Assalamualaikum wrt.
Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun ke-4 saya
terlibat secara langsung dalam acara tahunan expo dan conference halal yang
dianjurkan oleh Halal Penang. Acara dilangsungkan pada 17 - 19 Januari lalu
dengan bertemakan 'Halal Ingredients: The Key To Market Expansion'. Sejak
setahun lalu, saya hanya menyertai organisasi Halal Penang sebagai sekretariat
PIHEC bermula minggu terakhir persiapan acara disebabkan komitmen saya sebagai
seorang pelajar. Walau bagaimanapun, ia tetap merupakan peluang untuk menimba
pengalaman yang cukup bermakna serta penghargaan dari pihak organisasi di atas
kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada saya untuk sama-sama
menguruskan acara berperingkat antarabangsa ini.
Selama menjalani kajian dalam bidang pengurusan halal,
pengalaman dalam jangka waktu yang singkat ini memberikan sedikit sebanyak
kefahaman tentang realiti semasa keperluan untuk menyempurnakan pengurusan
industri halal. Pengurusan industri halal adalah tuntutan fardhu kifayah juga
merupakan satu cabang dalam mekanisma pengurusan pembangunan berteraskan Islam
di Malaysia. Bagaimana saya katakan pengurusan industri halal merupakan salah
satu cabang dalam mekanisma pengurusan pembangunan berteraskan Islam?
Sedikit perkongsian mengenai kemunculan disiplin pengurusan
pembangunan berteraskan Islam. Pembangunan berteraskan Islam merupakan satu
disiplin baru yang muncul pada sekitar tahun 70-an yang lalu didorong oleh dua
faktor utama. Pertama, berlaku suntikan rasa kesedaran dalam kalangan umat
Islam ekoran era kebangkitan semula Islam pada akhir dekat 60-an dan awal awal
dekat 70-an. Era kebangkitan semula Islam ini merujuk kepad komitmen umat Islam
dari aspek pengkajian, pemahaman, penghayatan, pelaksanaan dan perkembangannya.
Sejak dari itu, usaha-usaha melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam segenap
aspek kehidupan dilihat makin giat dan serius dilakukan. Kedua, walaupun pelbagai
pendekatan telah diterapkan dalam pelaksanaan Islam ini namun masih kelihatan
wujudnya kemelut-kemelut pembangunan yang semakin meruncing. Isu-isu sosial
seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, kerosakkan akhlak dan sebagainya semakin
membimbangkan. Kesannya, ia mendorong umat Islam khususnya para cendiakawan berfikir semula bentuk dan kaedah pembangunan yang seharusnya dilaksanakan. Umpamanya dalam pembangunan industri halal kini makin menunjukkan usaha serta hasrat yang cukup gigih untuk mengeluarkan makanan halal bagi menampung keperluan umat Muslim. Namun, dalam kegigihan usaha ini dilaksanakan masih tetap kedengaran isu-isu integriti halal seperti kesalahan menggunakan sijil dan logo palsu dan penggunaan bahan tidak halal bagi produk yang telah disahkan halal. Bagi penggiat industri halal mahu pun pengguna, tentunya mencari satu kaedah pembangunan yang mampu menjamin integriti dan kredibiliti pengurusan halal.
Konsep halal yang diaplikasikan dalam sistem kualiti
makanan merupakan satu konsep yang diperkenalkan oleh Islam. Dalam al-Quran,
konsep halal dinyatakan dalam surah-surah sepeti al-Baqarah (2:168), al-Maidah
(5:4-5, 87-88 & 96), an-Nisa (4:160), al-A’raaf (7:157), al-Anfal (8:69),
an-Nahl (16:114), at-Tahrim (66:1) dan al-Hajj (22:30). Selain makanan dan
minuman, halal juga disebut untuk menjelaskan persoalan yang berkaitan
muamalah, kekeluargaan, perkahwinan, kepenggunaan, dan rezeki. Maka dengan itu,
usaha menguruskan pembangunan industri halal ini tidak terlepas daripada
pelaksanaan prinsip-prinsip Islam secara menyeluruh. Ia tidak boleh
dilaksanakan sekadar melalui penerapan secara dasar yang kelak bakal merumitkan
lagi sistem pengurusan dengan pelbagai masalah sosial. Tidak hairanlah kenapa aplikasi halal dalam urusan harian khususnya pengenalpastian makanan dan barang gunaan halal tidak mampu membentuk keperibadian muslim yang ideal.
Atas dasar ini, pengurusan pembangunan industri halal
baik dari aspek makanan mahupun perkhidmatan Islam perlu dilaksanakan melalui
prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam. Pengurusan pembangunan
berteraskan Islam merujuk kepada pengurusan pembangunan holistik yang
bertunjangkan kepada ketauhidan terhadap Allah SWT, dan berlandaskan tasawur
Islam serta bersumberkan epistemologi Islam. Pelaksanaan pengurusan ini menyatukan aspek
material dan spiritual dan menggunakan penilaian fikizal dan roh secara sepadu.
Tanpanya, usaha pembangunan industri halal dilihat tidak sempurna dan tidak
mampu menyelesaikan masalah berkaitan akhlak muslim dan pengurusan berkaitan Islam.
Dalam mengamati realiti
kehidupan sekarang, tanpa sedar usaha gigih untuk memartabatkan Islam dalam
segenap aspek kehidupan dengan pengabaian aspek kerohaniah semasa menjalani aktiviti
pengurusan telah mengundang pelbagai masalah. Sebagai satu ilmu baru,
pelaksanaan pengurusan pembangunan berteraskan Islam dalam aktiviti pengurusan industri
halal ini tentunya mempunyai banyak lompang untuk diperbaikan dan boleh
diperkemaskan lagi. Pelaksanaan ini sangat memerlukan sokongan dan usaha dari semua pihak di semua peringkat. InsyaAllah, ia bakal direalisasikan dengan bantuan dan izin Allah SWT beserta keredhaan Nya untuk jaminan saham di dunia dan juga di akhirat.
Wallahu'alam.
Rujukan
Fadzila Azni Ahmad. (2010). Kaedah pengurusan institusi pembangunan
berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti,
Universiti Teknologi MARA.
Muhamad Syukri Salleh.
(2003). Tujuh prinsip pembangunan
berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.
Bersama team sekretariat PIHEC dan selebriti jemputan Chef 'Ammar |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan