Rabu, 30 April 2014

Makanan Halal, Selamat & Berkualiti

Bismillah.

Alhamdulillah! Dalam tempoh 2 bulan dan 2 minggu, saya berpeluang menimba pengalaman dan ilmu dalam skop bidang kerja yang berbeza daripada sebelum ini. Dengan izin-Nya, saya diterima untuk turut serta dalam kumpulan audit keselamatan dan kualiti makanan di Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Alhamdulillah! Dengan izin-Nya, saya telah berdaftar sebagai pelajar doktor falsafah di Universiti Sains Malaysia. Impiannya untuk meneroka lebih luas tentang makanan halal baru di 'pintu masuk'. Permulaan untuk mengemukaan cadangan penyelidikan masih kabur. Namun, dengan peluang yang tersedia dalam bidang audit keselamatan dan kualiti makanan ini, insyaAllah diharap ia mampu memberi pencerahan.

Sedikit perkongsian untuk semua mengenai pengalaman dalam bidang audit keselamatan dan kualiti makanan. 

Sistem jaminan kualiti dan keselamatan makanan yang difokuskan semasa bertugas di JKN ialah Makanan Selamat Tanggungjawab Industri atau MeSTI. Sepanjang tempoh perkhidmatan kontrak ini, saya berjaya melawati hampir 26 industri makanan untuk diberi bimbingan dan melakukan audit terhadap premis yang menjalankan pemprosesan makanan. 

Pada asasnya, sistem jaminan MeSTI merupakan satu rumusan ringkas yang memenuhi keperluan wajib Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Sistem jaminan ini mempunyai sekurang-kuranya dua bahagian khusus. Pertama, bahagian infrastruktur premis dan kedua, program jaminan keselamatan makanan. 

Dalam industri penghasilan makanan, keperluan untuk mematuhi peraturan dan undang-undang kualiti dan keselamatan makanan adalah wajib berdasarkan kepada panduan-panduan yang telah ditetapkan. Apabila mengalami sendiri secara 'turun lapangan', saya merasakan tugasan sebagai juru audit kualiti dan keselamatan makanan ini bukanlah satu tugasan yang mudah. Lebih-lebih lagi ketika mana terpaksa berurusan dengan masyarakat setempat.

Secara amnya, semua orang terlibat secara langsung dalam hal-hal kualiti dan keselamatan makanan. Aktiviti penghasilan makanan dibahagikan kepada tiga peringkat. Pertama, peringkat dapur rumah. Kedua, peringkat kantin, restoran atau gerai makanan, dan ketiga peringkat industri pemprosesan makanan. Di antara ketiga-tiga peringkat ini, manusia beraktiviti secara rantaian sama ada menjadi pengusaha atau pengguna.

Dengan hal yang demikian, pemerhatian yang dilakukan sebagai juru audit ini tidak terhad kepada lokasi-lokasi yang di'tanda' sebagai industri yang memohon sijil kelayakan kualiti dan keselamatan makanan. Malah, pemerhatian itu diluaskan kepada keseluruhan aspek. Kenapa saya mengatakan demikian? Apabila aktiviti pemerhatian dan pemeriksaan hanya dihadkan kepada lokasi yang dinilai, tidak mustahil kerja-kerja kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan yang sebenarnya adalah rutin bagi setiap individu menjadi sukar untuk dilaksanakan.

Perkara inilah yang menjadi kesulitan bagi saya sewaktu menjadi juru audit kualiti dan keselamatan makanan. Dalam melakukan audit, saya perlu mempertimbangkan perkara-perkara yang menjadi integriti sebagai seorang juru audit. Tidak boleh bias dan tidak boleh ambil mudah dengan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada isu kualiti dan keselamatan makanan. Selain itu, sebagai juru audit juga perlu mendengar hal-hal yang menjadi masalah bagi pihak industri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kebanyakkan industri yang memohon untuk kelayakan sijil kualiti dan keselamatan makanan ini terdiri daripada industri kecil dan sederhana dan banyak diwakili oleh industri-industri milik Melayu-Bumiputera. Selain daripada perkara sukar yang menjadi cabaran bagi saya, ada juga situasi-situasi yang menyeronokan dan dilihat lebih mudah melaksanakan tugasan audit apabila pihak industri sangat mementingkan soal kualiti, keselamatan dan kebersihan produk dan premis mereka. Syabas saya ucapkan!

Biarpun jangka waktu yang diberikan adalah terlalu singkat untuk saya menimba pengalaman menjadi juru audit yang berpengalaman dan pakar, namun saya yakin pengalaman ini sebenarnya membuka ruang kepada diri saya untuk melanjutkan perbincangannya dalam kajian tesis nanti. InsyaAllah.



Rabu, 29 Januari 2014

Penang International Halal Expo & Conference 2014

Assalamualaikum wrt.

Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun ke-4 saya terlibat secara langsung dalam acara tahunan expo dan conference halal yang dianjurkan oleh Halal Penang. Acara dilangsungkan pada 17 - 19 Januari lalu dengan bertemakan 'Halal Ingredients: The Key To Market Expansion'. Sejak setahun lalu, saya hanya menyertai organisasi Halal Penang sebagai sekretariat PIHEC bermula minggu terakhir persiapan acara disebabkan komitmen saya sebagai seorang pelajar. Walau bagaimanapun, ia tetap merupakan peluang untuk menimba pengalaman yang cukup bermakna serta penghargaan dari pihak organisasi di atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada saya untuk sama-sama menguruskan acara berperingkat antarabangsa ini.

