Langkah kini semakin kuat untuk dihayunkan.
Pengertian hidup dengan ilmu-ilmu Tuhan semakin meyakinkan diri bahawa 'aku' tidak lagi tersalah langkah.
Biarpun kemewahan tersedia menjemput tanpa syarat.
Biarpun kebahagiaan dunia terbuka luas tanpa perlu bersoal jawab.
Tapi sayangnya diri dengan 'jiwa yang hidup', kemewahan dan kebahagiaan sementara itu 'aku' tinggalkan sepi.
Bukan sekali, 'aku' dengar tomahan.
Bukan sehari, 'aku' berdepan dengan kejian.
Namun, dengan kecintaan yang mendalam itu, tomahan 'aku' biarkan berbunyi. Kejian 'aku' tinggalkan sendiri.
Jiwa pernah digegarkan dengan suara harapan ayahanda dan bonda.
Harapan yang masih belum 'aku' temui jalannya.
'Aku' tahu, mereka lebih mengerti tentang keperitan hidup.
'Aku' yakin mereka lebih arif tentang ketentuan Ilahi.
Maka, rayuan itulah menjadi pembakar jiwa biarpun melodinya terlalu meruntun jiwa.
Oh Allah!
Sesekali 'aku' terkelu dengan sikap dunia.
Kecintaan 'aku' dengan jalan Mu seperti tidak bernilai bagi dunia.
'Aku' dikatanya bodoh kerana tinggalkan kesenangan.
'Aku' dikatanya sombong kerana memilih kebaikan.
Langkah kaki ini makin hari makin teguh di jalanan. Kerana 'aku' yakin, kata retorik itu bakal disempurnakan suatu hari nanti, dengan izinNya. Inilah perjuangan Islam, ia bukan hanya pada tulisan. Tapi lebih daripada perbuatan, akhlak dan roh syariat Nya.
Sunnah Orang Berjuang!
Nora Dahlal
Kembali menjadi pelajar Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), di USM sebagai calon Doktor Falsafah pada tanggal 1 Mac 2014. Moga-moga usaha ini dinilai sebagai ibadah dan jihad di jalan Allah SWT.
Khamis, 26 Februari 2015
Selasa, 30 September 2014
Konsep Halal dalam Mencapai Reda Allah
Rabu, 11 Jun 2014
Zaman Itu Telah Berlalu
Zaman
riang itu telah lama berlalu,
Jauh
sangat pergi tinggalkan waktu,
Suka
dan duka tak pernag mengubah cerita hidup kecilku,
Tak
pernah gentar dengan dunia luar yang sangat palsu,
Dunia
ku hanyalah warna-warni yang bersatu tanpa ada wajah yang jitu.
Dunia
itu telah lama berlalu,
Anak
pewarislah pengganti cerita kecilku,
Hidup
kini tidak lagi untuk cerita dunia ku,
Dunia
itu makin luas,
Luas
meliputi semesta alam,
Yang
bakal menjadi jawapan di alam balasan
Jawapan
itu bukanlah kedudukan pangkat,
Bukanlah
harta,
Bukanlah
nama,
Bukanlah
keturunan,
Tapi
tanggungjawab sebagai khalif Allah,
Patuh
mengakui kebesaran-Nya.
Nora Dahlal
ISDEV, USM
| Google Image |
Rabu, 14 Mei 2014
Musafir Jiwa
Setelah setahun berganjak waktu, saya kini berpeluang lagi bermusafir
bersama guru-guru dan sahabat-sahabat ISDEV. Kami berkumpul lagi di bumi Medan
dengan satu tujuan dan satu matlamat. Alhamdulillah, Februari yang lalu saya
telah mendaftar sebagai pelajar PhD di USM bagi menyempurnakan hasrat untuk
terus menimba ilmu dan memperdalamkan kajian saya dalam bidang industri makanan
halal khusus untuk ilmu pengurusan pembangunan Islam.
Walaupun agenda perjuangan dalam bidang yang berbeza, kesepaduan tujuan dan
matlamat perjuangan itu jelas kelihatan apabila masing-masing memahami hakikat
kehidupan alam ini dan segala isinya. Bersyukur juga saya kepada ke hadrat
Ilahi, usaha untuk melengkapkan hasrat menziarahi keluarga ISDEV di Medan
dipermudahkan Allah SWT. Tiga bulan sebelum musafir ini, saya mendapat satu
peluang kerja di Jabatan Kesihatan Kedah dalam Bahagian Keselamatan dan Kualiti
Makanan sebagai seorang juruaudit MeSTI (satu pensijilan ‘Makanan Selamat
Tanggungjawab Industri’). Tanggal 30 April lalu, kontrak sebagai Pegawai
Teknologi Makanan telah tamat dan agenda hidup saya diteruskan dengan kembali
fokus kepada pengajian PhD. Insya-Allah dalam entri akan datang saya cuba
coretkan pengalaman dan ilmu untuk perkongsian bersama.
