Sabtu, 6 Oktober 2012
Isnin, 1 Oktober 2012
Kenapa Allah SWT Kisahkan Sesuatu Dalam Sejarah Islam
Assalamualaikum
Melihat pada tajuk entry, bunyinya agak kompleks. Tapi, itulah yang saya ingin maksudkan, kenapa Allah SWT kisahkan sesuatu perkara atau hal atau cerita dalam sejarah Islam? Agak berhari-hari juga, saya berfikir akan hal ini. Cuba bertenang mencari idea, bagaimana mahu sampaikan dengan berkongsi sesuatu pada semua pembaca? Alhamdulillah, hari ini Allah SWT takdirkan saya peroleh ilham. InsyaAllah, sama-sama kita ambil manfaatnya.
Persoalannya bermula begini. Apabila memerhati sesuatu yang menjadi kelaziman dalam kehidupan manusia, ia cuma dipandang sepi tanpa kita melihat pada maksud tersiratnya. Lebih-lebih lagi dalam hal beristiqamah membuat amal makruf nahi mungkar. Sebagai contoh; saya ingin jadi seorang muslim yang baik. Tapi tatkala saya berdepan dengan orang yang cuba mencabar kesabaran saya atau memarahi saya, terutamanya dalam urusan kerja, niat dan istiqamah nak jadi baik itu tak menjadi. Kononnya, tahap kesabaran itu ada hadnya dan saya berhak 'beri pengajaran' pada orang yang buat tak baik pada saya tadi dengan alasan saya dah cuba berbuat baik. Dan sekarang, orang itu yang membuatkan saya jadi tak baik. Alangkah rendahnya nilai diri saya tetap berdiam jika selalu diuji kesabaran oleh mereka yang telah pun saya layan dengan baik. Persoalannya, adakah jalan untuk beristiqamah dalam Islam biarpun berdepan dengan situasi seperti ini, adakala ada yang mendesak diri untuk bertindak dengan cara tidak berakhlak? Jika ya, apakah buktinya? Hakikat yang saya lihat dalam hidup di luar sana, mustahil seorang itu masih mampu menjaga akhlaknya walaupun situasi seperti telah menjadi kelaziman dalam kehidupan sekarang.
InsyaAllah. Saya cuba kongsikan kisah yang disampaikan oleh guru saya, Dr Sukainah semasa kelas Pembangunan Institusi Islam semester lepas.
Kisah ini berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umar. Ada seorang pemuda yang mempunyai sebidang tanah. Satu hari, ada seorang tua membawa seekor unta memasuki kawasan tanah pemuda itu. Pemuda ini melarang orang tua ini dari memasuki kawasannya, namun orang tua itu tetap melakukannya. Pemuda ini membalingkan batu ke arah orang tua itu dengan niat untuk menakutkan orang tua itu. Tetapi, batu tersebut terkena kepala orang tua itu dan akhirnya, orang tua itu terus mati.
Dalam Islam, hukuman bagi kes jenayah terbahagi kepada 3, iaitu:
- Hudud : Hukuman yang ditetapkan dalam al-Quran, contoh berzina, merompak dan sebagainya
- Qisas : Hukuman yang melibatkan tubuh badan orang lain sama ada mati atau cedera, iaitu hukum yang sama rata
- Takzir : Hukuman yang ditetapkan oleh pemerintah
Kejadian ini berlaku tanpa sengaja si pemuda tadi. Jadi, anak-anak si tua ini membawa pemuda itu kepada Saidina Umar untuk diadili. Setelah diadili mengikut hukuman jenayah Islam, pemuda ini akan dijatuhkan hukuman balas (qisas), hukum bunuh dan dia dipenjarakan pada hari itu. Asal-usul pemuda bersalah tadi tidak diketahui oleh sesiapa pun termasuklah si anak-anak si mati dan Saidina Umar sendiri.
Sebelum pemuda itu menjalani hukumannya, dia meminta izin daripada Saidina Umar untuk pulang ke rumah untuk menyelesaikan satu urusan dengan ibunya di kampung. Permintaan pemuda itu tidak diterima oleh anak-anak si mati tadi kerana mahu menuntut hukuman balas ayah mereka. Jadi, Saidina Umar mengumumkan keizinan si pemuda ini pulang sekiranya beliau mempunyai penjamin. Tiba-tiba Abu Zar menawarkan diri untuk menjadi penjamin pemuda itu. Abu Zar adalah seorang yang tegas, dan telah tua. Pemuda itu agak terkejut dengan jaminan Abu Zar, kerana Abu Zar sendiri tidak mengenali siapakah pemuda pesalah itu. Maka, Abu Zar dipenjarakan sementara pemuda itu pulang ke kampung selama 3 hari.
