Isnin, 24 Oktober 2011

IKHLAS : GOLONGAN ORANG TERAWAL YANG DIADILI PADA HARI KIAMAT

Assalamualaikum

Alhamdulillah. Ilmu yang memberi impak besar dalam diri saya; hari ini Allah mengirimkan ilmu kepada kami rakan-rakan kelas Dr Sukainah (Epistemologi dan Tasawwur Islam) melalui tazkirah Cikgu Abdullah. Kenapa ia memberi impak besar dalam diri saya (dan mungkin rakan-rakan lain)? Kerana sudah lama perkara ini berlegar-legar dalam minda, dalam jiwa; masih menanti dan mencari kata jawapan yang pasti.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda:
Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ada tiga (3) golongan:
(1) Orang yang mati syahid - Orang itu dihadirkan di hadapan Allah, lalu diingatkan nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepadanya. Allah bertanya: "Apakah yang engkau telah lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?". Orang itu menjawab: "Aku berjuang di jalan-Mu sehingga terbunuh". Allah berfirman: " Engkau berdusta! Kerana engkau berjuang agar disebut sebagai pemberani!" - Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka. 
(2) Orang yang mempelajari ilmu Islam - Allah memanggil seseorang yang belajar ilmu, mengajarkannya dan membaca al-Quran. Orang ini dihadirkan, lalu disebutkan kepadanya semua nikmat Allah sehingga ia mengingatinya. Allah lalu bertanya: "Apakah yang engkau telah lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?" Dia menjawab: "Aku mempelajari ilmu, lalu mengajarkannya dan membaca al-Quran." Allah berfirman: "Engkau berdusta! Kerana engkau belajar agar disebut alim, dan membaca al-Quran agar disebut qari (hafiz)". Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka. 
(3) Orang yang diberikan harta yang melimpah ruah - Allah lalu memanggil seseorang yang telah diberikan harta yang melimpah ruah. Orang ini dihadirkan dan disebut-sebutkan kepadanya nikmat-nikmat Allah swt sehingga ia mengingatinya. Allah lalu bertanya: "Apakah yang engkau telah lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?" Dia menjawab: "Aku membelanjakannya di tempat-tempat engkau kehendaki." Allah berfirman: "Engkau berdusta! Kerana engkau melakukan agar dikenalii sebagai dermawan." Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka.
(Hadis Riwayat Muslim)

Ikhlas itu maknanya terlalu subjektif dan susah pula hendak dibina, IKLAS KERANA ALLAH swt. Tiada ukuran dan tiada alat pengukur. Ada juga yang mempersoalkan bagaimana mahu IKHLAS, sedangkan apabila ditanya pastinya setiap orang ada tujuan yang berbagai kenapa dia lakukan sesuatu perkara tersebut?

Perlukah kita menyebut kata 'IKHLAS' dalam melakukan sesuatu?
  1. Saya ikhlas menyayanginya.
  2. Ini pemberian ikhlas dari saya.
  3. Kasih sayang ini ikhlas dari hati yang suci.
Fulammak, kata ikhlas banyak menggambarkan sesuatu yang murni. So sweet!

Begitulah pengajaran cerita dari hadis di atas. Hakikatnya, ikhlas bukan pada sebutan - IKHLAS atau SINCERE. Tetapi ikhlas adalah tujuan/matlamat kerana Allah Taala. Kesimpulannya;
 IKLAS = BERUSAHA + BERAMAL + BERISTIQAMAH + BERTAWAKKAL
google image
Tiada yang mudah dalam hidup ini. Selagi semua elemen ini kita laksanakan dan diperkukuhkan dengan kepercayaan kepada Allah swt tanpa putus asa dan sentiasa bersangka baik pada Allah, Allah akan pelihara kita daripada ancaman-ancamanNya.

Penulisan berikutnya, akan saya ceritakan mengenai saranan Rasulullah saw kepada Muaz untuk mencapai IKHLAS.

Wallahu'alam

Isnin, 17 Oktober 2011

MAHUKAH JADI ORANG BERJIWA BESAR?