Sahabat
Sahabat itu sangat indah maknanya. Keindahan dapat dirasai tatkala dapat
bermusafir bersama. Subuh pagi terakhir di bumi Medan, seusai solat jemaah
sahabat-sahabat berkongsi seribu satu pengalaman dan kenangan untuk
dimanfaatkan bersama. Salah satu perkara yang sering muncul dalam perkongsian
tersebut ada nilai sahabat. Seawal usia saya dalam pengembaraan hidup ini, guru
saya yang kini hebat menempa nama dalam dunia politik di negeri pulau mutiara
pernah memberi pesan. Musafir ialah satu cara untuk mengenali seseorang.
Apabila saya berpeluang merasai sendiri pengalaman bermusafir secara berjemaah,
saya mengakui kebenaran kata guru itu. Sahabat itu baik pada erti dan
manfaatnya. Namun ia bukan satu pengukuran untuk menilai dan menghukum baik
atau buruknya seorang sahabat. Ukuran itu harus pada diri sendiri serta
bagaimana mahu fleksibel membina kawan yang ramai. Walau bagaimanapun, dalam
musafir kali ini tetap mengajar jiwa saya tentang makna kejujuran, keikhlasan
dan kepekaan dan keprihatinan dalam membina sebuah persahabatan.
Musafir inilah perjuangan dalam membina ukhwah dan bersahabat. Musafir itu
bakal mendedahkan hal-hal yang tersembunyi dalam diri teman yang didampingi.
Teman sebilik, teman satu kenderaan, teman satu jemaah. Itu mampu mengubah
persepsi awal seseorang terhadap sahabat lain yang masih belum mengenali dengan
lebih akrab.
‘Apabila redha, pasti akan diberi satu hadiah
kejutan’ (Kak Hanani, RISDEV:UUM)
Tafsir Alam
Musafir ini merupakan musafir kali ketiga saya ke bumi Medan. Ketiga-tiga
musafir ini dilihat sangat berbeza walaupun bumi Medan tidak banyak yang berubah.
Seperti mana yang dimanfaatkan dalam musafir kedua saya ke bumi Medan dan
musafir pertama saya bersama-sama guru dan sahabat ISDEV dengan tema ‘Tadabbur
Alam’, tafsiran alam yang dapat dilihat sering berubah-ubah. Mata itu kunci
kepada ilmu pengetahuan. Namun, sekiranya mata itu hanya dianggap sebagai satu
elemen fizikal tanpa menggunakan mata hati maka tafsiran ilmu juga tampak
sangat terhad.
Pertama kali saya bermusafir bersama-sama rakan-rakan sepejabat Halal
Penang, dua minggu lebih awal dari tarikh musafir kedua saya. Musafir ini merupakan
habuan daripada majikan untuk usaha keras kami menjayakan program tahunan PIHEC.
Alhamdulillah, walaupun musafir itu lebih kepada rehlah namun pandang pertama
saya terhadap alam dan isi kehidupan di bumi Medan banyak membuatkan saya
termenung memikirkan sesuatu. Saat itu, banyak tanda tanya yang ditinggalkan
tanpa jawapan. Jawapan itu banyak terjawab pada musafir saya yang kedua dengan bantuan
dan perkongsian ilmu guru-guru, sahabat dan ilmuan yang turut sama bermusafir
yang bertema ‘Tadabbur Alam’ itu.
Untuk ke sekian kalinya, saya kembali menyertai musafir bersama ISDEV
dengan makna dan persepsi yang berbeza. Lagaknya seperti sudah mahir tentang
alam dan kehidupan bumi Medan. Namun begitu, ia tetap menjadi satu perjalanan
yang agak menguji. Ujian yang berbeza, tapi sangat menguja. Musafir yang
membuat saya lebih bersedia dan lebih merancang.
Semangat Baru
Setelah hampir tiga bulan berehat dari serius memikirkan tentang penulisan
tesis kerana memberi komitmen penuh pada tugasan kerja di JKN Kedah,
sekembalinya saya dari bermusafir semangat diri seperti dibajai dan disirami
dengan impian memanfaatkan ilmu dan pengalaman sendiri.
Kebetulan tema konferensi pada tahun ini ialah ‘Transformasi Gaya Hidup
Halal’, saya merasakan musafir untuk kali sangat menguntungkan saya. Isi
perbincangan dan pembentangan memberi sejuta manfaat dan ilmu baru dalam bidang
halal. Alhamdulillah. Kesyukuran yang tidak terhingga dengan takdir dan
izin-Nya. Bertambah teruja apabila berpeluang dapat berdiskusi secara terus
dengan Prof Muhammad Syukri Salleh mengenai kajian PhD tanpa dirancang.
Semangat itu kembali mekar mengiringi perjuangan yang masih belum selesai. Insya Allah diharapkan ia terus mekar tanpa bermusim.
![]() |
| Keluar ISDEV yang mengikuti musafir di bumi Medan tahun ini |
Musafir Jiwa 2014
Rabu, 30 April 2014
Makanan Halal, Selamat & Berkualiti
Bismillah.
