Rabu, 11 Mac 2015

Ilmu Di Hati Bukan Di Lembaran Kertas

Maudu' entri kali ini adalah berkaitan dengan ilmu. Istilah ilmu berasal daripada perkataan arab iaitu 'alima. Dari sudut bahasa, ilmu membawa maksud mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu dengan sebenarnya. Sementara dari suduh istilah, ilmu adalah segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang daripada Allah SWT yang diturunkan kepada rasul-rasulNya dan makhluk ciptaannya.

Manusia biasa, lazimnya menerima ilmu sejak dia di dalam kandungan ibunya. Walaupun, bayi di dalam kandungan tidak mampu menggunakan zahir pancainderanya untuk mendapatkan ilmu namun dengan kudrat Allah SWT, roh telah ditiupkan ke dalam jasad manusia. Roh tersebut dipanggil rohul-tamayyiz. Perkara ini telah diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran seperti berikut:

"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah SWT mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): ' Bukankah Aku ini Tuhanmu?' Mereka menjawab: 'Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi'. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: 'Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keEsaan Tuhan)" (Al-A'raff, 7:172)
Kesaksian terhadap keEsaan Allah SWT inilah merupakan ilmu pertama yang Allah sampaikan kepada manusia. Persoalannya, mengapa ilmu-ilmu yang diperolehi terutamanya ilmu-ilmu berkaitan Allah SWT perlu dilupakan atau mudah dilupakan? Dengan bahasa mudahnya, ilmu-ilmu yang tidak diamalkan. Inilah jenis ilmu yang hanya di lembaran kertas, dan tidak terus tersemat di dalam hati. 

Penulis bawakan satu kisah tentang ilmu. Kisah Imam Ghazali dengan ilmunya. 

Semenjak kecil, Imam al-Ghazali mempelajari ilmu kalam dan fiqh. Imam al-Ghazali telah menghabiskan waktu mudanya dengan menuntut ilmu dari beberapa orang tokoh ulamak yang terkenal pada zaman beliau. Segala ilmu yang diperolehi, beliau akan mencatatnya dan menyimpan di dalam karung.

Pada satu hari ketika Imam Ghazali bermusafir, beliau bersama khabilah-khabilah telah diserang oleh perompak. Perompak tersebut telah memeriksa setiap bungkusan, barangan dan karung. Apabila tiba giliran Imam al-Ghazali, beliau berkata kepada perompak agar ambil apa saja yang dimilikinya kecuali karung yang berisi nota dan catatan ilmu yang diperlajarinya.

Lalu perompak tersebut berkata kepada Imam al-Ghazali bahawa beliau sebenarnya bodoh kerana ilmu tersebut hanya berada di dalam helaian kertas bukannya di hati.  Ilmu yang ditulis itu bukanlah ilmu jika beliau tidak boleh memahami, mengingati dan menghafalnya. Perompak berkata; 'bayangkan bagaimana keadaanmu sekiranya nota-nota ini aku rampas? Ini bermakna ilmu mu boleh dicuri'.

Setelah kejadian tersebut, Imam al-Ghazali terus menghafal kembali ilmu-ilmu yang diperlaharinya sebelum ini dan dimasukkan di ingatannya dan tersemat di hatinya. 

***

Kisah yang mengambarkan kedudukan ilmu yang dikatakan 'berilmu dan bermanfaat' kepada penuntutnya. Berbeza dengan realiti ketika ini. Ada juga yang mengumpamakan situasi sekarang seperti, 'memulang kembali ilmu kepada gurunya setelah selesai ujian dan mendapatkan grad'. Sudah tak perlu ilmu tersebut kerana kehidupan perlu diteruskan dengan apa jua takdir yang mendatang. Penulis tinggalkan persoalan ini kepada pembaca untuk menilai sendiri tahap dan kedudukan ilmu yang kita tuntut selama ini.

Tiada ulasan:

MENCAPAI JIWA YANG TENANG DI TENGAH HIRUK PIKUK KEHIDUPAN

Hakikat kehidupan dunia yang fana ini adalah untuk menguji setiap makhluk berjiwa sebelum kembali ke alam akhirat yang abadi. Sebagaimana fi...