmumah mahmudahnya. Tiada yang sempurna, bukan? Tapi alam dan sekitarnya membuatkan mata ku tenang untuk memandang. Soalnya, kenapa dan bagaimanakah? Moga-moga dalam masa berbaki ini, Allah temukan aku dengan punca makna tenangnya bumi Nya ini. (Risau jua. Kalau terlalu jauh memandang, makin lama mendalami, bimbang pula hati akan terpaut di sini) 

Menyaksikan perarakan Hari Keputeraan Kebawah Duli Sultan Hasanal Bolkiah
Tarikh: 15 Ogos 2015
Jawapan pertama; kenapa tenangnya di sini? Seawal jam 6.30 pagi kami sudah bergerak ke bandar. Berjalan kaki hampir 1 km. Bersemangat untuk menyertai sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Sultan Hasal Bolkiah. Sama jua dengan sambutan di Malaysia. Tapi kenapa rasanya luar biasa? Sepanjang jalan, aku dapat lihat anak-anak, pelajar sekolah, penjawat awam dan rakyat jelata bersiap sedia untuk meraikan Pemimpin yang dikasihi. Diri sendiri masih merasa hairan. Kenapa perasaan ini semacam luar biasa? Aneh˜Biarpun berpanas, aku sanggup menanti apakah yang membuatkan hati tertaut di sini. 
Saat jantung berdebar menantikan keberangkatan Kebawah Duli, aku yakin inilah jawapannya. Tautan hati pemimpin dengan rakyatnya adalah melalui ikatan tali Allah SWT. Kalau kuat berpegang dengan suruhan Allah, dan menghindar segala laranganNya. Usahlah dibimbangkan tentang ketenangan dan kesejahteraan bumiNya serta seisi alamNya. Kami bukan rakyatnya pun merasa kasih dan tempias ketenangan itu. Semoga memperoleh rahmat dan keredhaan Allah SWT, insyaAllah. Di tanah air sendiri pun ada sambutan sebegini. Tapi tak sana, malah tak pernah pula nak ada keinginan untuk sertai. 'Hargai betul-betul, sebab mahal tu', pesan Dr Sifu. Mahalnya ilmu dan pengalaman berada di Negara Brunei Darussalam. 
Tarikh: 19 Ogos 2015
Jawapan pemerhatian #mencariertitenang ke 2. Negara Brunei Darussalam beruntung. Jelas terjalin dimensi tiga hubungan ini walaupun tak sepenuhnya sempurna.
  1. Hubungan menegak (Hablum-minallah); dengan terlaksananya syariat Islam, tanpa ragu-ragu.
  2. Hubungan mendatar (Hablum-minannas); Hubungan pemimpin dan rakyat, pemimpin yang adil dan warak. Terkagum! Kebawah Duli Sultan yang menjadi imam solat dan khatib, rakyat pula menjadi makmumnya. Sementara rakyat sentiasa mengasihi dan mendoakan kesejahteraan pemimpin. Bagi alam sekitarnya, masih terpeliharan tanpa eksploitasi mazmumah. Sedap sangat mata memandang. Kerana saya pecinta alam semulajadi.
  3. Dan insyaAllah; hubungan mendalam iaitu keseimbangan komponen dalam diri manusia (akal-hati-nafsu-roh). Buktinya, saya dapat lihat keadaan di jalan raya. Payah benar nak dengar bunyi hon. Apabila ada kereta block laluan bas sewaktu kami pulang dari makan malam, saya tanyakan pada sahabat Brunei. Kenapa tak ada pula apa-apa signal untuk minta laluan, contoh bunyikan hon ke? Sahabat saya jawab; ada juga bunyi hon di sini. Tapi biasanya tak sampai hati. Tertib saja kenderaan mereka di jalan raya. Ada ketika, pejalan kaki lebih diberi keutamaan untuk menggunakan jalan raya. Allah˜Syiuknya tenang.
Akhir sekali, jawapan itu saya temui dalam Kelas Pengajian Selasa minggu lepas. Tazkirah yang disampaikan oleh Dr Syakir sudah menghuraikan lengkap kenapa perlu bermusafir, dan bagaimana mahu bermusafir secara jama'ie. Ya. Musafir jama'ie sebahagian daripada adat kami di ISDEV.