Alhamdulillah! Dalam tempoh 2 bulan dan 2 minggu, saya berpeluang menimba pengalaman dan ilmu dalam skop bidang kerja yang berbeza daripada sebelum ini. Dengan izin-Nya, saya diterima untuk turut serta dalam kumpulan audit keselamatan dan kualiti makanan di Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
Alhamdulillah! Dengan izin-Nya, saya telah berdaftar sebagai pelajar doktor falsafah di Universiti Sains Malaysia. Impiannya untuk meneroka lebih luas tentang makanan halal baru di 'pintu masuk'. Permulaan untuk mengemukaan cadangan penyelidikan masih kabur. Namun, dengan peluang yang tersedia dalam bidang audit keselamatan dan kualiti makanan ini, insyaAllah diharap ia mampu memberi pencerahan.
Sedikit perkongsian untuk semua mengenai pengalaman dalam bidang audit keselamatan dan kualiti makanan.
Sistem jaminan kualiti dan keselamatan makanan yang difokuskan semasa bertugas di JKN ialah Makanan Selamat Tanggungjawab Industri atau MeSTI. Sepanjang tempoh perkhidmatan kontrak ini, saya berjaya melawati hampir 26 industri makanan untuk diberi bimbingan dan melakukan audit terhadap premis yang menjalankan pemprosesan makanan.
Pada asasnya, sistem jaminan MeSTI merupakan satu rumusan ringkas yang memenuhi keperluan wajib Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Sistem jaminan ini mempunyai sekurang-kuranya dua bahagian khusus. Pertama, bahagian infrastruktur premis dan kedua, program jaminan keselamatan makanan.
Dalam industri penghasilan makanan, keperluan untuk mematuhi peraturan dan undang-undang kualiti dan keselamatan makanan adalah wajib berdasarkan kepada panduan-panduan yang telah ditetapkan. Apabila mengalami sendiri secara 'turun lapangan', saya merasakan tugasan sebagai juru audit kualiti dan keselamatan makanan ini bukanlah satu tugasan yang mudah. Lebih-lebih lagi ketika mana terpaksa berurusan dengan masyarakat setempat.
Secara amnya, semua orang terlibat secara langsung dalam hal-hal kualiti dan keselamatan makanan. Aktiviti penghasilan makanan dibahagikan kepada tiga peringkat. Pertama, peringkat dapur rumah. Kedua, peringkat kantin, restoran atau gerai makanan, dan ketiga peringkat industri pemprosesan makanan. Di antara ketiga-tiga peringkat ini, manusia beraktiviti secara rantaian sama ada menjadi pengusaha atau pengguna.
Dengan hal yang demikian, pemerhatian yang dilakukan sebagai juru audit ini tidak terhad kepada lokasi-lokasi yang di'tanda' sebagai industri yang memohon sijil kelayakan kualiti dan keselamatan makanan. Malah, pemerhatian itu diluaskan kepada keseluruhan aspek. Kenapa saya mengatakan demikian? Apabila aktiviti pemerhatian dan pemeriksaan hanya dihadkan kepada lokasi yang dinilai, tidak mustahil kerja-kerja kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan yang sebenarnya adalah rutin bagi setiap individu menjadi sukar untuk dilaksanakan.
Perkara inilah yang menjadi kesulitan bagi saya sewaktu menjadi juru audit kualiti dan keselamatan makanan. Dalam melakukan audit, saya perlu mempertimbangkan perkara-perkara yang menjadi integriti sebagai seorang juru audit. Tidak boleh bias dan tidak boleh ambil mudah dengan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada isu kualiti dan keselamatan makanan. Selain itu, sebagai juru audit juga perlu mendengar hal-hal yang menjadi masalah bagi pihak industri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kebanyakkan industri yang memohon untuk kelayakan sijil kualiti dan keselamatan makanan ini terdiri daripada industri kecil dan sederhana dan banyak diwakili oleh industri-industri milik Melayu-Bumiputera. Selain daripada perkara sukar yang menjadi cabaran bagi saya, ada juga situasi-situasi yang menyeronokan dan dilihat lebih mudah melaksanakan tugasan audit apabila pihak industri sangat mementingkan soal kualiti, keselamatan dan kebersihan produk dan premis mereka. Syabas saya ucapkan!
Biarpun jangka waktu yang diberikan adalah terlalu singkat untuk saya menimba pengalaman menjadi juru audit yang berpengalaman dan pakar, namun saya yakin pengalaman ini sebenarnya membuka ruang kepada diri saya untuk melanjutkan perbincangannya dalam kajian tesis nanti. InsyaAllah.
Secara amnya, semua orang terlibat secara langsung dalam hal-hal kualiti dan keselamatan makanan. Aktiviti penghasilan makanan dibahagikan kepada tiga peringkat. Pertama, peringkat dapur rumah. Kedua, peringkat kantin, restoran atau gerai makanan, dan ketiga peringkat industri pemprosesan makanan. Di antara ketiga-tiga peringkat ini, manusia beraktiviti secara rantaian sama ada menjadi pengusaha atau pengguna.
Dengan hal yang demikian, pemerhatian yang dilakukan sebagai juru audit ini tidak terhad kepada lokasi-lokasi yang di'tanda' sebagai industri yang memohon sijil kelayakan kualiti dan keselamatan makanan. Malah, pemerhatian itu diluaskan kepada keseluruhan aspek. Kenapa saya mengatakan demikian? Apabila aktiviti pemerhatian dan pemeriksaan hanya dihadkan kepada lokasi yang dinilai, tidak mustahil kerja-kerja kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan yang sebenarnya adalah rutin bagi setiap individu menjadi sukar untuk dilaksanakan.