Selama menjalani kajian dalam bidang pengurusan halal, pengalaman dalam jangka waktu yang singkat ini memberikan sedikit sebanyak kefahaman tentang realiti semasa keperluan untuk menyempurnakan pengurusan industri halal. Pengurusan industri halal adalah tuntutan fardhu kifayah juga merupakan satu cabang dalam mekanisma pengurusan pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Bagaimana saya katakan pengurusan industri halal merupakan salah satu cabang dalam mekanisma pengurusan pembangunan berteraskan Islam?

Sedikit perkongsian mengenai kemunculan disiplin pengurusan pembangunan berteraskan Islam. Pembangunan berteraskan Islam merupakan satu disiplin baru yang muncul pada sekitar tahun 70-an yang lalu didorong oleh dua faktor utama. Pertama, berlaku suntikan rasa kesedaran dalam kalangan umat Islam ekoran era kebangkitan semula Islam pada akhir dekat 60-an dan awal awal dekat 70-an. Era kebangkitan semula Islam ini merujuk kepad komitmen umat Islam dari aspek pengkajian, pemahaman, penghayatan, pelaksanaan dan perkembangannya. Sejak dari itu, usaha-usaha melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam segenap aspek kehidupan dilihat makin giat dan serius dilakukan. Kedua, walaupun pelbagai pendekatan telah diterapkan dalam pelaksanaan Islam ini namun masih kelihatan wujudnya kemelut-kemelut pembangunan yang semakin meruncing. Isu-isu sosial seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, kerosakkan akhlak dan sebagainya semakin membimbangkan. Kesannya, ia mendorong umat Islam khususnya para cendiakawan berfikir semula bentuk dan kaedah pembangunan yang seharusnya dilaksanakan. Umpamanya dalam pembangunan industri halal kini makin menunjukkan usaha serta hasrat yang cukup gigih untuk mengeluarkan makanan halal bagi menampung keperluan umat Muslim. Namun, dalam kegigihan usaha ini dilaksanakan masih tetap kedengaran isu-isu integriti halal seperti kesalahan menggunakan sijil dan logo palsu dan penggunaan bahan tidak halal bagi produk yang telah disahkan halal. Bagi penggiat industri halal mahu pun pengguna, tentunya mencari satu kaedah pembangunan yang mampu menjamin integriti dan kredibiliti pengurusan halal.

Konsep halal yang diaplikasikan dalam sistem kualiti makanan merupakan satu konsep yang diperkenalkan oleh Islam. Dalam al-Quran, konsep halal dinyatakan dalam surah-surah sepeti al-Baqarah (2:168), al-Maidah (5:4-5, 87-88 & 96), an-Nisa (4:160), al-A’raaf (7:157), al-Anfal (8:69), an-Nahl (16:114), at-Tahrim (66:1) dan al-Hajj (22:30). Selain makanan dan minuman, halal juga disebut untuk menjelaskan persoalan yang berkaitan muamalah, kekeluargaan, perkahwinan, kepenggunaan, dan rezeki. Maka dengan itu, usaha menguruskan pembangunan industri halal ini tidak terlepas daripada pelaksanaan prinsip-prinsip Islam secara menyeluruh. Ia tidak boleh dilaksanakan sekadar melalui penerapan secara dasar yang kelak bakal merumitkan lagi sistem pengurusan dengan pelbagai masalah sosial. Tidak hairanlah kenapa aplikasi halal dalam urusan harian khususnya pengenalpastian makanan dan barang gunaan halal tidak mampu membentuk keperibadian muslim yang ideal.

Atas dasar ini, pengurusan pembangunan industri halal baik dari aspek makanan mahupun perkhidmatan Islam perlu dilaksanakan melalui prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam. Pengurusan pembangunan berteraskan Islam merujuk kepada pengurusan pembangunan holistik yang bertunjangkan kepada ketauhidan terhadap Allah SWT, dan berlandaskan tasawur Islam serta bersumberkan epistemologi Islam.  Pelaksanaan pengurusan ini menyatukan aspek material dan spiritual dan menggunakan penilaian fikizal dan roh secara sepadu. Tanpanya, usaha pembangunan industri halal dilihat tidak sempurna dan tidak mampu menyelesaikan masalah berkaitan akhlak muslim dan pengurusan berkaitan Islam.

Dalam mengamati realiti kehidupan sekarang, tanpa sedar usaha gigih untuk memartabatkan Islam dalam segenap aspek kehidupan dengan pengabaian aspek kerohaniah semasa menjalani aktiviti pengurusan telah mengundang pelbagai masalah. Sebagai satu ilmu baru, pelaksanaan pengurusan pembangunan berteraskan Islam dalam aktiviti pengurusan industri halal ini tentunya mempunyai banyak lompang untuk diperbaikan dan boleh diperkemaskan lagi. Pelaksanaan ini sangat memerlukan sokongan dan usaha dari semua pihak di semua peringkat. InsyaAllah, ia bakal direalisasikan dengan bantuan dan izin Allah SWT beserta keredhaan Nya untuk jaminan saham di dunia dan juga di akhirat.

Wallahu'alam.

Rujukan

Fadzila Azni Ahmad. (2010). Kaedah pengurusan institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti, Universiti Teknologi MARA.
Muhamad Syukri Salleh. (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.



Bersama team sekretariat PIHEC dan selebriti jemputan Chef 'Ammar

Selasa, 21 Januari 2014

FESYEN MUSLIMAH: ADAKAH REKAANNYA SUDAH HILANG SENTUHAN ROH SYARIAT ISLAM?

ARE MUSLIM FASHION LOSING THEIR ISLAMIC TOUCH?