Assalamualaikum

Orang yang berjiwa besar adalah orang yang bercita-cita besar. Orang seperti ini memiliki semangat yang besar. Baginya tiada yang mustahil (dengan izinNya) untuk dicapai. 

Ibn Rajab berkata; "Nilai seseorang ditentukan oleh cita-citanya."

Bagi sesetengah pihak menganggap, cita-cita seseorang (wanita atau lelaki) terhenti setelah berkahwin dan berkeluarga. Bermakna, setelah bergelar suami/isteri, tiada lagi cita-cita yang diperjuangkan melainkan hanya untuk keluarga. Hanya kerana tanggungjawab, ia telah mengikat diri daripada terus berjuang lebih dari itu. Tanggapan seperti ini adalah salah dan merupakan pandangan golongan yang berjiwa 'kecil'.

Apabila Allah SWT suka kepada orang yang bersemangat tinggi, Allah SWt membenci orang yang lemah semangat. Setiap kali peluang kejayaan menghampiri orang ini, ia melepaskan begitu sahaja. Alasan yang sering dikatakan adalah; 'Ini mustahil dilakukan!' - 'Ia tidak mungkin akan berlaku!'

Maka, rata-rata kita perhatikan, ramai yang memilih satu tujuan untuk melengkapi cita-cita dan impian yang dikejar. Misalannya, para wanita lebih cenderung untuk mengejar cita-cita membina kerjaya, dan sanggup mengetepikan hasrat untuk berkahwin. Begitulah sebaliknya, bagi ibubapa yang mempunyai tanggungjawab pada keluarganya. 

Sikap penuh semangat selalu dianjurkan setiap saat. Walau sesempit mana pun situasi yang menghimpit, kita tetap tidak boleh hilang semangat.
"I know I'm waiting,
Waiting for something,
Something to happen to me,
But this waiting comes with.. Trials and Challenges
Nothing in LIFE is free"    -Make Me Strong; Sami Yusuf-
 Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Kejarlah apa yang berguna untukmu, minta bantuan daripada Allah dan jangan lemah. Apabila ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: 'Kalau begini, nescaya tidak akan begitu.' Akan tetapi katakanlah: 'Ini takdir Allah untukku.' Sesungguhnya 'KALAU' akan membuka pintu syaitan." (Riwayat Muslim)
Hadis diatas menunjukkan sifat orang yang takut akan risiko. Sedangkan, untuk memperolehi sesuatu kejayaan, perlulah menghadapi risiko. 'Nothing in LIFE is free'. Risiko dalam mencapai kejayaan itulah dikatakan sebagai UJIAN (Trails and Challenges). Bagi orang yang berjiwa besar, tidak akan kalah dan tidak akan putus asa dengan ujian-ujian yang mendatang. Kerana itu, Allah SWT mengajarkan kepada kita erti tawakkal.

'Bagaimana saya mahu letakkan niat tawakkal itu pada tempat yang sepatutnya di saat saya berdepan dengan ketakutan untuk menerima risiko dalam perjuangan ini?'

Salah satu cara wujudnya rasa iman adalah sikap hidup yang memandang Allah SWT sebagai tempat menyandarkan diri dan menggantungkan harapan.
"Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu" - Al-Ikhlas:2 -
google image

Dengan itu, kesan keimanan adalah sikap husnuzhan (bersangka baik)  kepada Allah SWT dan dilarang berputus asa apabila berhadapan dengan kesusahan yang meresahkan. Maka, orang yang berjiwa besar sentiasa memiliki semangat yang besar untuk melahirkan kejayaan yang besar dalam apa jua bidang yang diceburi. Namun, apabila cita-cita/impian seseorang itu hanya untuk kebaikan dirinya, maka dia akan menjadi seorang yang ego. Jika cita-cita itu meluas sehingga meliputi sehingga seluruh rakyat di negerinya, maka ia seorang nasionalis. Akan tetapi, jika cita-citany lebih tinggi lagi sehingga meliputi seluruh manusia di muka bumi ini kerana Allah Taala, maka ia seorang wali Allah yang sangat disegani.

Mahukah kita jadi orang yang berjiwa besar?

