Khamis, 3 September 2015

Keep Calm and Love PhD

Allahu akbar. Sebenarnya saya hilang kata-kata untuk menulis. Sejujurnya, kelam~ Allah. Hati saya masih berteka-teki. Apa sebenarnya yang aku akan lakukan untuk Ph.D? Mulai terkenang saat bermulanya saya falling in love dengan menulis.

Sedari umur awal remaja, saya memang suka menulis. Lebih-lebih lagi tentang persoalan yang hadir dalam hati. Saya kerap kali merasai kesunyian dalam dunia sekeliling saya, sedangkan saya mempunyai teman dan keluarga. Saya menulis dan saya simpan. Ketika sunyi, saya akan membaca kembali apa yang telah saya tulis. Daripada lembaran kertas, sehinggalah saya kenal blog. Saya tegar untuk menulis. 

Bidang pengajian saya sejak dari bangku sekolah tidak langsung menuntut saya supaya dapat menulis dengan lebih berperaturan. Saya lahir dari aliran sains tulen. Jadi, subjek-subjek berunsurkan tulisan berperaturan termasuklah kertas Bahasa Melayu Esei saya kurang menggemarinya. Pelik! Namun, saya tetap menulis.

Sehinggalah saya berkerja di institusi swasta. Kerjaya yang menuntut saya melakukan tugas-tugas rutin. Saya mulai bosan. Rasa bosan itu saya isi dengan menulis di ruangan blog yang saya maksudkan tadi. Penuh dengan tulisan-tulisan persoalan hati. Persoalan yang kebanyakan ditinggalkan kerana langsung tidak menemui jawapan yang dapat memuaskan hati. Ya.. Orang sains selalu terpegang dengan ilmu-ilmu pembuktian. Sedangkan ruang lingkup ilmu itu tidak hanya kepada ilmu-ilmu lahir yang dalam dibuktikan dengan pancaindera. Ilmu juga terangkum dalam ilmu wahyu, ilmu ghaib. Ilmu tahap tinggi. Yang sukar untuk dibukti melainkan dengan keyakinan yang hakiki. Bagaimana saya mahu mendapatkan ilmu-ilmu itu dan diterapkan dalam tulisan saya pada ketika itu? Sedangkan saya langsung tidak tahu menahu mengenainya. Allah. Baru saya sedar bahawa kerdilnya diri saya biarpun cita-cita yang saya kejar telah hampir untuk dicapai.

Setelah menyedari saya suka menulis, menulis hasil daripada mengkaji. Maka, skop tugasan di pejabat selalu menentang kehendak hati saya. Beberapa ketika, saya merasai tekanan konflik dalam diri. Apa yang aku mahu? Tanpa saya sedar, Allah menghalakan diri saya untuk meneroka bidang penyelidikan. Tetapi bukan lagi penyelidikan dalam makmal sebagaimana 'kelahiran' saya sebelum ini sebagai ahli teknologi makanan. Saya memberanikan diri untuk meneroka penyelidikan sains sosial. Mengkaji dan menulis tentang manusia dan alam sekitarnya. Dan alhamdulillah juga. Syukur tak terhingga, saya berada di landasan-Nya. Landasan yang membawa saya kepada jalan menemui jawapan kepada persoalan-persoalan yang tertangguh sebelum ini. Penyelidik sains sosial berdasarkan pembangunan berteraskan Islam. Allah~

Berlangsunglah kehidupan saya sebagai pelajar dan penyelidik sains sosial berkaitan industri makanan halal. Kecintaan saya dalam bidang teknologi makanan tidak akan disia-siakan. Di sepanjang perjalanan saya dalam bidang ini meninggalkan pelbagai persoalan yang sukar di jawab dengan hanya ilmu-ilmu pancaindera. Alhamdulillah, dengan semangat yang berkobar-kobar kajian saya berjaya diselesaikan walaupun tidak sempurna mana pun. Bagi diri yang masih kontang dengan ilmu Islam, kajian kecil itu banyak memberi pengajaran dan menjawab segala persoalan yang tertinggal tempat jawapan kosong. Alhamdulillah.

Saat saya mahu mengorak langkah untuk terus meneroka dunia luar, hati saya merasa masih belum kuat untuk mencari jawapan sendiri kepada persoalan-persoalan hati yang bakal muncul. Ya. Dunia luar sana semakin mencabar. Bukannya saya tiada peluang. Tapi hati kuat merasai kebimbang tentang diri sendiri yang kehausan ilmu-ilmu Islam. Ilmu ini yang banyak memberi jawapan sehingga saya tidak lagi menyoal soalan berantai. Kenapa dan kenapa dan mengapa? Terima kasih juga kepada guru-guru saya. Jazakallahu khairan jaza.

Saya meneruskan keghairahan menulis hingga ke peringkat Ph.D. Sehinggakan segala yang saya baca, lihat dan dengar, pasti ada kekurangan. Mesti diteliti dengan sebaik mungkin supaya tidak meninggalkan persoalan yang berantai. Sehingga akhirnya, tajuk Ph.D saya bertukar-tukar hampir kelima kali. Wow.. Semangatnya. Lepas ditulis, dibukukan. Dihebahkan didalam ruangan majalah, blog, surat khabar dan kertas-kertas kerja. Persoalan demi persoalan tentang manusia dalam alam sekitarnya khususnya berkait dengan soal makanan halal membuahkan idea yang sangat bernas dalam segala penulisan saya. Alhamdulillah.

Saya menyangka, keghairahan itu bakal membuatkan tesis saya akan menjadi kajian terpenting abad ini (ketawa!). Namun, benar kata-kata Allah SWT.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan, kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?' (al-Ankabut, 2-3)

Belum sampai dipertengahan jalan, Allah hadirkan satu nikmat kehilangan untuk saya merasai nikmat pencarian. Nikmat tugas, amanah dan tanggungjawab. Perkara ini sebenarnya biasa dilakukan sewaktu saya bekerja dahulu. Memang tidak menjadi masalah bagi saya. Malah saya menyukainya kerana dengan melaluinya jarak saya dengan orang sekeliling saya semakin akrab. Bak kata pujukan Dr Wan, 'Kak Nora dah dikenali, InsyaAllah ada kemudahan selepas ini. Jangan khawatir.'

Kehilangan itu saya perlu meredhainya. Pencarian itu pula saya perlu merendahkan diri. Bermula daripada null. Kosong. Membuang rasa ego bahawa saya tahu lebih. Kalau tahu lebih, kenapa masih tidak dapat menulis? (hah! ketawa) 

Membaca kembali tulisan-tulisan lama. Melatih kembali menulis walaupun hanya sekadar tulisan genta rasa. Tenangkan diri dengan solat dan bertaubah. Kembalilah merayu kepada Allah agar Allah kembalikan nikmat yang hilang itu. Ph.D itu satu perjalanan! Perjalanan yang bakal menemui kemanisannya. InsyaAllah. (Doakan saya~)


Tiada ulasan:

MENCAPAI JIWA YANG TENANG DI TENGAH HIRUK PIKUK KEHIDUPAN

Hakikat kehidupan dunia yang fana ini adalah untuk menguji setiap makhluk berjiwa sebelum kembali ke alam akhirat yang abadi. Sebagaimana fi...