*Setelah kembali ke tanah air. Rindu masih mengusik jiwa. Masih terbayang suasana di sana. Terasa benarlah telahan diri, hati telah terpaut di sana, kasih tertumpah di sana.


Kami bersahabat
Tarikh: 1 September 2015
Tidak pernah terfikir yang pokok ini boleh hidup dengan akar yang tidak sempurna. Tidak pula ditebangnya dan digantikan dengan pokok yang baru yang lebih cantik. Sedikit pun tidak mencacatkan pemandangan sekitarnya. Masih anggun dan menenangkan. Alangkah bahagianya dia. Teguhnya dia di atas tanah langsung tidak dipedulikan. Sedang akar itulah jantungnya.
'Akak, saya rindu sangat!' 'Kalau rindu, doakanlah yang baik-baik. Moga Allah pelihara insan-insan yang kita rindu itu dengan sebaik-baik perlinduangan.'

Salah satu pokok kelapa di perkarangan Musium Maritim Negara Brunei Darussalam
InsyaAllah. Moga ilmu dan pengalaman ini akan menjadikan alat untuk terus memuliakan Islam. Dan semoga kasih bersahabat atas tali Allah SWT sentiasa mekar dan tak pudar mengikut musim.

Wallahu'alam bissawab

Khamis, 17 September 2015

Tazkirah S

Tazkirah S. Tanggapan awal, pelik! 

Sebagaimana kebiasaan, kelas akan dimulakan dengan alunan Asma al-Husna, bacaan ummu al-kitab; al-Fatihah dan sedikit tazkirah. Untuk peringatan. Sedar tak sedar, hampir dua bulan kami tak berkumpul bersama dan selama itu jua lah saya tak mendengar pesanan hikmah dari Dr Sifu saya. Rindu~ Sekembalinya saya bersama rakan-rakan lain dari Negara Brunei Darussalam, mood menulis seakan-akan terbang bersama di langit biru.

OK, ada apa dengan Tazkirah S? Ia berkait rapat dengan hadis Rasulullah SAW ini.

Dari Abu Yahya, Shuhaib bin Sinan R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Amat menghairankan sekali keadaan orang mukmin itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidakakan ada lagi seseorang pun melainkan hanya untuk orang mukmin semuanya, iaiatu apabila ia mendapatkan kelapangan hidup, ia bersyukur. Maka, hal itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila ia ditimpa kesukaran (musibah) - yakni yang merupakan bencana, ia pun bersaba dan hal ini pun adalah merupakan kebaikan baginya." (Riwayat Muslim)

Jadi, S yang dimaksudkan di sini ialah SYUKUR dan SABAR. Sebelum kenal apa itu ciri-ciri syukur dan sabar ini, kita kenal dulu apakah yang diertikan dengan orang Mukmin? Dengan bahasa mudahnya, orang Islam/Muslim ini, orang yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah, yakni dia telah percaya bahawa Allah SWT sebagai tuhan yang wajib disembah. Sementara orang Mukmin pula, orang Islam/Muslim yang beriman dan beramal dengan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya.

