Satu hari, saya bersama teman singgah makan di sebuah gerai makanan melayu. Setelah mengambil nasi dan lauk pauk, pekerja kedai mengira harganya. Jumlah bagi dua pinggan nasi kami ialah RM9.50. Pada ketika itu, saya dan teman sedang berebut ingin membayar. Kedua-duanya menghulur not RM10. Akhirnya, wang saya yang diterima oleh pekerja kedai.
Seketika kemudian, setelah pekerja tersebut membawa not tadi ke kaunter wang untuk menukarkan baki sebanyak 50 sen, tiba-tiba pekerja ini menjerit. 'Kenapa bagi duit terkoyak ni?'.
Dia menunjukkan not yang terkoyak itu dari tempat kaunter wang yang agak terlindung dengan rak hidangan lauk pauk. Saya menegaskan itu bukan wang saya, kerana saya yakin wang yang saya berikan tadi masih baru dan berkeadaan baik. Pekerja itu masih bersungguh menuduh bahawa wang terkoyak itu dari saya dan meminta saya supaya menukarkannya dengan yang baru. Saya juga bimbang kalau-kalau tuduhannya itu betul, dan barangkalin ia boleh jadi kesilapan yang saya tanpa saya sedari.
Walaupun dia kerap mengucapkan maaf, saya membiarkan saja kerana saya yakin wang terkoyak itu bukan milik saya. Hairan! Agak lama wang asal berada dalam genggaman saya ketika kami sedang berebut-rebut untuk membayar sebelum ia berpindah tangan, tiada pula cebisan terkoyak itu bercerai sebagaimana yang ditunjukkan oleh pekerja itu. Akhirnya, saya biarkan saja pekerja itu 'menang'. Kami segera menghabiskan makanan dan dengan itu kami akan segera sampai ke destinasi.
Selepas dari kejadian itu, saya masih berfikir. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Bukanlah niat saya untuk terus mencari jalan untuk menegakkan yang hak. Kalaupun saya masih mahu mengatakan bahawa wang yang tidak terkoyak itu milik saya, tapi kaedahnya tetap harus 'dipelihara'. Sekiranya saya masih tertegas menyatakan bukan salah saya, maka makanan yang kami beli tadi tidak lagi 'enak' untuk dijamah.
Soalnya, bagaimana kaedah yang dikatakan dipelihara itu?
Mungkin pada ketika itu, saya merasakan bahawa saya seorang manusia yang mempunyai hak untuk menyatakan saya adalah benar. Pekerja itu tidak sepatutnya mempergunakan saya untuk mendapatkan wang yang baru bagi menggantikan wangnya yang terkoyak. Ia perlu diadili dengan seadilnya. Patutkah saya biarkan perkara itu diperbesarkan sehingga orang ramai dapat mengambil tempat sebagai pengadil? Bagaimana kalau saya biarkan nafsu saya yang menang? Dengan teknologi tular masa ini, saya fikir ia mampu membantu diri saya menjadi 'pemenang'. Paling tidak, saya menang untuk 'menjatuhkan' pekerja kedai itu. "Nah, rasakan balasan kerana memperbodohkan orang lain!" Mungkin inilah kepuasan yang saya dapat.
Oleh sebab saya seorang manusia dan juga seorang Muslim, not RM10 itu bukanlah nilai yang besar untuk dipertahan sehingga tergadai maruah dan akhlak seorang Muslim. Inilah fenomena yang melanda masyarakat kita. Ini adalah situasi sebenar yang acapkali kita tahui melalui kisah tular di laman sosial. Kali ini, Allah izinkan saya alaminya sendiri. Di sinilah pentingnya fungsi iman yang bertapak pada hati yang bersih.
Lama saya juga termenung memikirkannya. Saya seolah memahami apa yang dirasai oleh orang-orang yang senasib saya dan pernah berkongsi cerita mereka di laman sosial. Mungkin niat mereka untuk mendapatkan kemenangan dari pengadil 'keyboard'. Atau mungkin niatnya untuk memberi pengajaran kepada orang lain dan meminta orang lain supaya berhati-hati.