Norazilawati Md Dahlal
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
norazilawatimddahlal@gmail.com


Terkini dalam industri fesyen telah mendedahkan satu bentuk fesyen berpakaian yang dilabelkan sebagai fesyen Muslimah, iaitu fesyen berpakaian yang sesuai dengan wanita Islam. Namun begitu, lambakan rekaan fesyen seperti ini dikatakan telah menimbulkan kekeliruan bagi sebahagian besar golongan wanita Islam mengenai tuntutan berpakaian mengikut syariat Islam. Persoalannya, adakah bentuk fesyen Muslimah yang mengikut tuntutan syariat? Sejauh manakah fesyen Muslimah sedia ada dalam industri ini memenuhi piawaian syariat Islam? Bagaimanakah respons pengguna Islam terhadap rekaan fesyen Muslimah yang kini menjadi keperluan dalam kehidupan?

Artikel ini ditulis bagi tujuan membincangkan tentang lambakan fesyen Muslimah masa kini. Perbincangan ini dilakukan bagi menghuraikan sama ada fesyen Muslimah kini benar-benar memenuhi kehendak dan piawaian Islam atau sekadar fesyen tempelan berjenamakan ‘Islam’. Perbincangan dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, perbincangan mengenai sejarah berpakaian menurut epistemologi Islam. Kedua, artikel ini memuatkan perbincangan mengenai isu-isu penyelewengan piawaian fesyen Islam yang dicemari oleh unsur-unsur fesyen Barat. Ketiga, rumusan mengenai keselarian konsep fesyen Muslimah terkini berdasarkan aspek tasawur Islam.

Sejarah Fesyen Pakaian Islam

Antara nikmat Allah SWT kepada kaum manusia, pakaian merupakan salah satu kurniaan Nya yang sangat besar. Secara fizikalnya, pakaian bukan sahaja mempunyai manfaat serta penting untuk melindungi tubuh badan manusia daripada sebarang bahaya alam sekitar seperti cuaca dan sinaran UV daripada cahaya matahari. Malah, hikmah perintah berpakaian ini dapat memberi manfaat dari aspek spiritual manusia. Kepelbagaian jenis dan cara berpakaian dapat melambangkan kekuasaan yang dimiliki seseorang. Dari aspek perspektif sosial, pakaian mempunyai tiga fungsi iaitu, 1) pakaian dapat membezakan identiti seseorang; 2) pakaian dapat menggambarkan perilaku seseorang dan mengelak dari diganggu; 3) pakaian dapat memelihara emosi seseorang daripada dipermainkan oleh orang yang melihatnya. Sementara dari aspek Islam, pakaian berfungsi sebagai ibadah menutup aurat. Dengan itu, identiti seseorang Muslim dapat dibezakan daripada seorang yang bukan Islam melalui pakaiannya.

Sejarah fesyen pakaian menurut epistemologi Islam bermula ketika manusia pertama diciptakan oleh Allah SWT iaitu Nabi Adam a.s dan Hawa. Ketika di syurga, Allah SWT telah mengurniakan pakaian yang indah dan agung untuk menambahkan kewibawaan makhluk manusia di hadapan para malaikat. Menyorot tentang sejarah kehidupan Nabi Adam a.s dan Hawa di syurga ketika manusia terawal ini melakukan kesilapan pertama dengan melanggar perintah Allah SWT mendekati pohon larangan Nya, Nabi Adam a.s dan Hawa merasa malu dan berusaha menutupi aurat masing-masing dengan menggunakan daun-daun pohon syurga. Melalui kisah ini, ternyatalah bahawa aurat menutup tubuh daripada pandangan orang lain merupakan fitrah manusia. Maka dengan itu, perbuatan membuka aurat ialah satu perbuatan yang melawan fitrah, menimbulkan rasa malu dan sekali gus melawan perintah Allah SWT.

Aspek fesyen berpakaian telah berkembang mengikut peredaran masa. Pada zaman Rasulullah SAW, seni berpakaian pada ketika itu menggambarkan fesyen pakaian mengikut Islam. Fesyen ini terus menjadi ikutan dan panduan umat Islam sehingga kini. Menurut beberapa catatan hadis, Rasulullah SAW gemar mengenakan pakaian yang diperbuat daripada benang bulu biri-biri dan berwarna putih. Fesyen seperti ini bukan menunjukkan Rasulullah SAW terlalu daif dalam pemilihan fesyen untuk dijadikan ikutan dalam fesyen Islam seperti mana yang dimaksudkan oleh segolongan peminat fesyen. Fesyen Rasulullah SAW menggambarkan sifat dan keperibadian sebenar baginda yang kemudiannya menjadi ikutan sunah untuk mengekalkan hikmah berpakaian menurut Islam. Fesyen pakaian seperti mana contoh sunah Rasulullah SAW adalah secara sederhana dan tidak melampau perhiasannya, bersih, kemas dan melambangkan kezuhudan peribadi serta kerendahan hati. Sementara fesyen bagi golongan wanita pada zaman Rasulullah SAW ialah berupa seluar panjang dan baju berbelah di leher. Sesuai dengan keadaan iklim dan persekitaran masyarakat Arab ketika itu, fesyen ini dibenarkan selagi mana pakaian tersebut memenuhi piawaian berpakaian menurut syariat Islam. Sebelum meninggalkan rumah, mereka akan mengenakan tudung untuk melindungi bahagian kepada dan rambut.