Perkara inilah yang menjadi kesulitan bagi saya sewaktu menjadi juru audit kualiti dan keselamatan makanan. Dalam melakukan audit, saya perlu mempertimbangkan perkara-perkara yang menjadi integriti sebagai seorang juru audit. Tidak boleh bias dan tidak boleh ambil mudah dengan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada isu kualiti dan keselamatan makanan. Selain itu, sebagai juru audit juga perlu mendengar hal-hal yang menjadi masalah bagi pihak industri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kebanyakkan industri yang memohon untuk kelayakan sijil kualiti dan keselamatan makanan ini terdiri daripada industri kecil dan sederhana dan banyak diwakili oleh industri-industri milik Melayu-Bumiputera. Selain daripada perkara sukar yang menjadi cabaran bagi saya, ada juga situasi-situasi yang menyeronokan dan dilihat lebih mudah melaksanakan tugasan audit apabila pihak industri sangat mementingkan soal kualiti, keselamatan dan kebersihan produk dan premis mereka. Syabas saya ucapkan!
Biarpun jangka waktu yang diberikan adalah terlalu singkat untuk saya menimba pengalaman menjadi juru audit yang berpengalaman dan pakar, namun saya yakin pengalaman ini sebenarnya membuka ruang kepada diri saya untuk melanjutkan perbincangannya dalam kajian tesis nanti. InsyaAllah.
Rabu, 29 Januari 2014
Penang International Halal Expo & Conference 2014
Assalamualaikum wrt.
Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun ke-4 saya
terlibat secara langsung dalam acara tahunan expo dan conference halal yang
dianjurkan oleh Halal Penang. Acara dilangsungkan pada 17 - 19 Januari lalu
dengan bertemakan 'Halal Ingredients: The Key To Market Expansion'. Sejak
setahun lalu, saya hanya menyertai organisasi Halal Penang sebagai sekretariat
PIHEC bermula minggu terakhir persiapan acara disebabkan komitmen saya sebagai
seorang pelajar. Walau bagaimanapun, ia tetap merupakan peluang untuk menimba
pengalaman yang cukup bermakna serta penghargaan dari pihak organisasi di atas
kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada saya untuk sama-sama
menguruskan acara berperingkat antarabangsa ini.
Selama menjalani kajian dalam bidang pengurusan halal,
pengalaman dalam jangka waktu yang singkat ini memberikan sedikit sebanyak
kefahaman tentang realiti semasa keperluan untuk menyempurnakan pengurusan
industri halal. Pengurusan industri halal adalah tuntutan fardhu kifayah juga
merupakan satu cabang dalam mekanisma pengurusan pembangunan berteraskan Islam
di Malaysia. Bagaimana saya katakan pengurusan industri halal merupakan salah
satu cabang dalam mekanisma pengurusan pembangunan berteraskan Islam?
Sedikit perkongsian mengenai kemunculan disiplin pengurusan
pembangunan berteraskan Islam. Pembangunan berteraskan Islam merupakan satu
disiplin baru yang muncul pada sekitar tahun 70-an yang lalu didorong oleh dua
faktor utama. Pertama, berlaku suntikan rasa kesedaran dalam kalangan umat
Islam ekoran era kebangkitan semula Islam pada akhir dekat 60-an dan awal awal
dekat 70-an. Era kebangkitan semula Islam ini merujuk kepad komitmen umat Islam
dari aspek pengkajian, pemahaman, penghayatan, pelaksanaan dan perkembangannya.
Sejak dari itu, usaha-usaha melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam segenap
aspek kehidupan dilihat makin giat dan serius dilakukan. Kedua, walaupun pelbagai
pendekatan telah diterapkan dalam pelaksanaan Islam ini namun masih kelihatan
wujudnya kemelut-kemelut pembangunan yang semakin meruncing. Isu-isu sosial
seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, kerosakkan akhlak dan sebagainya semakin
membimbangkan. Kesannya, ia mendorong umat Islam khususnya para cendiakawan berfikir semula bentuk dan kaedah pembangunan yang seharusnya dilaksanakan. Umpamanya dalam pembangunan industri halal kini makin menunjukkan usaha serta hasrat yang cukup gigih untuk mengeluarkan makanan halal bagi menampung keperluan umat Muslim. Namun, dalam kegigihan usaha ini dilaksanakan masih tetap kedengaran isu-isu integriti halal seperti kesalahan menggunakan sijil dan logo palsu dan penggunaan bahan tidak halal bagi produk yang telah disahkan halal. Bagi penggiat industri halal mahu pun pengguna, tentunya mencari satu kaedah pembangunan yang mampu menjamin integriti dan kredibiliti pengurusan halal.