Rujukan:
Solusi isu no.35 - 'Sihat Tanpa Maksiat'
Al-Quran dan Terjemahan
'Hadirkan Allah di Hatimu' - Muhammad Sholokhin

Isnin, 10 Oktober 2011

APA KATA IMAN KITA?

Azan Asar sudah pun berkumandang menyeru sekalian ummatnya segera menunaikan kewajiban sebagai seorang Muslim untuk menegakkan tiang agamanya. Seusai menyempurnakan solat Asar petang tadi, terdetik dihati kecil; 'Dimanakah silap diri, yang membuatkan hati sentiasa tidak tenang?'. Alhamdulillah. Hari demi hari, dengan izin Allah, Dia melorongkan jalan yang makin dipermudahkan untuk saya mengerti kepentingan hidup ini diserahkan sebulatnya kepada Allah SWT. Kisah perjalanan hidup ini akan menjadi panduan agar tiada lagi kesilapan berulang.

Usia pertengahan 20-an bukan lagi awal untuk mencari jalan yang lebih diredhai Allah, dan bukan juga terlambat untuk memperbetulkan yang tercarik. Subhanallah. Sungguh menakjubkan aturan Allah SWT yang langsung tak tercapai dek akal manusia yang sentiasa ketandusan ilmu, dan atas nama kasih sayang Tuhan pada hambaNya.

Teringat saya pada usia masih muda setahun jagung mengenal erti kehidupan berdikari. Hidup ini bebas daripada pemerhatian ibu bapa di kampung. Membawa diri dengan harapan meraih kejayaan demi membela nasib kedua orang tua itu. Tetapi, hati ini sentiasa tidak pernah berkunjung ketenangan yang berpanjangan. Untuk meluahkan, sukar untuk saya menyusunkan kata-kata bagaimana dan kenapa hati tidak tenang? Dan pada manusia, hanya diberikan dua pilihan dalam hidupnya. Mahukan BAIK atau JAHAT? Adakala, kerapuhan iman menyalahkan takdir punca keresahan hati.

'Kenapa begini jadi padaku?'

Google Image
Ada impian tidak tercapai, jiwa mudah resah.
Ada harapan tidak tertunai, jiwa makin bergelora.
Ada janji tidak dikotakan, jiwa kian merusuh.
Apa tujuan hidup ini?

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah:216-
Ayat-ayat Allah yang wajib menjadi sandaran dan dijadikan motivasi diri, selalu diperdengarkan. Namun, langsung tidak terkesan di hati. Jiwa jadi kosong. Apa yang dikejar seolah-olah menjadi sia-sia, masih belum cukup untuk mencapai kepuasan hati. Dimanakan silapnya?

Bertanyalah dengan iman kita...
"Apakah cukup segala amalan ini ikhlas Lillahitaala?
Apakah perjuangan (kerja/belajar) yang diusahakan itu, mendapat redha Allah?"
Susah! Saya bukan orang yang baik. Ilmu saya tidak cukup, saya bukan ustaz/ustazah. Maka, insyaAllah, jawapan iman adalah ILMU. Niat ikhlas, perlukan ilmu untuk mengukuhkannya. Dan pilihan manusia pada jalan kebaikan juga perlukan ilmu untuk setia beristiqamah. Jiwa menjadi 'besar' apabila diisi dengan ilmu. Menempuh dunia global yang makin liberal demi mengejar cita-cita dan kerjaya, jiwa dipasakkan dengan ilmu agar tidak mudah dipesongkan oleh keasyikan indahnya dunia.

Dan mencari keberkatan pada ilmu yang dituntut juga perlukan ILMU - ilmu mengenal dan memahami Allah SWT.
"Allahumma Yassir Wala Tu'assir Ya Karim - Ya Allah, permudahkanlah dan jangan Engkau menyukarkan, wahai Tuhan yang Maha Mulia"
[Coretan buat Sahabat-sahabat GEMS yang dirindui]

AKU & IIUM

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dah lama aku tak luangkan masa untuk coretkan sesuatu di sini. Ruangan ini dulunya ...