Fesyen berpakaian terus berubah mengikut zaman dan gaya persekitaran masyarakat tertentu. Walaupun bagaimanapun, konsep asal berpakaian berdasarkan sunah Rasulullah SAW tetap menjadi panduan seperti mana yang dinyatakan sebelum ini. Dalam etika berpakaian pula, ajaran Islam membenarkan umatnya untuk memakai apa juga pakaian kecuali yang diharamkan oleh syariat. Contoh pengharaman dari aspek pakaian seperti diharamkan sutera bagi lelaki dan diharamkan memakai pakaian yang menyerupai kaum lain. Panduan fesyen Islam lebih mengutamakan adab dalam berpakaian. Allah SWT telah menetapkan garis panduan dan piawaian berpakaian seperti mana yang difirmankan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuan mu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (al-Ahzab 33:59)

Pada zaman Umayyah dan ‘Abassiyah, banyak pengaruh telah meresap dalam etika pemakaian umat Islam. Kesan penaklukan di setiap wilayah telah menyebabkan rakyat tempatan yang memeluk Islam cuba untuk menyelarikan fesyen pakaian tempatan dengan kehendak berpakaian mengikut piawaian Islam. Wujud pengaruh fesyen gaya mewah pada ketika itu apabila golongan wanita zaman ‘Abassiyah memakai tudung dengan bertatahkan batu permata dan juntaian emas. Perkembangan fesyen mula tercetus sejak awal kurun ke-15. Pembeli boleh menentukan rekaan dan corak pada pakaian mereka. Penentuan corak dan warna pakaian berdasarkan kepada kreativiti sendiri.

Isu Fesyen Muslimah Masa Kini

Fesyen dalam berpakaian merupakan satu gaya yang digunakan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Kemudian, fesyen tersebut menjadi ikutan dalam kelompok masyarakat tertentu. Fesyen juga mempunyai gaya yang khusus dan berubah mengikut peredaran zaman kesan daripada kecanggihan teknologi maklumat, komunikasi dan mobilisasi manusia seluruh dunia. Menurut fesyen Islam, bentuk atau cara pakaian tidak ditentukan secara khusus, baik ketika beribadah atau di luar ibadah. Fesyen Islam hanya menekankan etika dan adab berpakaian seperti bersih, menutup aurat dengan sempurna, sopan dan sesuai dengan keperibadian dan akhlak seorang Muslim. Namun begitu, tamadun Islam telah memberi pengaruh penting dalam pembentukan etika fesyen pakaian masyarakat Islam masa kini. Walau apa pun fesyen yang ingin digayakan, fesyen pakaian Islam masih terikat dengan konsep fesyen mengikut syariat dan menjadikan pakaian sebagai ibadah serta tidak boleh menyebabkan dosa sama ada kepada si pemakai atau orang di sekitarnya.

Dewasa ini, kemajuan teknologi banyak memberi impak dalam perkembangan fesyen pakaian telah menyebabkan dunia berhadapan dengan cabaran-cabaran yang disogokkan dalam dunia fesyen berunsurkan hiburan. Fesyen pakaian berunsurkan hiburan ini menonjolkan kecantikan fizikal melebihi implikasi dan manfaatnya dari aspek spiritual manusia. Ironinya, ramai pengguna khususnya pengguna Islam makin keliru tentang konsep fesyen Islam yang sebenar. Kini, masyarakat Muslim dilonggokkan dengan jutaan jenis dan gaya fesyen ‘Islam’ yang telah dicemari oleh unsur-unsur fesyen barat. Lebih meruncingkan, pengguna fesyen Islam tidak lagi mengendahkan kecantikan sebenar yang digariskan oleh piawaian syariat Islam. Penyelewengan fesyen ‘Islam’ seperti ini telah merebak dalam dunia masyarakat Islam dengan melalui pesta-pesta fesyen sehingga tanpa disedari fenomena ini telah memuliakan fesyen dan gaya terbaru sehingga sanggup menjual agamanya.

Berdasarkan kefahaman kemajuan sekular, Negara Barat dijadikan model dan rujukan untuk membentuk kemajuan dalam bidang fesyen pakaian Islam. Fesyen Islam ini lebih tertumpu pada fesyen Muslimah atau fesyen untuk wanita Islam. Pada asasnya, kod dan etika pemakaian wanita Islam lebih jelas dan mudah difahami dengan menggunakan konsep perhiasan cantik, menutup aurat, sopan dan sederhana atau tidak melampau. Namun, label pada perkembangan fesyen Islam kini kelihatan hanya merujuk kepada unsur-unsur tamadun dan masyarakat Arab tanpa mengambil kira panduan yang ditetapkan Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW serta memahami manfaat konsep fesyen Islam dari sudut spiritual manusia. Aspek yang ditekan dalam fesyen tempelan ‘Islam’ ini hanya merujuk kepada aspek material, aspek kesenian masyarakat Arab dan aspek bentuk serta gaya yang lazim diamalkan dalam masyarakat Arab zaman lampau.

Isu seperti ini menjadi kebimbangan apabila rekaan fesyen yang menggunakan label fesyen Muslimah atau fesyen Islam telah dipertontonkan di pentas peragaan sehingga ke pentas antarabangsa. Oleh sebab aspek fizikal menjadi fokus utama dalam perkembangan industri fesyen pakaian, para peminat dan pereka fesyen telah mengabaikan matlamat sebenar tuntutan berpakaian serta tujuan menghasilkan dan mereka cipta sesuatu fesyen untuk Muslimah. Matlamat asal berpakaian dan menghasilkan pakaian adalah sebahagian daripada memenuhi tuntutan fardu kifayah. Namun, bagi memenuhi ledakan kemajuan dalam industri fesyen antarabangsa, aspek Islam atau halal telah menjadi medium pemasaran yang cukup signifikan kerana aspek ini secara tidak langsung dapat melambangkan konsep baik, sempurna dan menepati ciri-ciri feminin atau kesopanan seorang wanita. Akibat tersasarnya matlamat fesyen seperti ini menyebabkan konsep fesyen Muslimah telah dieksploitasi untuk tujuan keuntungan dan pengiktirafan manusia semata-mata.