Soalnya, berhati-hati yang bagaimana? Perlukah kita berhati-hati sehingga sentiasa mencurigai orang lain. Kelak, nilai insan dan ukhwah tidak lagi relevan kerana keperluan 'berhati-hati'. Bersangka baik juga tidaklah sehingga membiarkan diri terdedah dengan kebinasaan. Jadi, soalnya bagaimana?
Namanya manusia, seteliti mana pun kita berjaga-jaga andai Allah mentakdirkan bahawa pada ketika itu dan di suatu tempat itu Allah mengizinkan perkara sebegini berlaku, apakah kita dikatakan leka daripada berhati-hati? Atau lebih teruk lagi, kita dikatakan tidak bertanggungjawab dan seumpamanya.
Dalam surah Yunus (10:12) dan al-Fursilat (41:50), manusia merupakan makhluk pelupa. Pelupa salah satu sifat lemah bagi manusia. Setelah kita tersedar bahawa kita terleka dan orang yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kelekaan diri kita, dari satu sudut sebagai seorang manusia biasa tentu diri merasakan tersangat bodoh kerana dipermainkan orang lain. Adakah kita boleh tertegas dan berlawan dengan pekerja tadi sebagai contoh? Sehingga mungkin boleh menimbulkan pergaduhan, dan akhirnya diketahui ramai. Ya, sebagai manusia biasa sekiranya kita mengikut tuntutan nafsu mempertahan bahawa kita tidak salah kerana sememang kita memang berlaku jujur dan menyakininya. Sudah tentu kita tak kisah sekiranya masalah itu diperbesarkan dan diketahui orang lain kerana rasa ego di dalam diri. 'Asal aku menang, dia yang salah!'
Barulah hati saya kembali tersenyum. Agaknya hanya kerana manusia biasa yang terlalu menangkan ego dan nafsu, diri sendiri yang akan kalah nanti. Mungkin kalah dengan diri sendiri kerana hati tentunya tidak akan tenang kerana memikirnya sakitnya hati diperlakukan sedemikian. Sedangkan sekiranya hati bertindak mengikut iman, perkara itu boleh diselesaikan tanpa diperpanjang atau diperbesarkan sehingga ada kemungkinan tersebar satu dunia. Inilah teknologi 'viral', satu bentuk fitnah masa ini yang sangat ditakuti. Allahu akbar!
Hati memujuk lagi. Usai solat dan memohon doa semoga Allah tetapkan iman... sampai mati. Ya, dengan iman. Hati menjawab dengan iman, masalah seperti wang terkoyak tadi boleh diselesaikan. Alhamdulillah cuma RM10. Biarkan saja pada pekerja tadi. Seandainya kita dipihak yang benar, dengan jawapan iman; 'insyaAllah wang tadi saya sedekahkan, wang yang terkoyak ini saya boleh tukar kepada yang baru di bank saja'. Tapi seandainya pekerja itu betul, dan saya tak terus berada dalam kesilapan. Jadi, saya masih boleh menikmati makanan yang dibeli tanpa ada rasa bersalah. Dengan jawapan iman, itu ada ujian. Ujian sebagai kafarah kesan dosa sebelum ini, mungkin. Ujian untuk Allah tegur supaya kembali berhati-hati kerana Allah SWT.
Untuk bertindak dengan iman, untuk menjawap persoalan dengan iman, ia bukanlah perkara yang boleh dapat dengan sekelip mata. Iman itu perlu dididik. Didikannya bukan sehari dua, didikan hati dengan iman perlukan masa dan pengorbanan. Bermujahadah. Berusaha meminimakan mazmumah, dan memaksimakan mahmudah. Usaha dan pengorbanan inilah dinamakan bermujahadah. Bermujahadah pula perlukan alat. Alatnya ialah amalan wajib dan amalan sunat. Ilmu pula penggerak alat tadi untuk berfungsi. InsyaAllah, kalaupun kita mahu berhati-hati. Kita berhati-hati tanpa menidakkan kuasa Allah sebagai Penentu takdir manusia. Berhati-hatilah kita dengan bantuan Allah.
Memaparkan catatan dengan label Cerita Tauladan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita Tauladan. Papar semua catatan
Isnin, 7 Ogos 2017
Rabu, 11 Mac 2015
Ilmu Di Hati Bukan Di Lembaran Kertas
Maudu' entri kali ini adalah berkaitan dengan ilmu. Istilah ilmu berasal daripada perkataan arab iaitu 'alima. Dari sudut bahasa, ilmu membawa maksud mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu dengan sebenarnya. Sementara dari suduh istilah, ilmu adalah segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang daripada Allah SWT yang diturunkan kepada rasul-rasulNya dan makhluk ciptaannya.