Syukur~

Selalunya, kita mudah mengucapkan syukur ketika kita mendapat nikmat. Itu kalau kita orang mukmin. Jangan pula kita merasa hairan, sekiranya ada yang terlupa nak berterima kasih kepada Pemberi sesuatu nikmat kepada diri kita. Entah! mungkin terlalu suka, atau terlupa atau memang tidak pernah amalkan untuk bersyukur.  Ada tiga kategori syukur. Pertama, bersyukur dengan lisan atau perbuatan. Syukur ini, lazim. Semua orang, bahkan ada segolongan orang bukan Muslim terbiasa melafazkan ucap syukur; alhamdulillah. Saya pernah mengajukan soalan kepada Sister Shereeza sewaktu beliau memberikan tazkirah dalam Kelas Pengajian Selasa terdahulu. Soalannya, 'Bolehkan orang bukan Muslim mengucapkan alhamdulillah? Kerana saya perasan dalam TV, telah menjadi kebiasaan artis-artis mengucapkan lafaz alhamdulillah sewaktu memenangi sesuatu anugerah, termasuklah artis bukan Muslim."

Menurut Sister Shereeza, mengikut maksud alhamdulillah itu ialah 'Segala puji bagi Allah'. Sekiranya beliau ingin mengucapkannya tanpa ada kemudhoratan kepada agama Islam sendiri, itu bukan menjadi kesalahan. Malah, kita mengharapkan dengan kebiasaan beliau mengucapkan lafaz ini, Allah SWT mengurniakan nur hidayahNya kepada beliau.

Alhamdulillah. Namun, ini jua bukanlah alasan untuk menjadikan kita hanya sekadar orang Muslim. Sebagai orang Muslim kita wajib bermujahadah mencapai peringkat orang Mukmin. Jadi, syukur bagi orang mukmin ini perlu sampai sekurang-kurangnya ke peringkat kedua, bersyukur melalui hati. Dan yang paling tinggi, iaitu bersyukur pada nikmat dan bukan nikmat (musibah) yang diberikan. Sama ada pemberian itu nikmat ataupun musibah, hati orang Mukmin itu tetap bersyukur beserta tindakan lisan dan perbuatan.

Jenis syukur seperti ini ada diceritakan dalam kisah Saidina Ali r.a yang kesedihan apabila Allah SWT tidak mengujinya selama 3 hari. Beliau merasakan Allah SWT tidak memandangnya dengan tiada ujian untuknya. Inilah jenis syukur yang paling hebat. Sentiasa dekat dengan Allah SWT. Soalnya, mampukah kita? Saat ditimpa ujian, mampukah kita menzahirkan rasa syukur atau paling tidak dengan bersabar.

S yang kedua ialah sabar. Sama seperti syukur. Semua orang biasa menggunakan perkataan sabar, namun sejauhmanakah tahap sabar itu? Bolehkah kita menganggap sabar itu ada hadnya? Atau fizikal kita nampak sabar, hakikat hati masih terkesan dengan kesusahan atau musibah yang menimpa.

Menurut tazkirah petang tadi, sabar mempunyai tiga tahap. Tahap pertama dan kedua merupakan sabar tahap umum iaitu sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT dan sabar dengan ujian atau musibah atau bencana. Sementara sabar tahap ketiga menurut ulamak, ia merupakan sabar yang paling sukar dan paling dekat dengan Allah SWT. Sabar itu ialah sabar dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Kalau kita tengok sabar tahap pertama dan tahap ketiga, tiada bezanya bukan? Kalau kita dah tinggalkan kemungkaran bererti kita dah laksanakan suruhannya. Tapi kenapa tetap dibezakan tahapnya dan ulamak sendiri menyatakan sabar melaksanakan perintah Allah SWT itu lebih sukar. Baiklah, kata sabar itu bermaksud apabila sesuatu berlaku kita boleh mengawal diri. Mengawal diri pula mempunyai ruang lingkup yang lebih besar. Apa yang membezakan sabar tahap pertama dan ketiga tadi ialah sabar yang tidak bertindak tetapi ada kesankah kepada hati?

