Isnin, 16 Mac 2015

Konsep hygienic Islam versus konsep hygienic konvensional

Kenapa diletakkan versus di antara dua istilah tersebut? Apakah memang wujud perbezaan konsep hygienic daripada perspektif Islam dan konvensional? Bukankah konsep hygienic ini konsep yang universal, boleh diguna pakai oleh setiap individu, bangsa dan agama? Dan persoalan terakhir, bagaimanakah kedudukannya dalam pengurusan kualiti makanan halal?

Sebelum menjawab kepada persoalan tersebut, pernahkan anda biasa mendengar pernyataan "negara bukan Islam, lebih 'Islamik' daripada negara Islam"? Perkara ini sebenarnya mengambil kira beberapa perkara yang menjadi indikator, bagaimana sesebuah negara atau institusi tertentu dapat dilabelkan sebagai sifat 'Islamik'. Sebagai contoh, nilai-nilai murni yang diamalkan sebagai sifat sejagat. Secara hukum adatnya, sememangnya kita tidak dapat menidakkan sifat-sifat kemanusiaan yang dipraktikkan oleh sebahagian orang bukan Islam tanpa mengira batasan waktu, darjat atau warna kulit. Atas sebab inilah ramai yang menganggap orang bukan Islam yang mengamalkan nilai-nilai murni ini lebih bersifat Islamik jika dibandingkan dengan sifat dan sikap orang Muslim. Contoh yang lain seperti amalan kebersihan. Memang tidak dapat dinafikan, ada sesetengah negara atau institusi bukan Islam begitu mementingkan kebersihan dan menjadi perkara penting untuk di ambil perhatian dalam rutin seharian mereka.

Hygienic merupakan istilah yang berasal daripada bahasa Perancis yang bermaksud kebersihan. Sumber lain menyatakan hygienic telah digunakan sejak zaman Yunani purba iaitu hugiaínō yang bermaksud 'menjadi sihat'. Daripada definisi ringkas ini, istilah hygienic merupakan istilah yang digunakan bagi menunjukkan kepada keadaan yang bersih dan selamat daripada pencemaran atau kekotoran biologi, kimia dan fizikal. Pada sekitar tahun 1970-an, istilah hygienic ini lebih dominan digunakan dalam sektor perubatan.

Secara umumnya, sifat-sifat yang digambarkan melalui definisi istilah ini adalah bersifat positif dan universal. Oleh kerana istilah ini berasal daripada amalan orang Barat (berdasarkan kepada penelitian ringkas penulis), penulis berpendapat amalan universal ini juga mempunyai asas dan matlamatnya yang tersendiri. Pada zaman sekarang, istilah hygiene atau hygienic merujuk nilai kualiti. Lazimnya istilah ini ditemui dalam semua keadaan yang berkaitan amalan, isu-isu gaya hidup, premis dan komoditi yang mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat. Melalui sifat ini, hygienic telah digunakan sebagai intrumen untuk menilai kebersihan dalam sebuah premis makanan dengan melalui penetapan standard-standard tertentu. Atas alasan ini juga, sifat hygienic telah melengkapi aspek kebersihan, keselamatan dan kesucian bagi kualiti makanan halal.

Bagaimanakah ia boleh dibezakan antara hygienic Islam dengan hygienic konvensional? Jika konsep hygienic konvensional lebih mementingkan kebersihan yang 'nampak' dengan menggunakan sebarang kaedah kawalan atau kaedah pembersihan bagi mengekalkan hygiene yang bersifat mekanikal, konsep ini masih belum dapat memenuhi konsep hygienic Islam yang sebenar. Konsep hygienic daripada perspektif Islam merangkumi aspek-aspek penyucian seperti thaharah, nazafah, tazkiyah dan fitrah. Istilah kebersihan atau hygienic menurut perspektif Islam ini melibat penyucian dan pembersihan daripada aspek fizikal dan rohaniah, dengan menggunakan kaedah mekanistik dan spiritual sekali gus.

Dalam pengurusan kualiti makanan halal, konsep hygienic Islam ini perlu diterapkan dan diamalkan tidak hanya mementingkan kebersihan 'nampak' yang dianggapkan lebih berbahaya kepada keselamatan fizikal manusia. Namun, dengan aplikasi konsep hygiene holistik ini, bukan sahaja persekitaran jelas kelihatan bersih dan elok. Usaha ini juga dapat melahirkan individu yang bersih dan sihat secara fizikal dan rohaniah. Perkara ini tidak hanya dikhususkan bagi orang Muslim, bahkan ia juga dapat diamalkan oleh orang bukan Muslim atas dasar nilai universal. Lebih menarik lagi, usaha ini dapat melebarkan sayap dakwah Islam dan memperkenalkan Islam yang sebenar, bukannya penilaian sifat 'Islamik' yang didasari oleh nilai-nilai fizikal dan meterial.

Tiada ulasan:

MENCAPAI JIWA YANG TENANG DI TENGAH HIRUK PIKUK KEHIDUPAN

Hakikat kehidupan dunia yang fana ini adalah untuk menguji setiap makhluk berjiwa sebelum kembali ke alam akhirat yang abadi. Sebagaimana fi...