Manusia biasa, lazimnya menerima ilmu sejak dia di dalam kandungan ibunya. Walaupun, bayi di dalam kandungan tidak mampu menggunakan zahir pancainderanya untuk mendapatkan ilmu namun dengan kudrat Allah SWT, roh telah ditiupkan ke dalam jasad manusia. Roh tersebut dipanggil rohul-tamayyiz. Perkara ini telah diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran seperti berikut:
"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah SWT mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): ' Bukankah Aku ini Tuhanmu?' Mereka menjawab: 'Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi'. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: 'Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keEsaan Tuhan)" (Al-A'raff, 7:172)
Kesaksian terhadap keEsaan Allah SWT inilah merupakan ilmu pertama yang Allah sampaikan kepada manusia. Persoalannya, mengapa ilmu-ilmu yang diperolehi terutamanya ilmu-ilmu berkaitan Allah SWT perlu dilupakan atau mudah dilupakan? Dengan bahasa mudahnya, ilmu-ilmu yang tidak diamalkan. Inilah jenis ilmu yang hanya di lembaran kertas, dan tidak terus tersemat di dalam hati.
Penulis bawakan satu kisah tentang ilmu. Kisah Imam Ghazali dengan ilmunya.
Semenjak kecil, Imam al-Ghazali mempelajari ilmu kalam dan fiqh. Imam al-Ghazali telah menghabiskan waktu mudanya dengan menuntut ilmu dari beberapa orang tokoh ulamak yang terkenal pada zaman beliau. Segala ilmu yang diperolehi, beliau akan mencatatnya dan menyimpan di dalam karung.
Pada satu hari ketika Imam Ghazali bermusafir, beliau bersama khabilah-khabilah telah diserang oleh perompak. Perompak tersebut telah memeriksa setiap bungkusan, barangan dan karung. Apabila tiba giliran Imam al-Ghazali, beliau berkata kepada perompak agar ambil apa saja yang dimilikinya kecuali karung yang berisi nota dan catatan ilmu yang diperlajarinya.
Lalu perompak tersebut berkata kepada Imam al-Ghazali bahawa beliau sebenarnya bodoh kerana ilmu tersebut hanya berada di dalam helaian kertas bukannya di hati. Ilmu yang ditulis itu bukanlah ilmu jika beliau tidak boleh memahami, mengingati dan menghafalnya. Perompak berkata; 'bayangkan bagaimana keadaanmu sekiranya nota-nota ini aku rampas? Ini bermakna ilmu mu boleh dicuri'.
Setelah kejadian tersebut, Imam al-Ghazali terus menghafal kembali ilmu-ilmu yang diperlaharinya sebelum ini dan dimasukkan di ingatannya dan tersemat di hatinya.
***
Kisah yang mengambarkan kedudukan ilmu yang dikatakan 'berilmu dan bermanfaat' kepada penuntutnya. Berbeza dengan realiti ketika ini. Ada juga yang mengumpamakan situasi sekarang seperti, 'memulang kembali ilmu kepada gurunya setelah selesai ujian dan mendapatkan grad'. Sudah tak perlu ilmu tersebut kerana kehidupan perlu diteruskan dengan apa jua takdir yang mendatang. Penulis tinggalkan persoalan ini kepada pembaca untuk menilai sendiri tahap dan kedudukan ilmu yang kita tuntut selama ini.
Selasa, 21 Mei 2013
Maaf
_Oh, kata 'maaf' terlalu mahal harganya_
Satu hari, Cik Lin singgah di kedai kasut sebelah kedai kain Sindo. Sudah lama kasut Cik Lin tak bertukar wajah. Berjimat-cermat dengan duit biasiswa yang Cik Lin dapat. Dari depan kedai sampai ke belakang, semua kasut Cik Lin tengok. Cuba disarungkan kasut yang berkenan di hati. Alang-alang Cik Lin keluar teman mak beli kain di kedai kain Sindo, Cik Lin ingat nak juga angkat sepasang.