Hadid Rasulullah SAW, 'Sabar itu dinilai dari awal musibah' (Riwayat Bukhari & Muslim)

Tatkala hadis ini dibacakan, sekali lagi saya merasa pelik. Bagaimana mahu latih diri untuk boleh bersabar di awal musibah menimpa? Kebiasaan manusia yang normal, saat timpa musibah pasti ada latahnya. Contoh paling mudah bagi golongan wanita. Baru dicuit sedikit dengan musibah dari Allah SWT, kalau tidak dengan kata-kata mengucapkan sedih dan kecewa atau seumpamanya hati pasti merasa terkesan. Contoh lagi, dalam usaha untuk menyebarkan ilmu-ilmu Islam, pasti ada segolongan yang akan menentang. Apakah yang akan kita lakukan? Tahap sabar yang bagaimanakah kita mampu zahirkan?

Soalnya bagaimana mahu melatih diri untuk dapat beramal sabar tahap yang paling tinggi? Iaitu dengan iman dan taqwa. Dengan beriman kepada Allah SWT dan 5 rukun yang lain, maka diri akan rendah mentaati Allah SWT. Dengan adanya rasa taqwa kepada Allah SWT, bermakna dia sentiasa peka dengan Allah SWT walau apa jua situasi yang berlaku.

Andai sabar itu tiada kesan pada hati, alhamdulillah kita dah tak jauh dengan Allah SWT. Walau bagaimanapun, bagi seorang Muslim tetap mendapat kebaikan dalam apa jua keadaan sama ada dalam kenikmatan dengan syukur, dan dalam kesusahan dengan bersabar.

Wallahu a'lam bissawab

Sumber: Prof Google Image

Khamis, 3 September 2015

Keep Calm and Love PhD

Allahu akbar. Sebenarnya saya hilang kata-kata untuk menulis. Sejujurnya, kelam~ Allah. Hati saya masih berteka-teki. Apa sebenarnya yang aku akan lakukan untuk Ph.D? Mulai terkenang saat bermulanya saya falling in love dengan menulis.

Sedari umur awal remaja, saya memang suka menulis. Lebih-lebih lagi tentang persoalan yang hadir dalam hati. Saya kerap kali merasai kesunyian dalam dunia sekeliling saya, sedangkan saya mempunyai teman dan keluarga. Saya menulis dan saya simpan. Ketika sunyi, saya akan membaca kembali apa yang telah saya tulis. Daripada lembaran kertas, sehinggalah saya kenal blog. Saya tegar untuk menulis. 

Bidang pengajian saya sejak dari bangku sekolah tidak langsung menuntut saya supaya dapat menulis dengan lebih berperaturan. Saya lahir dari aliran sains tulen. Jadi, subjek-subjek berunsurkan tulisan berperaturan termasuklah kertas Bahasa Melayu Esei saya kurang menggemarinya. Pelik! Namun, saya tetap menulis.

Sehinggalah saya berkerja di institusi swasta. Kerjaya yang menuntut saya melakukan tugas-tugas rutin. Saya mulai bosan. Rasa bosan itu saya isi dengan menulis di ruangan blog yang saya maksudkan tadi. Penuh dengan tulisan-tulisan persoalan hati. Persoalan yang kebanyakan ditinggalkan kerana langsung tidak menemui jawapan yang dapat memuaskan hati. Ya.. Orang sains selalu terpegang dengan ilmu-ilmu pembuktian. Sedangkan ruang lingkup ilmu itu tidak hanya kepada ilmu-ilmu lahir yang dalam dibuktikan dengan pancaindera. Ilmu juga terangkum dalam ilmu wahyu, ilmu ghaib. Ilmu tahap tinggi. Yang sukar untuk dibukti melainkan dengan keyakinan yang hakiki. Bagaimana saya mahu mendapatkan ilmu-ilmu itu dan diterapkan dalam tulisan saya pada ketika itu? Sedangkan saya langsung tidak tahu menahu mengenainya. Allah. Baru saya sedar bahawa kerdilnya diri saya biarpun cita-cita yang saya kejar telah hampir untuk dicapai.