Merujuk kepada hasil tinjauan dan penelitian terhadap laman-laman sesawang fesyen terkini, objektif utama penghasilan rekaan fesyen adalah untuk ‘menzahirkan gaya elegan dan lebih berani untuk menonjolkan diri dalam berfesyen’. Tujuan penetapan panduan berfesyen dan menutup aurat kepada manusia bukanlah sekadar untuk menyembunyikan tubuh badan atau menonjolkan diri dengan gaya menarik, tetapi ia merangkumi aspek tasawur berpakaian dan berfesyen atas tujuan sebagai ibadah. Jelas di sini, hubung kait fesyen Muslimah sedia dengan konsep berpakaian menurut Islam sudah jauh tersasar. Pembinaan tasawur fesyen Muslimah banyak memperlihatkan ketidakselariannya dari aspek tasawur Islam iaitu menjadikan Allah SWT sebagai matlamat utama dalam berfesyen; manusia sebagai pengguna ada pereka fesyen yang tidak menjadikan aspek lain selain keredaan Allah SWT dalam berfesyen; dan menggunakan sumber penghasilan fesyen Muslimah sebagai makhluk Allah SWT yang wajib digunakan untuk tujuan yang baik. Allah SWT telah menjelaskan bahawa fesyen Islam sebenar adalah merupakan ‘pakaian takwa’ seperti mana yang difirmankan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (al-‘Araaf 7:26)

Galakan industri fesyen Muslimah semakin bertambah dengan wujudnya cadangan rekaan fesyen berunsur Islam yang berkonsepkan ‘up-to-date’. Konsep sebegini digunakan sebagai satu platform yang mudah kepada penghijrahan golongan wanita Islam khususnya dari aspek berpakaian. Sebagai contoh, wanita Islam yang biasa tidak mengenakan tudung sama ada di dalam atau luar rumah akan mudah membuat penghijrahan diri ke arah menutup aurat atau bertudung apabila konsep bertudung telah difesyenkan mengikut tren. Dengan fesyen terkini yang menampilkan fesyen bertudung tidak lagi menyebabkan pengguna menggunakan alasan bertudung sebagai fesyen ketinggalan zaman atau fesyen lapuk. Namun apabila menilai dan meneliti fesyen berpakaian dengan hanya meningkatkan gred (upgrade) material dan gaya fesyen, hasrat murni menutup aurat belum cukup untuk mencapai matlamat utama mendapatkan keredaan Allah serta mendapatkan kesan dari aspek spiritual dan akhlak Muslimah. Biarpun fesyen terkini dihadirkan lengkap menutup keseluruhan badan termasuk bertudung, tetapi kebanyakan yang terdapat dalam industri ini adalah berbentuk ‘membungkus badan’. Malah ia juga mewujudkan unsur-unsur tabarruj dan al-kaasiaat al-‘aariyaat iaitu berpakaian tetapi bertelanjang. Ada ketika, amalan mengenakan fesyen Muslimah ini hanya dilakukan mengikut musim dan tempat tertentu.


Akhir sekali, terdapat dua elemen yang menjadi rumusan kepada isu fesyen Muslimah masa kini. Pertama; dari aspek epistemologi Islam, tuntutan dan panduan berpakaian menurut syariat Islam telah termaktub dalam sumber-sumber utama Islam iaitu al-Quran dan Hadis. Panduan berpakaian yang dijelaskan dalam al-Quran dan Hadis merangkumi konsep menutup aurat, sederhana, bersih, kemas dan tidak melampau dalam perhiasan. Kedua; panduan yang dinyatakan tersebut belum cukup tanpa melahirkan tasawur berfesyen mengikut tasawur Islam. Biarpun fesyen dan gaya pakaian itu berubah mengikut situasi dan kebiasaan dalam sesuatu kelompok masyarakat, dengan berpandukan syariat Islam dan akhlak Islam, pembentukan tasawur penghasilan rekaan fesyen dan penggunaan fesyen dapat menghubungkan konsep Tauhid dan pengabdian diri kepada Allah SWT. Fesyen Muslimah bukan sekadar untuk kecantikan semata-mata, bahkan dapat disertakan matlamat mendapat keredaan Allah SWT dan akhlak Muslimah yang ideal.

Isnin, 28 Oktober 2013

Penghasilan Produk Halal Tanggungjawab Muslim

Muslim's Responsibilities in Producing Halal Product
Dewan Ekonomi, September 2013, pg: 21-23





Ahad, 20 Oktober 2013

Kuasa Mencipta Manusia Dalam 'The Island'

-The Island-

Satu filem ringkas bergenre science fiction menceritakan situasi kehendak manusia melebihi keperluan. Filem ini menggambarkan fenomena pada zaman akan datang sekitar tahun 2019 berlaku di dunia barat. Penggunaan teknologi pada ketika itu telah menyebabkan pemisahkan hakikat kejadian manusia daripada dua elemen ini. Pertama, pemisahan hakikat kejadian manusia mempunyai jiwa dan roh selain fizikal tubuh badan. Kedua, pemisahan hakikat manusia diciptakan yang wajib berakhir dengan kematian.

Dari sudut lain, filem ini menzahirkan realiti zaman akan datang yang lebih maju dan lebih moden dengan pergantungan hidup sepenuhnya terhadap kemajuan sains dan teknologi. Seiring dengannya, manusia kelihatan sudah hilang nilai kemanusiaan kerana terlalu taksub untuk memiliki kuasa dan ekonomi. Dengan kuasa ekonomi, bukan sahaja taraf hidup semakin serba mewah malah ia juga mampu menjamin kelangsungan hidup tanpa halangan kesakitan, kemelaratan dan kematian. Sebagai bukti, teknologi yang dibayangkan melalui filem ini dapat mencipta satu bentuk perniagaan sains teknologi dengan memberikan perkhidmatan jaminan kesihatan yang menghasilkan produk klon manusia daripada manusia sebagai klien bagi mendapatkan polisi kesihatan mereka. Produk manusia klon ini dihasilkan dengan jangka waktu yang singkat dan memenuhi segala kriteria kehendak manusia klien terutama sekali dari aspek kesihatan. Manusia klon telah dijaga dan dikuarantinkan sepenuhnya daripada pencemaran alam diluar koloni klon tersebut. Tanpa disangkal lagi, pencemaran alam tersebut adalah hasil daripada kemajuan dunia yang tiada had serta hasil buatan manusia klien itu sendiri.