Sandal kelabu itu, dah dua kali Cik Lin try.
'Dik, kasut ni berapa?' Sandal yang selalu dipanggil 'kasut' mengikut loghat Kedah, Cik Lin tunjuk pada budak perempuan yang berdiri di sebelahnya.
Budak perempuan itu geleng.
'Kak, adik tu bukan kerja sini.' Makcik sebelah Cik Lin tolong jawab bagi pihak budak perempuan tadi.
'Ooo..' Cik Lin buat muka blur. Dalam hati Cik Lin terasa bersalah sangat.
'Itu kasut RM60.50.' Tokey kedai sebenar baru bersuara.
'Alamak Auntie, tak ada less ke?' Cik Lin cuba mencari ruang supaya tak jadi beli sandal itu. Sekurang-kurangnya, selamat duit simpanan Cik Lin.
Cik Lin mula menyusun langkah untuk keluar dari kedai kasut. Sambil beransur, Cik Lin sempat menepuk bahu budak perempuan tadi.
'Sorry na'. Cik Lin dan budak perempuan itu berbalas senyuman.
******
Situasi ini bukanlah menjadi masalah yang besar. Baik pada Cik Lin atau budak perempuan itu. Tersalah kata atau tersasar tujuan barangkali ada yang tersinggung. Ya, mungkin ia tidak disengajakan. Tapi, cuba diletakkan diri kita ditempat budak perempuan itu. Barangkali ada terselit dalam hati rasa tidak selesa dengan kelakuan Cik Lin. Bagi mereka yang peka, kata maaf adalah penyelamat keadaan. Bagi yang tidak, perkara ini boleh dimaafkan sendiri atau 'time heals everything'.
Maaf. Sorry. Afwan.
Apa jua kata maaf, sesungguhnya mengucapkan, memohon dan memberi maaf adalah usaha pengorbanan yang dapat meruntuhkan ego diri.
Cuma bagi Cik Lin, dia masih tidak merasai ikhlasnya dia memohon maaf pada budak perempuan itu dengan hanya kata 'sorry'. Sebalik kata 'sorry' terselindung ego yang masih berbaki, malu barangkali tapi tetap mahu memohon maaf. Bukanlah menjadi masalah pada kata 'sorry' yang digunakan, tetapi adakala kata 'sorry' tersebut yang dirojakkan bahasa akan disalahertikan. Ia seringkali digunakan untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain bahawa anda tidak sombong atau memohon maaf sekadar cukup syarat. Ternyata usaha untuk meruntuh ego dan meningkat taraf keikhlasan masih belum tercapai.
Bagai menyapu sayap kelkatu di lantai. Makin lama disapu, makin diulang untuk menyapu, insyaAllah halaman ruang rumah pasti akan bersih kembali. Begitulah usaha kita untuk mengukir pengorbanan meruntuhkan ego diri. Walaupun kata maaf atau sorry atau afwan sangat mudah untuk diungkapkan, yang penting adalah niat dan tujuannya. Pastinya, usaha seremeh ini diambil kira sebagai amal perbuatan kita yang mungkin akan mengukuhkan hubungan dua dimensi (manusia dengan manusia; manusia dengan Allah SWT) ataupun sebaliknya.
Wallahu'alam
Isnin, 1 Oktober 2012
Kenapa Allah SWT Kisahkan Sesuatu Dalam Sejarah Islam
Assalamualaikum
Melihat pada tajuk entry, bunyinya agak kompleks. Tapi, itulah yang saya ingin maksudkan, kenapa Allah SWT kisahkan sesuatu perkara atau hal atau cerita dalam sejarah Islam? Agak berhari-hari juga, saya berfikir akan hal ini. Cuba bertenang mencari idea, bagaimana mahu sampaikan dengan berkongsi sesuatu pada semua pembaca? Alhamdulillah, hari ini Allah SWT takdirkan saya peroleh ilham. InsyaAllah, sama-sama kita ambil manfaatnya.