Setelah menyedari saya suka menulis, menulis hasil daripada mengkaji. Maka, skop tugasan di pejabat selalu menentang kehendak hati saya. Beberapa ketika, saya merasai tekanan konflik dalam diri. Apa yang aku mahu? Tanpa saya sedar, Allah menghalakan diri saya untuk meneroka bidang penyelidikan. Tetapi bukan lagi penyelidikan dalam makmal sebagaimana 'kelahiran' saya sebelum ini sebagai ahli teknologi makanan. Saya memberanikan diri untuk meneroka penyelidikan sains sosial. Mengkaji dan menulis tentang manusia dan alam sekitarnya. Dan alhamdulillah juga. Syukur tak terhingga, saya berada di landasan-Nya. Landasan yang membawa saya kepada jalan menemui jawapan kepada persoalan-persoalan yang tertangguh sebelum ini. Penyelidik sains sosial berdasarkan pembangunan berteraskan Islam. Allah~

Berlangsunglah kehidupan saya sebagai pelajar dan penyelidik sains sosial berkaitan industri makanan halal. Kecintaan saya dalam bidang teknologi makanan tidak akan disia-siakan. Di sepanjang perjalanan saya dalam bidang ini meninggalkan pelbagai persoalan yang sukar di jawab dengan hanya ilmu-ilmu pancaindera. Alhamdulillah, dengan semangat yang berkobar-kobar kajian saya berjaya diselesaikan walaupun tidak sempurna mana pun. Bagi diri yang masih kontang dengan ilmu Islam, kajian kecil itu banyak memberi pengajaran dan menjawab segala persoalan yang tertinggal tempat jawapan kosong. Alhamdulillah.

Saat saya mahu mengorak langkah untuk terus meneroka dunia luar, hati saya merasa masih belum kuat untuk mencari jawapan sendiri kepada persoalan-persoalan hati yang bakal muncul. Ya. Dunia luar sana semakin mencabar. Bukannya saya tiada peluang. Tapi hati kuat merasai kebimbang tentang diri sendiri yang kehausan ilmu-ilmu Islam. Ilmu ini yang banyak memberi jawapan sehingga saya tidak lagi menyoal soalan berantai. Kenapa dan kenapa dan mengapa? Terima kasih juga kepada guru-guru saya. Jazakallahu khairan jaza.

Saya meneruskan keghairahan menulis hingga ke peringkat Ph.D. Sehinggakan segala yang saya baca, lihat dan dengar, pasti ada kekurangan. Mesti diteliti dengan sebaik mungkin supaya tidak meninggalkan persoalan yang berantai. Sehingga akhirnya, tajuk Ph.D saya bertukar-tukar hampir kelima kali. Wow.. Semangatnya. Lepas ditulis, dibukukan. Dihebahkan didalam ruangan majalah, blog, surat khabar dan kertas-kertas kerja. Persoalan demi persoalan tentang manusia dalam alam sekitarnya khususnya berkait dengan soal makanan halal membuahkan idea yang sangat bernas dalam segala penulisan saya. Alhamdulillah.

Saya menyangka, keghairahan itu bakal membuatkan tesis saya akan menjadi kajian terpenting abad ini (ketawa!). Namun, benar kata-kata Allah SWT.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan, kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?' (al-Ankabut, 2-3)

Belum sampai dipertengahan jalan, Allah hadirkan satu nikmat kehilangan untuk saya merasai nikmat pencarian. Nikmat tugas, amanah dan tanggungjawab. Perkara ini sebenarnya biasa dilakukan sewaktu saya bekerja dahulu. Memang tidak menjadi masalah bagi saya. Malah saya menyukainya kerana dengan melaluinya jarak saya dengan orang sekeliling saya semakin akrab. Bak kata pujukan Dr Wan, 'Kak Nora dah dikenali, InsyaAllah ada kemudahan selepas ini. Jangan khawatir.'