Bagi manusia klien pula, kuasa ekonomi digunakan untuk mendapatkan polisi jaminan kesihatan, melanjutkan umur dan memanjangkan tempoh keseronokan dunia tanpa batasan nilai. Keadaan inilah yang menyebabkan berlakukan pemisahan kepercayaan terhadap hakikat kejadian manusia yang dinyatakan di awal perbincangan. Di akhir filem tersebut, hakikat kejadian manusia tersebut merupakan suatu kebenaran biarpun dunia berlalu jauh melangkaui kemajuan sains dan teknologi sedia ada.

Daripada tontonan filem berdurasi 136 minit ini, banyak isu boleh dimanfaatkan lebih-lebih lagi dalam realiti kehidupan kini menuju ke suatu matlamat seperti yang diceritakan kecuali bagi golongan manusia yang dinyatakan dalam surah al-'Asr ayat 2 dan 3**.Walaupun pada awal penceritaan filem ini memisahkan kehidupan daripada kepercayaan kepada Tuhan, namun tanpa sedar pada plot klimaks filem konsep ketuhanan ditimbulkan kesan daripada konflik yang tercetus.

** "Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang beriman dan mengerjakan amal saleh dan saling menasihati dalam kebenaran dan saling menasihati dalam kesabaran" (al-'Asr 103: 2-3)

Walau bagaimanapun, filem ini tampak lebih menarik jika diteliti dan difahami hakikat kejadian manusia dari sudut Islam. Biarpun secara jelas tujuan penyampaian dan matlamat filem ini jauh menyimpang dari kepercayaan dan keyakinan diri kepada Allah SWT dan nilai-nilai Islam, sebagai seorang Muslim yang peduli umat tidak wajar sekiranya unsur-unsur penyebaran seperti ini diketepikan atau disingkirkan terus. Pada pemerhatian penulis, terdapat sekurang-kurangnya dua faktor kenapa perlunya filem-filem konvensional seperti ini diteliti dan dikongsikan bersama melalui huraian kritikan atau penelitian berdasarkan perspektif Islam. Pertama, kebejatan masalah sosial terutamanya umat Islam yang dilihat makin membimbangkan impak penularan fahaman konvensional tanpa had. Kedua, penyebaran atau pendedahkan fahaman konvensional seperti ini kini lebih mudah dan cepat diperolehi atau ditonton melalui kemajuan teknologi dan konsep dunia tanpa sempadan.

Aspek yang paling ketara dalam plot cerita filem ini adalah matlamat kehidupan manusia. Bagi manusia klien, matlamat kehidupan mereka adalah semata-mata untuk meraih sebanyak mungkin kemewahan hidup sehingga mampu untuk melabur jutaan dolar dalam mendapatkan polisi jaminan kesihatan diri tanpa ada kebergantungan kepada kuasa mutlak Pencipta manusia dan alam semesta. Keadaan ini juga menggambarkan aplikasi ekonomi kapitalis di mana segala bentuk usaha, modal, alat dan buruh digunakan sepenuhnya demi memperkayakan diri. Walaupun kemajuan telah dicapai, namun masih wujud kehidupan manusia yang miskin, tertindas dan terpisah daripada kehidupan mewah di kota. Sama seperti yang berlaku dalam koloni manusia klon. Manusia 'sebenar' yang mengetuai dan menjalankan perniagaan produk klon manusia ini telah mengusai keseluruhan operasi dan berhak menentukan sesuatu keputusan. Sementara manusia klon pula, diciptakan dan dibentukkan padanya satu-satunya matlamat hidup dengan mencapai habuan atau 'loteri' untuk hidup bebas di pulau yang dikatakan bersih, cantik dan indah.  Hakikatnya, tanpa sedar manusia klon yang dipercayai tidak mempunyai jiwa dicipta khusus untuk memenuhi keperluan kehendak dan permintaan manusia klien. Sementara matlamat habuan bebas di pulau 'The Island' itu hanyalah bayangan yang dibuat-buat demi menyembunyikan matlamat utama operasi perniagaan tersebut.

Penulis yakin banyak lagi isu yang dapat dimanfaat dalam perbincangan bandingan seperti ini. Akhir sekali, menerima sambil meneliti atau mengkritik adalah lebih baik dan selamat daripada menerima tanpa berfikir. Menerima dengan manfaat pula adalah lebih baik dari menolak terus kerana sesiapa pun tidak dapat menahan penyebaran fahaman dan kepercayaan selain Islam melainkan dengan izin Allah SWT.

Mohon perkongsian jika ada tambahan dan cambahan ilmu.

Wallahu'alam.

Khamis, 10 Oktober 2013

Ia sekadar minuman biasa sahaja!

Kefahaman bagi kebanyakkan orang ramai, makanan halal adalah makanan yang tidak mengandungi unsur khinzir dan alkohol. Lazimnya, salah faham begini ini berlaku dalam kalangan pengusaha dan pengguna bukan Muslim. Benarkah begitu?

Ada satu situasi di mana pengguna Muslim sendiri yang mengambil atau memakan makanan atau minuman yang tidak pasti status kehalalannya dengan tanpa rasa keraguan. Lebih malang lagi makanan (dan minimum) tersebut disediakan oleh pengusaha bukan Muslim. Barangkali ini adalah antara alasannya; ‘Ia cuma minuman biasa yang pastinya tidak memabukkan’, ‘Makanan ini diambil sejak dahulu lagi, kenapa sekarang mahu persoalkan status halal haramnya?’.

