Khamis, 17 September 2015

Tazkirah S

Tazkirah S. Tanggapan awal, pelik! 

Sebagaimana kebiasaan, kelas akan dimulakan dengan alunan Asma al-Husna, bacaan ummu al-kitab; al-Fatihah dan sedikit tazkirah. Untuk peringatan. Sedar tak sedar, hampir dua bulan kami tak berkumpul bersama dan selama itu jua lah saya tak mendengar pesanan hikmah dari Dr Sifu saya. Rindu~ Sekembalinya saya bersama rakan-rakan lain dari Negara Brunei Darussalam, mood menulis seakan-akan terbang bersama di langit biru.

OK, ada apa dengan Tazkirah S? Ia berkait rapat dengan hadis Rasulullah SAW ini.

Dari Abu Yahya, Shuhaib bin Sinan R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Amat menghairankan sekali keadaan orang mukmin itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidakakan ada lagi seseorang pun melainkan hanya untuk orang mukmin semuanya, iaiatu apabila ia mendapatkan kelapangan hidup, ia bersyukur. Maka, hal itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila ia ditimpa kesukaran (musibah) - yakni yang merupakan bencana, ia pun bersaba dan hal ini pun adalah merupakan kebaikan baginya." (Riwayat Muslim)

Jadi, S yang dimaksudkan di sini ialah SYUKUR dan SABAR. Sebelum kenal apa itu ciri-ciri syukur dan sabar ini, kita kenal dulu apakah yang diertikan dengan orang Mukmin? Dengan bahasa mudahnya, orang Islam/Muslim ini, orang yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah, yakni dia telah percaya bahawa Allah SWT sebagai tuhan yang wajib disembah. Sementara orang Mukmin pula, orang Islam/Muslim yang beriman dan beramal dengan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya.

Syukur~

Selalunya, kita mudah mengucapkan syukur ketika kita mendapat nikmat. Itu kalau kita orang mukmin. Jangan pula kita merasa hairan, sekiranya ada yang terlupa nak berterima kasih kepada Pemberi sesuatu nikmat kepada diri kita. Entah! mungkin terlalu suka, atau terlupa atau memang tidak pernah amalkan untuk bersyukur.  Ada tiga kategori syukur. Pertama, bersyukur dengan lisan atau perbuatan. Syukur ini, lazim. Semua orang, bahkan ada segolongan orang bukan Muslim terbiasa melafazkan ucap syukur; alhamdulillah. Saya pernah mengajukan soalan kepada Sister Shereeza sewaktu beliau memberikan tazkirah dalam Kelas Pengajian Selasa terdahulu. Soalannya, 'Bolehkan orang bukan Muslim mengucapkan alhamdulillah? Kerana saya perasan dalam TV, telah menjadi kebiasaan artis-artis mengucapkan lafaz alhamdulillah sewaktu memenangi sesuatu anugerah, termasuklah artis bukan Muslim."

Menurut Sister Shereeza, mengikut maksud alhamdulillah itu ialah 'Segala puji bagi Allah'. Sekiranya beliau ingin mengucapkannya tanpa ada kemudhoratan kepada agama Islam sendiri, itu bukan menjadi kesalahan. Malah, kita mengharapkan dengan kebiasaan beliau mengucapkan lafaz ini, Allah SWT mengurniakan nur hidayahNya kepada beliau.

Alhamdulillah. Namun, ini jua bukanlah alasan untuk menjadikan kita hanya sekadar orang Muslim. Sebagai orang Muslim kita wajib bermujahadah mencapai peringkat orang Mukmin. Jadi, syukur bagi orang mukmin ini perlu sampai sekurang-kurangnya ke peringkat kedua, bersyukur melalui hati. Dan yang paling tinggi, iaitu bersyukur pada nikmat dan bukan nikmat (musibah) yang diberikan. Sama ada pemberian itu nikmat ataupun musibah, hati orang Mukmin itu tetap bersyukur beserta tindakan lisan dan perbuatan.