Konsep halal yang diaplikasikan dalam sistem kualiti
makanan merupakan satu konsep yang diperkenalkan oleh Islam. Dalam al-Quran,
konsep halal dinyatakan dalam surah-surah sepeti al-Baqarah (2:168), al-Maidah
(5:4-5, 87-88 & 96), an-Nisa (4:160), al-A’raaf (7:157), al-Anfal (8:69),
an-Nahl (16:114), at-Tahrim (66:1) dan al-Hajj (22:30). Selain makanan dan
minuman, halal juga disebut untuk menjelaskan persoalan yang berkaitan
muamalah, kekeluargaan, perkahwinan, kepenggunaan, dan rezeki. Maka dengan itu,
usaha menguruskan pembangunan industri halal ini tidak terlepas daripada
pelaksanaan prinsip-prinsip Islam secara menyeluruh. Ia tidak boleh
dilaksanakan sekadar melalui penerapan secara dasar yang kelak bakal merumitkan
lagi sistem pengurusan dengan pelbagai masalah sosial. Tidak hairanlah kenapa aplikasi halal dalam urusan harian khususnya pengenalpastian makanan dan barang gunaan halal tidak mampu membentuk keperibadian muslim yang ideal.
Atas dasar ini, pengurusan pembangunan industri halal
baik dari aspek makanan mahupun perkhidmatan Islam perlu dilaksanakan melalui
prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam. Pengurusan pembangunan
berteraskan Islam merujuk kepada pengurusan pembangunan holistik yang
bertunjangkan kepada ketauhidan terhadap Allah SWT, dan berlandaskan tasawur
Islam serta bersumberkan epistemologi Islam. Pelaksanaan pengurusan ini menyatukan aspek
material dan spiritual dan menggunakan penilaian fikizal dan roh secara sepadu.
Tanpanya, usaha pembangunan industri halal dilihat tidak sempurna dan tidak
mampu menyelesaikan masalah berkaitan akhlak muslim dan pengurusan berkaitan Islam.
Dalam mengamati realiti
kehidupan sekarang, tanpa sedar usaha gigih untuk memartabatkan Islam dalam
segenap aspek kehidupan dengan pengabaian aspek kerohaniah semasa menjalani aktiviti
pengurusan telah mengundang pelbagai masalah. Sebagai satu ilmu baru,
pelaksanaan pengurusan pembangunan berteraskan Islam dalam aktiviti pengurusan industri
halal ini tentunya mempunyai banyak lompang untuk diperbaikan dan boleh
diperkemaskan lagi. Pelaksanaan ini sangat memerlukan sokongan dan usaha dari semua pihak di semua peringkat. InsyaAllah, ia bakal direalisasikan dengan bantuan dan izin Allah SWT beserta keredhaan Nya untuk jaminan saham di dunia dan juga di akhirat.
Wallahu'alam.
Rujukan
Fadzila Azni Ahmad. (2010). Kaedah pengurusan institusi pembangunan
berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti,
Universiti Teknologi MARA.
Muhamad Syukri Salleh.
(2003). Tujuh prinsip pembangunan
berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.
![]() |
| Bersama team sekretariat PIHEC dan selebriti jemputan Chef 'Ammar |
Selasa, 21 Januari 2014
FESYEN MUSLIMAH: ADAKAH REKAANNYA SUDAH HILANG SENTUHAN ROH SYARIAT ISLAM?
ARE MUSLIM FASHION LOSING THEIR ISLAMIC TOUCH?
Norazilawati Md Dahlal
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
norazilawatimddahlal@gmail.com
Terkini
dalam industri fesyen telah mendedahkan satu bentuk fesyen berpakaian yang
dilabelkan sebagai fesyen Muslimah, iaitu fesyen berpakaian yang sesuai dengan
wanita Islam. Namun begitu, lambakan rekaan fesyen seperti ini dikatakan telah
menimbulkan kekeliruan bagi sebahagian besar golongan wanita Islam mengenai
tuntutan berpakaian mengikut syariat
Islam. Persoalannya, adakah bentuk fesyen Muslimah yang mengikut tuntutan syariat? Sejauh manakah fesyen Muslimah
sedia ada dalam industri ini memenuhi piawaian syariat Islam? Bagaimanakah respons pengguna Islam terhadap rekaan
fesyen Muslimah yang kini menjadi keperluan dalam kehidupan?
Artikel ini
ditulis bagi tujuan membincangkan tentang lambakan fesyen Muslimah masa kini.
Perbincangan ini dilakukan bagi menghuraikan sama ada fesyen Muslimah kini
benar-benar memenuhi kehendak dan piawaian Islam atau sekadar fesyen tempelan
berjenamakan ‘Islam’. Perbincangan dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama,
perbincangan mengenai sejarah berpakaian menurut epistemologi Islam. Kedua,
artikel ini memuatkan perbincangan mengenai isu-isu penyelewengan piawaian
fesyen Islam yang dicemari oleh unsur-unsur fesyen Barat. Ketiga, rumusan
mengenai keselarian konsep fesyen Muslimah terkini berdasarkan aspek tasawur
Islam.
Sejarah Fesyen Pakaian Islam
Antara nikmat Allah
SWT kepada kaum manusia, pakaian merupakan salah satu kurniaan Nya yang sangat
besar. Secara fizikalnya, pakaian bukan sahaja mempunyai manfaat serta penting
untuk melindungi tubuh badan manusia daripada sebarang bahaya alam sekitar
seperti cuaca dan sinaran UV daripada cahaya matahari. Malah, hikmah perintah
berpakaian ini dapat memberi manfaat dari aspek spiritual manusia. Kepelbagaian
jenis dan cara berpakaian dapat melambangkan kekuasaan yang dimiliki seseorang.
Dari aspek perspektif sosial, pakaian mempunyai tiga fungsi iaitu, 1) pakaian
dapat membezakan identiti seseorang; 2) pakaian dapat menggambarkan perilaku
seseorang dan mengelak dari diganggu; 3) pakaian dapat memelihara emosi
seseorang daripada dipermainkan oleh orang yang melihatnya. Sementara dari
aspek Islam, pakaian berfungsi sebagai ibadah menutup aurat. Dengan itu,
identiti seseorang Muslim dapat dibezakan daripada seorang yang bukan Islam
melalui pakaiannya.
Sejarah fesyen
pakaian menurut epistemologi Islam bermula ketika manusia pertama diciptakan
oleh Allah SWT iaitu Nabi Adam a.s dan Hawa. Ketika di syurga, Allah SWT telah
mengurniakan pakaian yang indah dan agung untuk menambahkan kewibawaan makhluk
manusia di hadapan para malaikat. Menyorot tentang sejarah kehidupan Nabi Adam a.s
dan Hawa di syurga ketika manusia terawal ini melakukan kesilapan pertama
dengan melanggar perintah Allah SWT mendekati pohon larangan Nya, Nabi Adam a.s
dan Hawa merasa malu dan berusaha menutupi aurat masing-masing dengan
menggunakan daun-daun pohon syurga. Melalui kisah ini, ternyatalah bahawa aurat
menutup tubuh daripada pandangan orang lain merupakan fitrah manusia. Maka
dengan itu, perbuatan membuka aurat ialah satu perbuatan yang melawan fitrah,
menimbulkan rasa malu dan sekali gus melawan perintah Allah SWT.
Aspek fesyen
berpakaian telah berkembang mengikut peredaran masa. Pada zaman Rasulullah SAW,
seni berpakaian pada ketika itu menggambarkan fesyen pakaian mengikut Islam.
Fesyen ini terus menjadi ikutan dan panduan umat Islam sehingga kini. Menurut
beberapa catatan hadis, Rasulullah SAW gemar mengenakan pakaian yang diperbuat
daripada benang bulu biri-biri dan berwarna putih. Fesyen seperti ini bukan
menunjukkan Rasulullah SAW terlalu daif dalam pemilihan fesyen untuk dijadikan
ikutan dalam fesyen Islam seperti mana yang dimaksudkan oleh segolongan peminat
fesyen. Fesyen Rasulullah SAW menggambarkan sifat dan keperibadian sebenar
baginda yang kemudiannya menjadi ikutan sunah untuk mengekalkan hikmah
berpakaian menurut Islam. Fesyen pakaian seperti mana contoh sunah Rasulullah
SAW adalah secara sederhana dan tidak melampau perhiasannya, bersih, kemas dan
melambangkan kezuhudan peribadi serta kerendahan hati. Sementara fesyen bagi
golongan wanita pada zaman Rasulullah SAW ialah berupa seluar panjang dan baju
berbelah di leher. Sesuai dengan keadaan iklim dan persekitaran masyarakat Arab
ketika itu, fesyen ini dibenarkan selagi mana pakaian tersebut memenuhi
piawaian berpakaian menurut syariat
Islam. Sebelum meninggalkan rumah, mereka akan mengenakan tudung untuk
melindungi bahagian kepada dan rambut.
Fesyen berpakaian
terus berubah mengikut zaman dan gaya persekitaran masyarakat tertentu.
Walaupun bagaimanapun, konsep asal berpakaian berdasarkan sunah Rasulullah SAW
tetap menjadi panduan seperti mana yang dinyatakan sebelum ini. Dalam etika
berpakaian pula, ajaran Islam membenarkan umatnya untuk memakai apa juga
pakaian kecuali yang diharamkan oleh syariat.
Contoh pengharaman dari aspek pakaian seperti diharamkan sutera bagi lelaki dan
diharamkan memakai pakaian yang menyerupai kaum lain. Panduan fesyen Islam
lebih mengutamakan adab dalam berpakaian. Allah SWT telah menetapkan garis
panduan dan piawaian berpakaian seperti mana yang difirmankan dalam al-Quran
yang bermaksud:
“Wahai nabi, katakanlah (suruhlah)
isteri-isteri dan anak-anak perempuan mu serta perempuan-perempuan beriman,
supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar), cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai
perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan
(ingatlah) Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (al-Ahzab 33:59)
Pada zaman Umayyah dan ‘Abassiyah, banyak pengaruh telah meresap dalam etika pemakaian
umat Islam. Kesan penaklukan di setiap wilayah telah menyebabkan rakyat
tempatan yang memeluk Islam cuba untuk menyelarikan fesyen pakaian tempatan
dengan kehendak berpakaian mengikut piawaian Islam. Wujud pengaruh fesyen gaya
mewah pada ketika itu apabila golongan wanita zaman ‘Abassiyah memakai tudung dengan bertatahkan batu permata dan
juntaian emas. Perkembangan fesyen mula tercetus sejak awal kurun ke-15.