Memahami tentang perubahan gaya hidup dan perkembangan penggunaan teknologi, sudah pasti citarasa, bentuk dan jenis makanan juga dapat berkembang merentasi sempadan negara. Lihat saja dimana-mana tempat serata negeri, pelbagai bentuk dan jenis makanan dengan citarasa yang berbeza mewakili negara asal makanan tersebut dapat diperolehi dengan mudah. Jika ketika zaman dahulu, citarasa pemakanan nenek moyang kita hanyalah bersumberkan alam semula jadi serta hasil daripada bertani dan menternak sendiri. Kalau pun sudah ada proses jual beli barang makanan dan minuman, sudah tentu makanan dan minuman tersebut dihasilkan sendiri dengan bersumberkan alam semula jadi dan disediakan secara tradisional tanpa menggunakan sebarang teknologi penambahbaikan nilai nutriti makanan tersebut.

Dengan seiringnya perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi dan sains makanan, penghasilan makanan semakin menjadi mudah dan moden bagi menampung keperluan pengguna setempat. Lama-kelamaan ia semakin berkembang untuk memenuhi permintaan bekalan luar negara. Keadaan ini memerlukan satu bentuk makanan baru yang dapat kekal atau bertahan lama dengan mengambil kira faktor-faktor penyumbang kerosakkan makanan tersebut. Antaranya ialah tindakbalas makanan terhadap suhu persekitaran yang berbeza dan tempoh masa penyimpanan makanan sebelum ia sampai kepada pengguna. Dengan itu, perkembangan ilmu teknologi telah diaplikasikan dengan menambah nilai nutrisi makanan tersebut. Antara teknologi yang sering digunakan diperingkat industri adalah proses pengawetan makanan sama ada menggunakan kaedah suhu yang tinggi, nilai pH yang rendah (berasid), humiditi yang rendah (kering) dan penambahan bahan kimia makanan yang dapat merencat pertumbuhan mikroorganisma perosak makanan. Selain bentuk makanan yang mudah disimpan atau dibawa, jenis makanan seperti ini mudah untuk disediakan dan lebih tahan lama.

Namun begitu, penggunaan bahan tambah nutrisi makanan ini lebih terdedah kepada penggunaan bahan yang mengandungi atau berasal daripada unsur khinzir dan alkohol. Misalnya khinzir adalah sejenis haiwan yang merupakan kelas najis berat dari sudut syariat Islam, mempunyai kegunaan pada keseluruhan tubuh badannya. Salah satu unsur yang lazim digunakan dalam industri kerana faktor sumbernya yang murah dan mudah diperolehi adalah lemak khinzir atau lard. Apabila lard digunakan dalam proses penyediaan bahan perisa misalannya dan produk akhir ini tidak lagi menampakkan dengan jelas kandungan unsur tidak halal ini. Maka, tidak mustahil bahan perisa ini boleh digunakan sebagai bahan tambah dalam minuman yang dianggap ia cuma minuman biasa sahaja!

Jadi, adakah anda pasti apa yng anda makan atau minum itu selamat dan suci? Tepuk dada tanya selera.

Selasa, 23 Julai 2013

Imbasan Sejarah Bukan Dongengan

_Lelah dengan penyakit hati_

Cik Lin termenung. Apa yang tak kena dengan kehidupan manusia sekarang?

Sewaktu dunia digemparkan dengan bencana alam tsunami susulan daripada gempa bumi yang melanda bumi Jepun, ia menjadi isu hangat di antara rakan-rakan sepejabat Cik Lin. Senyap seketika gosip industri hiburan. Peristiwa ini mengingatkan kami akan bencana yang sama melanda bumi Acheh. Utara Malaysia juga terkena tempiasnya. Masing-masing menyuarakan rasa gerun. Manakan tidak. Pejabat Cik Lin beroperasi di bangunan mengapai awan. Tentu sekali ia mengerikan.

Satu hari, Cik Lin ikut teman Cik Lin meronda kawasan sekitar bandar untuk mencari rumah sewa. Kawasan tepi pantai adalah kawasan yang baru dan pesat dibangunkan. Jadi, peluang mudah untuk mendapatkan rumah yang berpatutan harganya serta kemudahan adalah di kawasan sekitar tepi pantai.

'Tak nak lah saya rumah tepi pantai. Nanti ada tsunami, ke mana saya nak lari?'

Itu antara alasan yang diberikan dengan kata tidak setuju. Cik Lin terdiam dan berfikir.

Satu hari yang lain, Cik Lin beramah mesra dengan pelajar-pelajar praktikal di pejabat Cik Lin. Isunya tentang tsunami.

'Takutlah Cik Lin. Kalau tsunami datang, tak tahu kan nak lari mana!?'

'Buat apa nak takut, kita kan di atas awan. Boleh selamatlah.'

'Tak yakin juga Cik Lin, buatnya ombak tu datang tinggi, runtuh ke bangunan ni. Kat mana kita nak pergi selamatkan diri?'

Cik Lin terdiam. Kenapa mesti takut kerana Allah SWT kan ada? Monolog Cik Lin tanpa ada penjelasan yang jitu.

********

Babak yang di atas adalah salah satu adegan yang barangkali ada 'dimainkan di pentas' hidup masyarakat sekarang. Tentu sekali khusus buat masyarakat Muslim. Mari kita berfikir sejenak. Tatkala, kita yakin Allah SWT itu wujud dan Maha Berkuasa, kita masih bimbang tentang hidup dan mati yang hanya dimainkan oleh imaginasi manusia. Makin dibayangkan, makin jauh keyakinan kebergantungan hidup manusia kepada Sang Penciptanya. Bimbang kalau-kalau bayangan itu hanya dilayarkan oleh Sang Penghasut laknatullah. Mohon perlindungan Allah SWT.