Kehilangan itu saya perlu meredhainya. Pencarian itu pula saya perlu merendahkan diri. Bermula daripada null. Kosong. Membuang rasa ego bahawa saya tahu lebih. Kalau tahu lebih, kenapa masih tidak dapat menulis? (hah! ketawa) 

Membaca kembali tulisan-tulisan lama. Melatih kembali menulis walaupun hanya sekadar tulisan genta rasa. Tenangkan diri dengan solat dan bertaubah. Kembalilah merayu kepada Allah agar Allah kembalikan nikmat yang hilang itu. Ph.D itu satu perjalanan! Perjalanan yang bakal menemui kemanisannya. InsyaAllah. (Doakan saya~)


Isnin, 13 Julai 2015

Dunia Semakin Sakit, Manakah Rujukannya?

Drama melayu, banyak mengkisahkan tentang seorang yang baik pasti akan ditindas dengan yang berniat jahat ke atasnya. Kemudian, yang baik tadi dengan tiada pilihan terpaksa mempunyai sifat-sifat yang bukan baik demi menjaga hak hidupnya. Jika tidak, dia pasti dianggap dungu. Kalaupun masih ada watak yang baik hingga ke akhir, dengan lakonan yang menunjukkan hati yang tabah merelakan apa jua tindasan dari pihak lain. Tapi masih tidak menunjukkan keceriaan pada wajahnya dan tidak menunjukkan dia mempunyai jiwa yang besar, pasti ini akan meninggalkan kesan tidak puas hati bagi penonton. Penonton pula terpaksa mempunyai sifat-sifat yang tidak baik untuk mempertahankan hak setelah melihat watak baik tadi tidak mempunyai kelebihan dengan hanya 'baik' disepanjang kisahnya. Di akhir cerita, pasti ada balasan dan penyesalan sama ada bagi pihak yang berhati jahat mahupun yang baik pada asal tadi.

(Saya mengambil Drama Melayu bukannya Hollywood atau Bollywood, kerana Melayu lebih dekat dengan Agama Islam dan budaya kita)

***

Sedar atau pun tidak, percaya atau pun tidak, kisah-kisah drama yang mengambarkan corak kehidupan melayu-Islam majoritinya sepertimana yang diceritakan di atas banyak meninggalkan kesan yang sangat negatif pada manusia di dunia realiti. Sebagai bukti, isu pergaduhan di jalanraya akibat kemalangan. Lagi menyedihkan keadaan ini benar-benar mengambarkan akhlak seorang Muslim kepada Muslim yang lain, atau akhlak Muslim kepada orang yang bukan Islam.

Apabila berlaku mana-mana situasi seperti ini, walaupun hati mahu redha paling tidak pasti ada yang merasakan hak diri telah dipermainkan. Hati merasakan diri telah diperbodohkan oleh pihak yang lain, kerana telah dipastikan dirinya berada di pihak yang benar. 'Argh, kalau aku diam pasti aku dianggap dungu. Aku kena pertahankan. Kalau tak, pasti orang ini (yang berniat jahat atau tidak sengaja melakukan kesalahan) akan naik lemak dan buat lagi.' Lebih kurang begitulah monolog diri apabila ditakdirkan berdepan dengan ujian sebegini.

Secara jujurnya, saya juga pernah mengalami keadaan seperti ini. Sentiasa bersedia untuk menghadapi manusia lain (sama ada yang tak dikenali mahupun yang dikenali) dalam apa jua keadaan supaya saya tidak kelihatan dungu, walaupun saya terpaksa belajar menipu. Ketika itu saya juga mahu jadi heroin yang segala sifatnya sempurna dan orang lain mengaguminya. Setelah saya mendalami realiti hidup dengan ilmu-ilmu yang Allah izinkan untuk saya melalui guru-guru saya, saya percaya sumber utama yang dijadikan rujukan kepada tindakbalas seorang manusia kepada manusia lain dalam apa jua keadaan hanyalah melalui ilmu-ilmu drama sebagaimana disebut sebelum ini. Kebetulan cerita realiti tidak banyak bezanya dengan lakonan yang dibawakan dalam drama dan dipertontonkan buat santapan 'jiwa' mereka yang mengemarinya.