Pembeli boleh menentukan rekaan dan corak pada pakaian mereka. Penentuan corak
dan warna pakaian berdasarkan kepada kreativiti sendiri.
Isu Fesyen Muslimah Masa Kini
Fesyen dalam
berpakaian merupakan satu gaya yang digunakan dan diterima oleh semua lapisan
masyarakat. Kemudian, fesyen tersebut menjadi ikutan dalam kelompok masyarakat
tertentu. Fesyen juga mempunyai gaya yang khusus dan berubah mengikut peredaran
zaman kesan daripada kecanggihan teknologi maklumat, komunikasi dan mobilisasi
manusia seluruh dunia. Menurut fesyen Islam, bentuk atau cara pakaian tidak
ditentukan secara khusus, baik ketika beribadah atau di luar ibadah. Fesyen
Islam hanya menekankan etika dan adab berpakaian seperti bersih, menutup aurat
dengan sempurna, sopan dan sesuai dengan keperibadian dan akhlak seorang
Muslim. Namun begitu, tamadun Islam telah memberi pengaruh penting dalam
pembentukan etika fesyen pakaian masyarakat Islam masa kini. Walau apa pun
fesyen yang ingin digayakan, fesyen pakaian Islam masih terikat dengan konsep
fesyen mengikut syariat dan
menjadikan pakaian sebagai ibadah serta tidak boleh menyebabkan dosa sama ada
kepada si pemakai atau orang di sekitarnya.
Dewasa ini,
kemajuan teknologi banyak memberi impak dalam perkembangan fesyen pakaian telah
menyebabkan dunia berhadapan dengan cabaran-cabaran yang disogokkan dalam dunia
fesyen berunsurkan hiburan. Fesyen pakaian berunsurkan hiburan ini menonjolkan
kecantikan fizikal melebihi implikasi dan manfaatnya dari aspek spiritual
manusia. Ironinya, ramai pengguna khususnya pengguna Islam makin keliru tentang
konsep fesyen Islam yang sebenar. Kini, masyarakat Muslim dilonggokkan dengan
jutaan jenis dan gaya fesyen ‘Islam’ yang telah dicemari oleh unsur-unsur
fesyen barat. Lebih meruncingkan, pengguna fesyen Islam tidak lagi mengendahkan
kecantikan sebenar yang digariskan oleh piawaian syariat Islam. Penyelewengan fesyen ‘Islam’ seperti ini telah
merebak dalam dunia masyarakat Islam dengan melalui pesta-pesta fesyen sehingga
tanpa disedari fenomena ini telah memuliakan fesyen dan gaya terbaru sehingga
sanggup menjual agamanya.
Berdasarkan
kefahaman kemajuan sekular, Negara Barat dijadikan model dan rujukan untuk
membentuk kemajuan dalam bidang fesyen pakaian Islam. Fesyen Islam ini lebih
tertumpu pada fesyen Muslimah atau fesyen untuk wanita Islam. Pada asasnya, kod
dan etika pemakaian wanita Islam lebih jelas dan mudah difahami dengan menggunakan
konsep perhiasan cantik, menutup aurat, sopan dan sederhana atau tidak
melampau. Namun, label pada perkembangan fesyen Islam kini kelihatan hanya
merujuk kepada unsur-unsur tamadun dan masyarakat Arab tanpa mengambil kira
panduan yang ditetapkan Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis
Rasulullah SAW serta memahami manfaat konsep fesyen Islam dari sudut spiritual
manusia. Aspek yang ditekan dalam fesyen tempelan ‘Islam’ ini hanya merujuk
kepada aspek material, aspek kesenian masyarakat Arab dan aspek bentuk serta
gaya yang lazim diamalkan dalam masyarakat Arab zaman lampau.
Isu seperti ini
menjadi kebimbangan apabila rekaan fesyen yang menggunakan label fesyen
Muslimah atau fesyen Islam telah dipertontonkan di pentas peragaan sehingga ke
pentas antarabangsa. Oleh sebab aspek fizikal menjadi fokus utama dalam
perkembangan industri fesyen pakaian, para peminat dan pereka fesyen telah
mengabaikan matlamat sebenar tuntutan berpakaian serta tujuan menghasilkan dan
mereka cipta sesuatu fesyen untuk Muslimah. Matlamat asal berpakaian dan
menghasilkan pakaian adalah sebahagian daripada memenuhi tuntutan fardu
kifayah. Namun, bagi memenuhi ledakan kemajuan dalam industri fesyen
antarabangsa, aspek Islam atau halal telah menjadi medium pemasaran yang cukup
signifikan kerana aspek ini secara tidak langsung dapat melambangkan konsep
baik, sempurna dan menepati ciri-ciri feminin atau kesopanan seorang wanita.
Akibat tersasarnya matlamat fesyen seperti ini menyebabkan konsep fesyen
Muslimah telah dieksploitasi untuk tujuan keuntungan dan pengiktirafan manusia
semata-mata.
