Drama melayu, banyak mengkisahkan tentang seorang yang baik pasti akan ditindas dengan yang berniat jahat ke atasnya. Kemudian, yang baik tadi dengan tiada pilihan terpaksa mempunyai sifat-sifat yang bukan baik demi menjaga hak hidupnya. Jika tidak, dia pasti dianggap dungu. Kalaupun masih ada watak yang baik hingga ke akhir, dengan lakonan yang menunjukkan hati yang tabah merelakan apa jua tindasan dari pihak lain. Tapi masih tidak menunjukkan keceriaan pada wajahnya dan tidak menunjukkan dia mempunyai jiwa yang besar, pasti ini akan meninggalkan kesan tidak puas hati bagi penonton. Penonton pula terpaksa mempunyai sifat-sifat yang tidak baik untuk mempertahankan hak setelah melihat watak baik tadi tidak mempunyai kelebihan dengan hanya 'baik' disepanjang kisahnya. Di akhir cerita, pasti ada balasan dan penyesalan sama ada bagi pihak yang berhati jahat mahupun yang baik pada asal tadi.
(Saya mengambil Drama Melayu bukannya Hollywood atau Bollywood, kerana Melayu lebih dekat dengan Agama Islam dan budaya kita)
***
Sedar atau pun tidak, percaya atau pun tidak, kisah-kisah drama yang mengambarkan corak kehidupan melayu-Islam majoritinya sepertimana yang diceritakan di atas banyak meninggalkan kesan yang sangat negatif pada manusia di dunia realiti. Sebagai bukti, isu pergaduhan di jalanraya akibat kemalangan. Lagi menyedihkan keadaan ini benar-benar mengambarkan akhlak seorang Muslim kepada Muslim yang lain, atau akhlak Muslim kepada orang yang bukan Islam.
Apabila berlaku mana-mana situasi seperti ini, walaupun hati mahu redha paling tidak pasti ada yang merasakan hak diri telah dipermainkan. Hati merasakan diri telah diperbodohkan oleh pihak yang lain, kerana telah dipastikan dirinya berada di pihak yang benar. 'Argh, kalau aku diam pasti aku dianggap dungu. Aku kena pertahankan. Kalau tak, pasti orang ini (yang berniat jahat atau tidak sengaja melakukan kesalahan) akan naik lemak dan buat lagi.' Lebih kurang begitulah monolog diri apabila ditakdirkan berdepan dengan ujian sebegini.
Secara jujurnya, saya juga pernah mengalami keadaan seperti ini. Sentiasa bersedia untuk menghadapi manusia lain (sama ada yang tak dikenali mahupun yang dikenali) dalam apa jua keadaan supaya saya tidak kelihatan dungu, walaupun saya terpaksa belajar menipu. Ketika itu saya juga mahu jadi heroin yang segala sifatnya sempurna dan orang lain mengaguminya. Setelah saya mendalami realiti hidup dengan ilmu-ilmu yang Allah izinkan untuk saya melalui guru-guru saya, saya percaya sumber utama yang dijadikan rujukan kepada tindakbalas seorang manusia kepada manusia lain dalam apa jua keadaan hanyalah melalui ilmu-ilmu drama sebagaimana disebut sebelum ini. Kebetulan cerita realiti tidak banyak bezanya dengan lakonan yang dibawakan dalam drama dan dipertontonkan buat santapan 'jiwa' mereka yang mengemarinya.
Bagi manusia yang fitrahnya mahukan kebaikan, dan bagi manusia yang ingin ketenangan dengan rasa berTuhan pada setiap waktu kehidupannya, perkara ini pasti akan menjadi konflik dan bertembung sama sendiri. Kenapa saya katakan demikian? Apabila kita mahu jadi baik, ingin jadi Muslim terbaik, tetapi situasi dunia yang terlalu menyakitkan telah menghadkan diri untuk terus beramal dan bermujahadah menjadi baik. Ada juga konflik apabila diri telah melaksanakan ibadah-ibadah wajib, tapi hati masih merasai tidak tenteram. Kenapa jadi begini? Bolehkah kita beramal hanya mengikut kemampuan diri menghadapi kerenah dunia yang bermacam ragam? Sedangkan telinga hanya mendengar kisah manusia lain pun hati sudah naik membara, itu tak adil ini tak ada hak, patutnya kena begitu dan begini. Apatah lagi jika Allah takdirkan diri sendiri yang hadapinya. Adakah tidak ada peluang untuk menjadi Muslim terbaik, menjadi da'i yang berakhlak dalam apa jua keadaan untuk dambaan Syurga Allah SWT? Adakah semua ayat-ayat cinta Allah untuk keredhaanNya hanyalah retorik semata-mata dan tidak relevan lagi untuk dilaksanakan?
Persoalan itu saya kongsikan kerana itulah permulaan saya dalam mencari ilmu-ilmu Allah SWT. Alhamdulillah, walaupun hakikatnya tidak manusia yang sempurna melainkan para Nabi dan Rasul Allah SWT yang diperlihara Allah SWT, sifatnya adalah maksum. Namun dengan ilmu Allah SWT, kita yakin hakikat kejadian manusia dan tidak lagi terlalu runsing untuk memikirkan keselamatan diri daripada ancaman manusia lain kita akan terus belajar memperbaiki diri sehingga menjadi yang terbaik dipandangan Allah SWT. Di sinilah keperluan kita belajar bagaimana mahu menghubungkan bantuan dan perlindungan Allah SWT pada setiap masa.
Pertama, kenali siapa Tuhan kita? Allah SWT yang Maha Berkuasa yang tidak pernah sedikit pun alpa tentang kehidupan kita. Baikkah kita, burukkah kita segalanya Allah tahu. Beramal untuk menjadi baik untuk Allah SWT pun tidak ada had mengikut kemampuan diri berdepan dengan karenah dunia. Kedua, kenali siapa diri kita? Walaupun secara zahirnya, ramai antara kita mengakui diri kita ini sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Namun, adakah atau mampukah kita melaksanakan fungsi hamba dan khalifah itu secara istiqamah? Lebih lebih lagi dalam hal hal yang mendesak. Ya, manusia tiada yang sempurna. Tapi dengan hadirnya rasa bertuhan, ketidaksempurnaan (kesalahan) itu mampu meninggalkan kesan yang tidak enak sekiranya diri terus menerus melakukannya. Apatah lagi dengan perkara yang menguji kesabaran hati.
Soalnya, bagaimana caranya mahu kenali siapa Tuhan dan siapa diri kita?
Jawapannya, jangan berhenti mencari ilmu. Dan tuntut lah ilmu daripada sumber yang benar. Bukannya dengan drama yang hanya merangsangkan kebaikan melalui rangsangan emosi. Kelak kebaikan itu hanya melahirkan iman emosi, berubah mengikut situasi. Tidak kekal di dalam hati, yang berjuang dan berjihad mujahidin sehingga mati.
Soalnya, bagaimana caranya mahu kenali siapa Tuhan dan siapa diri kita?
Jawapannya, jangan berhenti mencari ilmu. Dan tuntut lah ilmu daripada sumber yang benar. Bukannya dengan drama yang hanya merangsangkan kebaikan melalui rangsangan emosi. Kelak kebaikan itu hanya melahirkan iman emosi, berubah mengikut situasi. Tidak kekal di dalam hati, yang berjuang dan berjihad mujahidin sehingga mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan