Friday, November 25, 2011

ADAKAH INI TUAH SAYA?

Balik kerja tadi, saya duduk berehat. Penat. Berfikir-fikirlah saya macamana cara maintain mood study. Apa alat bantu supaya saya berdedikasi dalam study. Banyak lagi tugasan saya tertangguh. Jadi, lepas solat magrib saya terus drive ke Giant Bayan Lepas seorang diri untuk beli satu meja khas untuk study. Sekilas meninjau meja-meja yang sesuai dan harga yang berpatutan, saya terus bayar barang-barang.

Saiz meja yang besar dan agak berat, saya muatkan dalam troli, buatkan saya agak 'terkedek-kedek' berjalan menolak troli melepasi lorong kaunter bayaran yang agak sempit. Dihujung kaunter ada kumpulan salesman yang sedang perhati kelakuan saya. Seorang daripada mereka datang tolong. Melepasi kaunter bayaran, troli saya dihalang. Mereka beri saya satu borang untuk menuntut hadiah percuma. Saya jadi pelik. Kenapa saya dapat hadiah? 

'Jangan takut kakak. Jom, kita ambil hadiah.'

Jujurnya, saya tidak suka terperangkap dengan helah perniagaan langsung begini. Kalau dilayan, pasti akan terperangkap. Lagipun, saya mahu pulang dengan segera. Saya dibawa ke meja kecil, dimana saya diminta untuk mengisi borang. Saya merasa was-was. Tulis je sambil berdiri.

Layanan ramah dua budak cina itu buat saya tidak sampai hati nak berkeras pergi dari situ. Saya penuhi permintaan mereka, dan kemudian saya dapat satu hadiah comel. Mug!



'Kakak kerja apa?'
'I student meh.'
'Aik, umur kakak berapa? Sudah lama ke belajar?' Ada slanga cina, yang adakala saya tidak faham.
'You guest what?'
'20?!'
'Hahaha. No la. I'm 26 meh. Baru saja belajar.'
'Kakak nampak muda la. Muka macam kanak-kanak lagi.' 

Haih, budak ni saja nak mengayat aku ni.

Begitulah cara mereka melayan saya. Begitu ramah sekali. Tapi, saya masih berjaga-jaga. Masih berpesan pada diri, agar berhati-hati agar tidak terperangkap dengan helah niaga mereka. Memandang pada layanan mereka, dan ada kata-kata yang mahu berkongsi cerita, seperti adik dan kakak. Merendah diri, mengatakan mereka ini tak pandai belajar, sebab tu kerja disitu. Saya terpaut nak selidik sebelum bertindak mau beredar secara tidak beradab, walaupun mereka berbangsa cina dan bukan Islam. Tidak adil bagi mereka.

Seorang perempuan dan seorang lelaki. Saya tak ingat nama mereka. Masih muda. Tidak seperti kebanyakkan remaja cina yang lain, mereka masih menghormati saya sebagai orang Muslim dan Melayu. Kemudian, remaja perempuan ni datang bawa satu voucher rahsia. Saya diminta untuk membukanya. Apabila saya buka voucher tu, saya langsung tidak endahkan apa yang tercatat padanya. Sebaliknya, kedua remaja tersebut begitu teruja dan mengucapkan tahniah pada saya.

Dalam fikiran saya masih meragui. Kenapa saya terpilih? Sudahlah saya dapat mug comel, inikan lagi saya bertuah mendapat Induction Halogen Cooker dan Bio-Energy Water System yang berjumlah RM6000 secara percuma. PERCUMA! Dan voucer barangan RM100. Saya masih soalkan kepada mereka. Kenapa saya terpilih? On what reason? Saya sangat hairan. Saya cuma datang membeli meja study, jumlahnya barangan yang saya beli tu kurang dari RM100. Dan saya tidak terlibat dan tidak tahu mana-mana perjanjian seperti ini.

'Kakak tahu tak pasal produk ini?'
Saya geleng.
'Kaka tak pernah tengok iklan ini kat TV?' Remaja lelaki tu terus-menerus bertanya sambil menunjukkan streamer promotion produk mereka. Saya malas nak mengaku lebih-lebih dan memang saya tak pernah tahu tentang produk AMG Italy tu. 

'Kakak jangan tipu, berdosa.' Dua orang remaja tu gelakkan saya yang masih takut-takut.
'I jarang tengok TV. I tak tau la.'
Mereka mengangguk tanda faham. Innocence ja saya tengok dua orang budak cina ni.

Makin lama mereka melayan dan terangkan apa yang perlu saya buat dan apa yang saya bakal dapat, saya jadi sedikit teruja. Tapi, minda saya ligat berfikir. Kalau ini rezeki dan hadiah buat saya, dan atau hari ini mungkin hari bertuah saya. Kenapa saya perlu pergi tanpa saya dapatkan apa yang patut dapat?

Budak lelaki cina tu terus telefon majikannya dan sahkan hadiah bertuah yang saya dapat. Dia sedang berusaha yakinkan bos dia yang saya memang bertuah, bukan disebabkan oleh tipu, atau helah atau rasuah. Dia minta saya bercakap dengan bos dia, nak pastikan saya memang pelanggan bertuah. Waktu tu, saya mulai terfikir nak miliki hadiah istimewa tu. Tapi, dalam minda saya terbayang Mak. Mak adalah penasihat utama kewangan saya. Jadi, dalam berbelanja saya begitu berhati-hati. Inikan pula mahu dapatkan hadiah bertuah, yang belum pasti kesahihannya. Saya mungkin terperangkap ala gores&menang yang TIPU. 

'Kakak tak mau ka hadiah-hadiah ni? Dalam Malaysia cuma ada 10 hadiah terpilih ini saja. Dan kakak adalah orang ketiga yang dapat'

Saya perhatikan dan dengarkan perbualan budak lelaki cina ini meyakinkan bosnya. Akal pendek saya fikir, saya memang bertuah!

'Nak. Tapi I tak perlu bayarkan?'
'Kakak boleh mohon kad kredit'
'Maaf. I tak suka berhutang.'
'Kakak ada ATM card? Bank apa? Bankcard?'

Selidik punya selidik, sekali lagi saya bertuah. Saya boleh dapatkan lagi satu hadiah kerana ada ATM card berstatus bankcard. Allahu akbar! Apakah memang saya sangat bertuah hari in? Saya hampir mempercayai segala tawaran tersebut.

'Ok. I ambil. Tapi ada tak apa-apa bayaran yang perlu I bayar? Kalau guna account bank, bayar ansur, ada interest tak?'
-Tak ada interest! Wow. Tapi boleh percaya ke ni? Tak ada agreement, tak ada sebarang surat, bahaya ni. Bertambah ligat saya berfikir.

Maka, dia pun terangkan apa yang patut saya buat untuk dapatkan hadiah yang hampir mencecah RM10,000. Dia berkira-kira di depan saya, saya perlu membayar setiap bulan RM60. Saya sudah pun membayangkan saya akan membawa pulang 3 jenis hadiah keperluan rumah yang sangat bernilai. Wah! Seronok ni. 

Saya masih tidak faham. Dia terang lagi. Saya perlu membeli satu barang iaitu barang yang paling murah beharga dalam RM2800 dan ditolak dengan voucher  RM100, saya perlu keluarkan sejumlah wang untuk dapatkan hadiah istimewa tu. 
'Maaflah. I tak ada saving sebanyak tu. I dapat gaji every month, every month juga habis bayar segala keperluan saya. I kan student lagi'

Mereka mengangguk tanda faham. Walhal saya masih tidak faham. Adakah saya memang BERTUAH dengan hadiah-hadiah tersebut? Saya tak nampak apa helah dalam perniagaan ini? Akhirnya, saya menolak saja segala tawaran istimewa itu. Walaupun kiraan tersebut menunjukkan jumlah yang kecil, tapi saya tetap akan berhutang. Hutang ini akan membeban saya di kemudian hari. Dan saya masih tidak percaya dengan keistimewaan tuah saya hari ini. Saya bimbang tuah ini akan menyesakkan saya satu hari nanti. Jadi, saya tinggalkan segala angan-angan gembira dapat membawa pulang semua barangan tersebut.

'Thanks. I lagi suka dapat mug ni saja.'

Alhamdulillah. Saya tidak terus terpaut dengan kata-kata indah bayangan palsu helah syaitan. Saya beredar tanpa ada rasa kesal. Syukur!

Pengajaran daripada pengalaman singkat ini???

Hehehe.. Kelakar!

Wednesday, November 16, 2011

RUTIN VERSUS IBADAT

Apa jua pengertian tentang amalan yang dilaksanakan sehari-hari sehingga kita mati dan dibangkitkan semula, pastikan ia berpaksikan kepada Allah dan KERANA ALLAH.


Rutin?

Ibadat?

Ramai yang lupa yang kehidupan ini hanya persinggah dan perjalanan menuju alam hakiki.

dan saya temui jawapan melalui analogi ini:

"Terdapat perbezaan yang besar antara seorang yang terjaga lewat pagi kemudian terus bergegas untuk keluar bekerja. Disebabkan kesibukan menjalankan tugas, beliau tidak berkesempatan untuk makan dan minum sehingga tibanya waktu malam, sementara seorang yang lain yang turut mengalami keadaan berlapar dan dahaga tetapi telah berniat untuk berpuasa, telah mendapat pahala daripada amalannya disebabkan niatnya, sementara orang yang pertama tidak memperoleh apa-apa sedangkan dia turut berlapar dan dahaga. Begitulah keadaannya dengan amalan-amalan kebiasaan yang lain, bilamana diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala akan memperolehi pahala dari Nya, sebaliknya jika dilakukan sebagai rutin hidup, dia tidak akan memperoleh apa-apa". (Sumber daripada SINI)










Dengan Nama Allah, yang tidak memberikan mudharat sesuatu di bumi juga
di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
 




Monday, October 24, 2011

IKHLAS : GOLONGAN ORANG TERAWAL YANG DIADILI PADA HARI KIAMAT

Assalamualaikum

Alhamdulillah. Ilmu yang memberi impak besar dalam diri saya; hari ini Allah mengirimkan ilmu kepada kami rakan-rakan kelas Dr Sukainah (Epistemologi dan Tasawwur Islam) melalui tazkirah Cikgu Abdullah. Kenapa ia memberi impak besar dalam diri saya (dan mungkin rakan-rakan lain)? Kerana sudah lama perkara ini berlegar-legar dalam minda, dalam jiwa; masih menanti dan mencari kata jawapan yang pasti.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda:
Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ada tiga (3) golongan:
(1) Orang yang mati syahid - Orang itu dihadirkan di hadapan Allah, lalu diingatkan nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepadanya. Allah bertanya: "Apakah yang engkau telah lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?". Orang itu menjawab: "Aku berjuang di jalan-Mu sehingga terbunuh". Allah berfirman: " Engkau berdusta! Kerana engkau berjuang agar disebut sebagai pemberani!" - Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka. 
(2) Orang yang mempelajari ilmu Islam - Allah memanggil seseorang yang belajar ilmu, mengajarkannya dan membaca al-Quran. Orang ini dihadirkan, lalu disebutkan kepadanya semua nikmat Allah sehingga ia mengingatinya. Allah lalu bertanya: "Apakah yang engkau telah lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?" Dia menjawab: "Aku mempelajari ilmu, lalu mengajarkannya dan membaca al-Quran." Allah berfirman: "Engkau berdusta! Kerana engkau belajar agar disebut alim, dan membaca al-Quran agar disebut qari (hafiz)". Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka. 
(3) Orang yang diberikan harta yang melimpah ruah - Allah lalu memanggil seseorang yang telah diberikan harta yang melimpah ruah. Orang ini dihadirkan dan disebut-sebutkan kepadanya nikmat-nikmat Allah swt sehingga ia mengingatinya. Allah lalu bertanya: "Apakah yang engkau telah lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?" Dia menjawab: "Aku membelanjakannya di tempat-tempat engkau kehendaki." Allah berfirman: "Engkau berdusta! Kerana engkau melakukan agar dikenalii sebagai dermawan." Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka.
(Hadis Riwayat Muslim)

Ikhlas itu maknanya terlalu subjektif dan susah pula hendak dibina, IKLAS KERANA ALLAH swt. Tiada ukuran dan tiada alat pengukur. Ada juga yang mempersoalkan bagaimana mahu IKHLAS, sedangkan apabila ditanya pastinya setiap orang ada tujuan yang berbagai kenapa dia lakukan sesuatu perkara tersebut?

Perlukah kita menyebut kata 'IKHLAS' dalam melakukan sesuatu?
  1. Saya ikhlas menyayanginya.
  2. Ini pemberian ikhlas dari saya.
  3. Kasih sayang ini ikhlas dari hati yang suci.
Fulammak, kata ikhlas banyak menggambarkan sesuatu yang murni. So sweet!