Tiba waktunya hukuman hendak dijalankan, pemuda itu masih tidak datang. Abu Zar bersedia untuk menjadi ganti untuk hukuman itu. Namun, akhirnya pemuda itu datang menunaikan janjinya dan bersedia untuk dihukum seperti yang dijanjikan. Di akhir cerita ini, anak-anak si mati telah memaafkan pemuda itu, dan tiada hukuman bunuh berlaku.
Apabila Saidina Umar bertanyakan kepada pemuda itu, kenapakah lambat tiba?
Pemuda itu menjawab; ketika dalam perjalan pulang tali kudanya putus, dan dia terpaksa perlahankan perjalanan. Dia wajib pulang ke kampung kerana serahkan urusan harta anak yatim kepada ibunya.
Saidina Umar bertanya pula kepada Abu Zar, kenapa beliau berani menjamin pemuda yang tidak dikenalinya?
Abu Zar menjawab, dia bimbang sekiranya tercatatnya dalam sejarah tiada kebaikan dalam Islam, bilamana orang berhajat tidak ditunaikan. Dalam kisah ini, pemuda itu berhajat untuk pulang ke kampung untuk selesai urusannya dengan ibunya, dan Abu Zar ingin menunaikan hajat pemuda tersebut.
Saidina Umar bertanya kembali kepada pemuda itu, kenapa kamu kembali untuk terima hukuman sedangkan kamu sudah bebas untuk menyelamatkan diri kerana hakikatnya kamu tidak sengaja membunuh orang tua itu?
Pemuda itu menjawab; dia takut tercatatnya dalam sejarah Islam tak ada kesetiaan pada janji dalam Islam. Pemuda itu telah berjanji untuk pulang kembali setelah dia selesaikan urusannya di kampung.
Kemudian Saidina Umar bertanya pula kepada kedua-dua anak si mati, kenapa kamu mahu memaafkan kesalahan pemuda yang telah membunuh ayah kamu?
Anak-anak si mati itu menjawab: mereka bimbang tercatatnya dalam sejarah Islam, tiada lagi kemaafan dalam kalangan orang Muslim, meskipun kesalahan itu amat berat untuk diterima bagi keluarga si mati.
Kesimpulan bagi keseluruhan cerita ini adalah, seorang Muslim akan selalu dan terlalu fikirkan tentang Islam berbanding dirinya sendiri. Persoalan lagi, mampukah kita, seorang Muslim di akhir zaman ini mampu bertindak sedemikian? Memikirkan tentang Islam, maruah dan kebaikan Islam melebihi diri sendiri. Maka, terjawablah juga persoalan saya di awal entry ini. Inilah sejarah Islam yang menjadi bukti, keindahan Islam yang membuktikan bahawa melakukan kebaikan itu tidak merugikan malah ia sangat bermanfaat. Lebih-lebih lagi, dalam hal memperjuangkan Islam, sama ada dalam diri atau pun secara besarnya untuk ummah.
Untuk mempertahankan istiqamah, membentuk akhlak diri yang baik walaupun berdepan dengan pelbagai situasi, ujian, dugaan mahupun cabaran hidup, Islam tetap menyediakan jalan yang terbaik untuk umatnya.
Kesimpulan akhirnya, saya ingin menjadi seorang Muslim yang baik, tatkala berdepan dengan orang yang menguji kesabaran atau memarahi saya, dengan cara tunjukkan akhlak yang baik kerana untuk mempertahankan kebaikan Islam itu. Itu lebih mudah jika dibandingkan dengan berfikir hanya untuk menjaga hati sendiri, kononnya. Sejarah dulu telah buktikan, bahawa perkara ini tidak mustahil biarpun zaman telah berubah. Jadi, inilah pengorbanan bagi umat Islam sekarang untuk terus mencatatkan kisah kebaikan dalam sejarah Islam, walaupun sekecil kuman.
Alhamdulillah, segala persoalan hati saya telah terjawab. Hati saya makin bahagia dengan izin-Nya. Harap ia juga membawa manfaat pada semua.
Wallahu'lam
Wallahu'lam
Langgan:
Catatan (Atom)
MENCAPAI JIWA YANG TENANG DI TENGAH HIRUK PIKUK KEHIDUPAN
Hakikat kehidupan dunia yang fana ini adalah untuk menguji setiap makhluk berjiwa sebelum kembali ke alam akhirat yang abadi. Sebagaimana fi...
-
Tanggal 10 Ogos yang lalu, saya menjalani peringkat terakhir pengajian PhD saya iaitu viva-voce . Gementarnya hanya Tuhan saja yang tahu. D...
-
ARE MUSLIM FASHION LOSING THEIR ISLAMIC TOUCH? Norazilawati Md Dahlal Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam Pusat Pengajian Sai...
-
Alhamdulillah, tugasan sebagai seorang pelajar sarjana sudah menghampiri ke penghujung. Syukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia da...