Jenis syukur seperti ini ada diceritakan dalam kisah Saidina Ali r.a yang kesedihan apabila Allah SWT tidak mengujinya selama 3 hari. Beliau merasakan Allah SWT tidak memandangnya dengan tiada ujian untuknya. Inilah jenis syukur yang paling hebat. Sentiasa dekat dengan Allah SWT. Soalnya, mampukah kita? Saat ditimpa ujian, mampukah kita menzahirkan rasa syukur atau paling tidak dengan bersabar.

S yang kedua ialah sabar. Sama seperti syukur. Semua orang biasa menggunakan perkataan sabar, namun sejauhmanakah tahap sabar itu? Bolehkah kita menganggap sabar itu ada hadnya? Atau fizikal kita nampak sabar, hakikat hati masih terkesan dengan kesusahan atau musibah yang menimpa.

Menurut tazkirah petang tadi, sabar mempunyai tiga tahap. Tahap pertama dan kedua merupakan sabar tahap umum iaitu sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT dan sabar dengan ujian atau musibah atau bencana. Sementara sabar tahap ketiga menurut ulamak, ia merupakan sabar yang paling sukar dan paling dekat dengan Allah SWT. Sabar itu ialah sabar dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Kalau kita tengok sabar tahap pertama dan tahap ketiga, tiada bezanya bukan? Kalau kita dah tinggalkan kemungkaran bererti kita dah laksanakan suruhannya. Tapi kenapa tetap dibezakan tahapnya dan ulamak sendiri menyatakan sabar melaksanakan perintah Allah SWT itu lebih sukar. Baiklah, kata sabar itu bermaksud apabila sesuatu berlaku kita boleh mengawal diri. Mengawal diri pula mempunyai ruang lingkup yang lebih besar. Apa yang membezakan sabar tahap pertama dan ketiga tadi ialah sabar yang tidak bertindak tetapi ada kesankah kepada hati?

Hadid Rasulullah SAW, 'Sabar itu dinilai dari awal musibah' (Riwayat Bukhari & Muslim)

Tatkala hadis ini dibacakan, sekali lagi saya merasa pelik. Bagaimana mahu latih diri untuk boleh bersabar di awal musibah menimpa? Kebiasaan manusia yang normal, saat timpa musibah pasti ada latahnya. Contoh paling mudah bagi golongan wanita. Baru dicuit sedikit dengan musibah dari Allah SWT, kalau tidak dengan kata-kata mengucapkan sedih dan kecewa atau seumpamanya hati pasti merasa terkesan. Contoh lagi, dalam usaha untuk menyebarkan ilmu-ilmu Islam, pasti ada segolongan yang akan menentang. Apakah yang akan kita lakukan? Tahap sabar yang bagaimanakah kita mampu zahirkan?

Soalnya bagaimana mahu melatih diri untuk dapat beramal sabar tahap yang paling tinggi? Iaitu dengan iman dan taqwa. Dengan beriman kepada Allah SWT dan 5 rukun yang lain, maka diri akan rendah mentaati Allah SWT. Dengan adanya rasa taqwa kepada Allah SWT, bermakna dia sentiasa peka dengan Allah SWT walau apa jua situasi yang berlaku.

Andai sabar itu tiada kesan pada hati, alhamdulillah kita dah tak jauh dengan Allah SWT. Walau bagaimanapun, bagi seorang Muslim tetap mendapat kebaikan dalam apa jua keadaan sama ada dalam kenikmatan dengan syukur, dan dalam kesusahan dengan bersabar.

Wallahu a'lam bissawab

Sumber: Prof Google Image

Tiada ulasan:

MENCAPAI JIWA YANG TENANG DI TENGAH HIRUK PIKUK KEHIDUPAN

Hakikat kehidupan dunia yang fana ini adalah untuk menguji setiap makhluk berjiwa sebelum kembali ke alam akhirat yang abadi. Sebagaimana fi...