Persoalannya bermula begini. Apabila memerhati sesuatu yang menjadi kelaziman dalam kehidupan manusia, ia cuma dipandang sepi tanpa kita melihat pada maksud tersiratnya. Lebih-lebih lagi dalam hal beristiqamah membuat amal makruf nahi mungkar. Sebagai contoh; saya ingin jadi seorang muslim yang baik. Tapi tatkala saya berdepan dengan orang yang cuba mencabar kesabaran saya atau memarahi saya, terutamanya dalam urusan kerja, niat dan istiqamah nak jadi baik itu tak menjadi. Kononnya, tahap kesabaran itu ada hadnya dan saya berhak 'beri pengajaran' pada orang yang buat tak baik pada saya tadi dengan alasan saya dah cuba berbuat baik. Dan sekarang, orang itu yang membuatkan saya jadi tak baik. Alangkah rendahnya nilai diri saya tetap berdiam jika selalu diuji kesabaran oleh mereka yang telah pun saya layan dengan baik. Persoalannya, adakah jalan untuk beristiqamah dalam Islam biarpun berdepan dengan situasi seperti ini, adakala ada yang mendesak diri untuk bertindak dengan cara tidak berakhlak? Jika ya, apakah buktinya? Hakikat yang saya lihat dalam hidup di luar sana, mustahil seorang itu masih mampu menjaga akhlaknya walaupun situasi seperti telah menjadi kelaziman dalam kehidupan sekarang.
InsyaAllah. Saya cuba kongsikan kisah yang disampaikan oleh guru saya, Dr Sukainah semasa kelas Pembangunan Institusi Islam semester lepas.
Kisah ini berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umar. Ada seorang pemuda yang mempunyai sebidang tanah. Satu hari, ada seorang tua membawa seekor unta memasuki kawasan tanah pemuda itu. Pemuda ini melarang orang tua ini dari memasuki kawasannya, namun orang tua itu tetap melakukannya. Pemuda ini membalingkan batu ke arah orang tua itu dengan niat untuk menakutkan orang tua itu. Tetapi, batu tersebut terkena kepala orang tua itu dan akhirnya, orang tua itu terus mati.
Dalam Islam, hukuman bagi kes jenayah terbahagi kepada 3, iaitu:
- Hudud : Hukuman yang ditetapkan dalam al-Quran, contoh berzina, merompak dan sebagainya
- Qisas : Hukuman yang melibatkan tubuh badan orang lain sama ada mati atau cedera, iaitu hukum yang sama rata
- Takzir : Hukuman yang ditetapkan oleh pemerintah
Kejadian ini berlaku tanpa sengaja si pemuda tadi. Jadi, anak-anak si tua ini membawa pemuda itu kepada Saidina Umar untuk diadili. Setelah diadili mengikut hukuman jenayah Islam, pemuda ini akan dijatuhkan hukuman balas (qisas), hukum bunuh dan dia dipenjarakan pada hari itu. Asal-usul pemuda bersalah tadi tidak diketahui oleh sesiapa pun termasuklah si anak-anak si mati dan Saidina Umar sendiri.
Sebelum pemuda itu menjalani hukumannya, dia meminta izin daripada Saidina Umar untuk pulang ke rumah untuk menyelesaikan satu urusan dengan ibunya di kampung. Permintaan pemuda itu tidak diterima oleh anak-anak si mati tadi kerana mahu menuntut hukuman balas ayah mereka. Jadi, Saidina Umar mengumumkan keizinan si pemuda ini pulang sekiranya beliau mempunyai penjamin. Tiba-tiba Abu Zar menawarkan diri untuk menjadi penjamin pemuda itu. Abu Zar adalah seorang yang tegas, dan telah tua. Pemuda itu agak terkejut dengan jaminan Abu Zar, kerana Abu Zar sendiri tidak mengenali siapakah pemuda pesalah itu. Maka, Abu Zar dipenjarakan sementara pemuda itu pulang ke kampung selama 3 hari.
Tiba waktunya hukuman hendak dijalankan, pemuda itu masih tidak datang. Abu Zar bersedia untuk menjadi ganti untuk hukuman itu. Namun, akhirnya pemuda itu datang menunaikan janjinya dan bersedia untuk dihukum seperti yang dijanjikan. Di akhir cerita ini, anak-anak si mati telah memaafkan pemuda itu, dan tiada hukuman bunuh berlaku.
Apabila Saidina Umar bertanyakan kepada pemuda itu, kenapakah lambat tiba?