Segala peristiwa alam sama ada baik atau buruk, Allah SWT jua lah yang Maha Perancang. Jadi, kenapa setiap bencana yang berlaku, manusia masih memikirkan asbab musabab kegagalan alam berlangsung dengan sempurna dan semula jadi? Bukti sainstifiklah yang menjadi alasan untuk manusia kembali tenang seusai sudah bencana berlalu. Kenapa pula tidak dipanjangkan terus kepada Kehendak Penguasa Alam? Bukankah kita orang Islam, manusia yang memegang Tauhid; Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT?

Kehidupan masyarakat sekarang sering diasak dengan kebergantungan kesahihan bukti sainstifik. Gempa bumi, tanah runtuh, tsunami dan sebagainya adalah disebabkan kegagalan alam semula jadi berlangsung dengan sebaiknya. Di akhirnya, faktor yang dikesan untuk menyelamatkan bumi daripada terus tua dimamah usia adalah berpunca daripada manusia yang rakus. Saat inilah masing-masing menuding ke arah pihak lawan. Sementara diri, sama ada berkempen memberi kesedaran moral atau terus menggembar-gemburkan isu hingga ke serata dunia.

Inilah yang dinamakan penyakit hati. Tiada sekelumit rasa sesal dan gerun akan amaran Allah SWT, kerana hati telah dialpakan dengan keenakkan hidup. Jiwa kosong tanpa diisi dengan cahaya ilmu. Setiap sudut kehidupan manusia pula disogokkan dengan cerita dogengan manusia yang mengasyikkan dan mengagumkan. Di penghujung cerita, pasti ada yang tersedar bahawa itu adalah tidak logik sama sekali. Sci-fic, action, animation, fantasy, historical, thriller; semuanya adalah rekaan mereka untuk memisahkan kepercayaan umat Islam tentang kesahihan sejarah Islam terdahulu. Biarlah hasil layar itu dicop sebagai 'tidak logik', asalkan tujuan mengasingkan kepercayaan kisah-kisah sejarah Islam dalam jiwa umatnya berhasil satu hari nanti.

Siang bagai hari, terang bagai bulan. Perkara ini telah ternyata kebenarannya.

Allah SWT telah merakamkan kisah-kisah sejarah Islam yang telah dilalui oleh umat manusia terdahulu dalam al-Qur'an untuk panduan umat manusia sekarang. Tidak syak lagi, kenapa hati manusia itu tidak takut apabila amaran bencana alam didatangkan oleh Allah SWT untuk mengingatkan hati manusia yang sentiasa lupa? Kerana fenomena 'tidak logik' yang disampaikan oleh rekaan dongeng telah menguasai jiwa manusia. Lantas, kesah asal lagi sahih yang disampaikan dalam al-Qur'an tidak dapat lagi dibezakan. Sebut saja kisah sejarah pada zaman Nabi Allah SWT yang 25 teragong, pasti telah ditonton dalam versi pelbagai genre ciptaan musuh Allah SWT yang akhirnya membuahkan persepsi 'tidak logik'. Kisah Nabi Adam as yang diturunkan dari syurga ke bumi, kisah Nabi Nuh as dengan bahteranya diselamatkan Allah SWT daripada banjir besar, kaum Nabi Lut as yang Allah SWT musnahkan dengan ribut taufan dan gempa bumi, dan kisah Nabi Musa as bersama kaum Bani Israel berdepan dengan fir'aun yang kejam. Tidak kurang juga kisah-kisah Nabi Allah SWT yang diputarbelitkan fakta sehingga ajaran Tauhid telah terpesong; Nabi Daud as, Nabi Isa as dan sebagainy.


Takutkan kematian tapi diri masih jauh dengan Allah SWT masih melakukan maksiat tanpa ada sesal dan taubat, ini adalah penunjuk kepada sumber rujukan kita. Sejarah Islam dalam al-Qur'an atau kisah manusia dalam sejarah dongeng. Takutkan kematian itu hanya dimainkan imaginasi bersumberkan dongengan 'tidak logik' tidak lagi menjadikan akidah sebagai tunjang yang kukuh.

Mengelak tanpa ilmu, pasti buntu ditengah jalan dan soalan 'kenapa?' pasti muncul. Sebaliknya menyelesaikan dengan ilmu, insyaAllah itu adalah bekalan untuk terus berhadapan dengan pelbagai perancangan Allah SWT sehingga kita dipertemukan dengan-Nya.

Wallahu'alam.


(Tazkirah Ramadhan)
Lima daripada nasihat Imam Al-Ghazali yang berbunyi;
  1. Jika berjumpa dengan yang lebih muda, ingatlah mereka itu lebih mulia daripada kita, kerana mereka belum banyak melakukan dosa daripada kita.
  2. Jika bertemu dengan yang lebih tua, ingatlah bahawa mereka adalah lebih mulia daripada kita, kerana mereka sudah lama beribadat.
  3. Jika berjumpa dengan orang 'alim, ingatlah bahawa mereka lebih mulia daripada kita, kerana lebih banyak ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahui.
  4. Jika melihat orang jahil, ingatlah bahawa mereka lebih mulia daripada kita, kerana mereka membuat dosa kerana kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.
  5. Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia kan insaf dan bertaubat atas kesalahannya, dan kita belum tentu digerakkan hati oleh Allah SWT untuk sentiasa bertaubat.

Post Terbaru untuk 2025!

 Assalamualaikum semua. Aku kembali menulis lagi. Aku rindu zaman aku suka menulis dulu. Terus dari hati. Sekarang aku nak menulis pun susah...