Merujuk kepada
hasil tinjauan dan penelitian terhadap laman-laman sesawang fesyen terkini,
objektif utama penghasilan rekaan fesyen adalah untuk ‘menzahirkan gaya elegan
dan lebih berani untuk menonjolkan diri dalam berfesyen’. Tujuan penetapan
panduan berfesyen dan menutup aurat kepada manusia bukanlah sekadar untuk
menyembunyikan tubuh badan atau menonjolkan diri dengan gaya menarik, tetapi ia
merangkumi aspek tasawur berpakaian dan berfesyen atas tujuan sebagai ibadah.
Jelas di sini, hubung kait fesyen Muslimah sedia dengan konsep berpakaian
menurut Islam sudah jauh tersasar. Pembinaan tasawur fesyen Muslimah banyak
memperlihatkan ketidakselariannya dari aspek tasawur Islam iaitu menjadikan Allah
SWT sebagai matlamat utama dalam berfesyen; manusia sebagai pengguna ada pereka
fesyen yang tidak menjadikan aspek lain selain keredaan Allah SWT dalam
berfesyen; dan menggunakan sumber penghasilan fesyen Muslimah sebagai makhluk
Allah SWT yang wajib digunakan untuk tujuan yang baik. Allah SWT telah
menjelaskan bahawa fesyen Islam sebenar adalah merupakan ‘pakaian takwa’
seperti mana yang difirmankan dalam al-Quran yang bermaksud:
“Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah
menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian
perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (al-‘Araaf
7:26)
Galakan industri
fesyen Muslimah semakin bertambah dengan wujudnya cadangan rekaan fesyen
berunsur Islam yang berkonsepkan ‘up-to-date’.
Konsep sebegini digunakan sebagai satu platform yang mudah kepada penghijrahan
golongan wanita Islam khususnya dari aspek berpakaian. Sebagai contoh, wanita
Islam yang biasa tidak mengenakan tudung sama ada di dalam atau luar rumah akan
mudah membuat penghijrahan diri ke arah menutup aurat atau bertudung apabila
konsep bertudung telah difesyenkan mengikut tren. Dengan fesyen terkini yang
menampilkan fesyen bertudung tidak lagi menyebabkan pengguna menggunakan alasan
bertudung sebagai fesyen ketinggalan zaman atau fesyen lapuk. Namun apabila
menilai dan meneliti fesyen berpakaian dengan hanya meningkatkan gred (upgrade) material dan gaya fesyen,
hasrat murni menutup aurat belum cukup untuk mencapai matlamat utama
mendapatkan keredaan Allah serta mendapatkan kesan dari aspek spiritual dan
akhlak Muslimah. Biarpun fesyen terkini dihadirkan lengkap menutup keseluruhan
badan termasuk bertudung, tetapi kebanyakan yang terdapat dalam industri ini
adalah berbentuk ‘membungkus badan’. Malah ia juga mewujudkan unsur-unsur tabarruj dan al-kaasiaat al-‘aariyaat iaitu berpakaian tetapi bertelanjang. Ada
ketika, amalan mengenakan fesyen Muslimah ini hanya dilakukan mengikut musim
dan tempat tertentu.
Akhir sekali,
terdapat dua elemen yang menjadi rumusan kepada isu fesyen Muslimah masa kini.
Pertama; dari aspek epistemologi Islam, tuntutan dan panduan berpakaian menurut
syariat Islam telah termaktub dalam sumber-sumber utama Islam iaitu al-Quran
dan Hadis. Panduan berpakaian yang dijelaskan dalam al-Quran dan Hadis
merangkumi konsep menutup aurat, sederhana, bersih, kemas dan tidak melampau
dalam perhiasan. Kedua; panduan yang dinyatakan tersebut belum cukup tanpa melahirkan
tasawur berfesyen mengikut tasawur Islam. Biarpun fesyen dan gaya pakaian itu
berubah mengikut situasi dan kebiasaan dalam sesuatu kelompok masyarakat,
dengan berpandukan syariat Islam dan
akhlak Islam, pembentukan tasawur penghasilan rekaan fesyen dan penggunaan
fesyen dapat menghubungkan konsep Tauhid dan pengabdian diri kepada Allah SWT.
Fesyen Muslimah bukan sekadar untuk kecantikan semata-mata, bahkan dapat
disertakan matlamat mendapat keredaan Allah SWT dan akhlak Muslimah yang ideal.
Langgan:
Catatan (Atom)
Post Terbaru untuk 2025!
Assalamualaikum semua. Aku kembali menulis lagi. Aku rindu zaman aku suka menulis dulu. Terus dari hati. Sekarang aku nak menulis pun susah...
-
Assalamualaikum semua. Aku kembali menulis lagi. Aku rindu zaman aku suka menulis dulu. Terus dari hati. Sekarang aku nak menulis pun susah...
-
Balik kerja tadi, saya duduk berehat. Penat. Berfikir-fikirlah saya macamana cara maintain mood study . Apa alat bantu supaya saya berdedik...
-
Alhamdulillah, tugasan sebagai seorang pelajar sarjana sudah menghampiri ke penghujung. Syukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia da...