Pemuda itu menjawab; ketika dalam perjalan pulang tali kudanya putus, dan dia terpaksa perlahankan perjalanan. Dia wajib pulang ke kampung kerana serahkan urusan harta anak yatim kepada ibunya.
Saidina Umar bertanya pula kepada Abu Zar, kenapa beliau berani menjamin pemuda yang tidak dikenalinya?
Abu Zar menjawab, dia bimbang sekiranya tercatatnya dalam sejarah tiada kebaikan dalam Islam, bilamana orang berhajat tidak ditunaikan. Dalam kisah ini, pemuda itu berhajat untuk pulang ke kampung untuk selesai urusannya dengan ibunya, dan Abu Zar ingin menunaikan hajat pemuda tersebut.
Saidina Umar bertanya kembali kepada pemuda itu, kenapa kamu kembali untuk terima hukuman sedangkan kamu sudah bebas untuk menyelamatkan diri kerana hakikatnya kamu tidak sengaja membunuh orang tua itu?
Pemuda itu menjawab; dia takut tercatatnya dalam sejarah Islam tak ada kesetiaan pada janji dalam Islam. Pemuda itu telah berjanji untuk pulang kembali setelah dia selesaikan urusannya di kampung.
Kemudian Saidina Umar bertanya pula kepada kedua-dua anak si mati, kenapa kamu mahu memaafkan kesalahan pemuda yang telah membunuh ayah kamu?
Anak-anak si mati itu menjawab: mereka bimbang tercatatnya dalam sejarah Islam, tiada lagi kemaafan dalam kalangan orang Muslim, meskipun kesalahan itu amat berat untuk diterima bagi keluarga si mati.
Kesimpulan bagi keseluruhan cerita ini adalah, seorang Muslim akan selalu dan terlalu fikirkan tentang Islam berbanding dirinya sendiri. Persoalan lagi, mampukah kita, seorang Muslim di akhir zaman ini mampu bertindak sedemikian? Memikirkan tentang Islam, maruah dan kebaikan Islam melebihi diri sendiri. Maka, terjawablah juga persoalan saya di awal entry ini. Inilah sejarah Islam yang menjadi bukti, keindahan Islam yang membuktikan bahawa melakukan kebaikan itu tidak merugikan malah ia sangat bermanfaat. Lebih-lebih lagi, dalam hal memperjuangkan Islam, sama ada dalam diri atau pun secara besarnya untuk ummah.
Untuk mempertahankan istiqamah, membentuk akhlak diri yang baik walaupun berdepan dengan pelbagai situasi, ujian, dugaan mahupun cabaran hidup, Islam tetap menyediakan jalan yang terbaik untuk umatnya.
Kesimpulan akhirnya, saya ingin menjadi seorang Muslim yang baik, tatkala berdepan dengan orang yang menguji kesabaran atau memarahi saya, dengan cara tunjukkan akhlak yang baik kerana untuk mempertahankan kebaikan Islam itu. Itu lebih mudah jika dibandingkan dengan berfikir hanya untuk menjaga hati sendiri, kononnya. Sejarah dulu telah buktikan, bahawa perkara ini tidak mustahil biarpun zaman telah berubah. Jadi, inilah pengorbanan bagi umat Islam sekarang untuk terus mencatatkan kisah kebaikan dalam sejarah Islam, walaupun sekecil kuman.
Alhamdulillah, segala persoalan hati saya telah terjawab. Hati saya makin bahagia dengan izin-Nya. Harap ia juga membawa manfaat pada semua.
Wallahu'lam
Wallahu'lam
Langgan:
Catatan (Atom)
Post Terbaru untuk 2025!
Assalamualaikum semua. Aku kembali menulis lagi. Aku rindu zaman aku suka menulis dulu. Terus dari hati. Sekarang aku nak menulis pun susah...
-
Assalamualaikum semua. Aku kembali menulis lagi. Aku rindu zaman aku suka menulis dulu. Terus dari hati. Sekarang aku nak menulis pun susah...
-
Balik kerja tadi, saya duduk berehat. Penat. Berfikir-fikirlah saya macamana cara maintain mood study . Apa alat bantu supaya saya berdedik...
-
Alhamdulillah, tugasan sebagai seorang pelajar sarjana sudah menghampiri ke penghujung. Syukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia da...