Bagi manusia yang fitrahnya mahukan kebaikan, dan bagi manusia yang ingin ketenangan dengan rasa berTuhan pada setiap waktu kehidupannya, perkara ini pasti akan menjadi konflik dan bertembung sama sendiri. Kenapa saya katakan demikian? Apabila kita mahu jadi baik, ingin jadi Muslim terbaik, tetapi situasi dunia yang terlalu menyakitkan telah menghadkan diri untuk terus beramal dan bermujahadah menjadi baik. Ada juga konflik apabila diri telah melaksanakan ibadah-ibadah wajib, tapi hati masih merasai tidak tenteram. Kenapa jadi begini? Bolehkah kita beramal hanya mengikut kemampuan diri menghadapi kerenah dunia yang bermacam ragam? Sedangkan telinga hanya mendengar kisah manusia lain pun hati sudah naik membara, itu tak adil ini tak ada hak, patutnya kena begitu dan begini. Apatah lagi jika Allah takdirkan diri sendiri yang hadapinya. Adakah tidak ada peluang untuk menjadi Muslim terbaik, menjadi da'i yang berakhlak dalam apa jua keadaan untuk dambaan Syurga Allah SWT? Adakah semua ayat-ayat cinta Allah untuk keredhaanNya hanyalah retorik semata-mata dan tidak relevan lagi untuk dilaksanakan?

Persoalan itu saya kongsikan kerana itulah permulaan saya dalam mencari ilmu-ilmu Allah SWT. Alhamdulillah, walaupun hakikatnya tidak manusia yang sempurna melainkan para Nabi dan Rasul Allah SWT yang diperlihara Allah SWT, sifatnya adalah maksum. Namun dengan ilmu Allah SWT, kita yakin hakikat kejadian manusia dan tidak lagi terlalu runsing untuk memikirkan keselamatan diri daripada ancaman manusia lain kita akan terus belajar memperbaiki diri sehingga menjadi yang terbaik dipandangan Allah SWT. Di sinilah keperluan kita belajar bagaimana mahu menghubungkan bantuan dan perlindungan Allah SWT pada setiap masa.

Pertama, kenali siapa Tuhan kita? Allah SWT yang Maha Berkuasa yang tidak pernah sedikit pun alpa tentang kehidupan kita. Baikkah kita, burukkah kita segalanya Allah tahu. Beramal untuk menjadi baik untuk Allah SWT pun tidak ada had mengikut kemampuan diri berdepan dengan karenah dunia. Kedua, kenali siapa diri kita? Walaupun secara zahirnya, ramai antara kita mengakui diri kita ini sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Namun, adakah atau mampukah kita melaksanakan fungsi hamba dan khalifah itu secara istiqamah? Lebih lebih lagi dalam hal hal yang mendesak. Ya, manusia tiada yang sempurna. Tapi dengan hadirnya rasa bertuhan, ketidaksempurnaan (kesalahan) itu mampu meninggalkan kesan yang tidak enak sekiranya diri terus menerus melakukannya. Apatah lagi dengan perkara yang menguji kesabaran hati.

Soalnya, bagaimana caranya mahu kenali siapa Tuhan dan siapa diri kita?
Jawapannya, jangan berhenti mencari ilmu. Dan tuntut lah ilmu daripada sumber yang benar. Bukannya dengan drama yang hanya merangsangkan kebaikan melalui rangsangan emosi. Kelak kebaikan itu hanya melahirkan iman emosi, berubah mengikut situasi. Tidak kekal di dalam hati, yang berjuang dan berjihad mujahidin sehingga mati.

Post Terbaru untuk 2025!

 Assalamualaikum semua. Aku kembali menulis lagi. Aku rindu zaman aku suka menulis dulu. Terus dari hati. Sekarang aku nak menulis pun susah...