Begitulah pengajaran cerita dari hadis di atas. Hakikatnya, ikhlas bukan pada sebutan - IKHLAS atau SINCERE. Tetapi ikhlas adalah tujuan/matlamat kerana Allah Taala. Kesimpulannya;
 IKLAS = BERUSAHA + BERAMAL + BERISTIQAMAH + BERTAWAKKAL
google image
Tiada yang mudah dalam hidup ini. Selagi semua elemen ini kita laksanakan dan diperkukuhkan dengan kepercayaan kepada Allah swt tanpa putus asa dan sentiasa bersangka baik pada Allah, Allah akan pelihara kita daripada ancaman-ancamanNya.

Penulisan berikutnya, akan saya ceritakan mengenai saranan Rasulullah saw kepada Muaz untuk mencapai IKHLAS.

Wallahu'alam

Monday, October 17, 2011

MAHUKAH JADI ORANG BERJIWA BESAR?

Assalamualaikum

Orang yang berjiwa besar adalah orang yang bercita-cita besar. Orang seperti ini memiliki semangat yang besar. Baginya tiada yang mustahil (dengan izinNya) untuk dicapai. 

Ibn Rajab berkata; "Nilai seseorang ditentukan oleh cita-citanya."

Bagi sesetengah pihak menganggap, cita-cita seseorang (wanita atau lelaki) terhenti setelah berkahwin dan berkeluarga. Bermakna, setelah bergelar suami/isteri, tiada lagi cita-cita yang diperjuangkan melainkan hanya untuk keluarga. Hanya kerana tanggungjawab, ia telah mengikat diri daripada terus berjuang lebih dari itu. Tanggapan seperti ini adalah salah dan merupakan pandangan golongan yang berjiwa 'kecil'.

Apabila Allah SWT suka kepada orang yang bersemangat tinggi, Allah SWt membenci orang yang lemah semangat. Setiap kali peluang kejayaan menghampiri orang ini, ia melepaskan begitu sahaja. Alasan yang sering dikatakan adalah; 'Ini mustahil dilakukan!' - 'Ia tidak mungkin akan berlaku!'

Maka, rata-rata kita perhatikan, ramai yang memilih satu tujuan untuk melengkapi cita-cita dan impian yang dikejar. Misalannya, para wanita lebih cenderung untuk mengejar cita-cita membina kerjaya, dan sanggup mengetepikan hasrat untuk berkahwin. Begitulah sebaliknya, bagi ibubapa yang mempunyai tanggungjawab pada keluarganya. 

Sikap penuh semangat selalu dianjurkan setiap saat. Walau sesempit mana pun situasi yang menghimpit, kita tetap tidak boleh hilang semangat.
"I know I'm waiting,
Waiting for something,
Something to happen to me,
But this waiting comes with.. Trials and Challenges
Nothing in LIFE is free"    -Make Me Strong; Sami Yusuf-
 Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Kejarlah apa yang berguna untukmu, minta bantuan daripada Allah dan jangan lemah. Apabila ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: 'Kalau begini, nescaya tidak akan begitu.' Akan tetapi katakanlah: 'Ini takdir Allah untukku.' Sesungguhnya 'KALAU' akan membuka pintu syaitan." (Riwayat Muslim)
Hadis diatas menunjukkan sifat orang yang takut akan risiko. Sedangkan, untuk memperolehi sesuatu kejayaan, perlulah menghadapi risiko. 'Nothing in LIFE is free'. Risiko dalam mencapai kejayaan itulah dikatakan sebagai UJIAN (Trails and Challenges). Bagi orang yang berjiwa besar, tidak akan kalah dan tidak akan putus asa dengan ujian-ujian yang mendatang. Kerana itu, Allah SWT mengajarkan kepada kita erti tawakkal.

'Bagaimana saya mahu letakkan niat tawakkal itu pada tempat yang sepatutnya di saat saya berdepan dengan ketakutan untuk menerima risiko dalam perjuangan ini?'

Salah satu cara wujudnya rasa iman adalah sikap hidup yang memandang Allah SWT sebagai tempat menyandarkan diri dan menggantungkan harapan.
"Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu" - Al-Ikhlas:2 -
google image

Dengan itu, kesan keimanan adalah sikap husnuzhan (bersangka baik)  kepada Allah SWT dan dilarang berputus asa apabila berhadapan dengan kesusahan yang meresahkan. Maka, orang yang berjiwa besar sentiasa memiliki semangat yang besar untuk melahirkan kejayaan yang besar dalam apa jua bidang yang diceburi. Namun, apabila cita-cita/impian seseorang itu hanya untuk kebaikan dirinya, maka dia akan menjadi seorang yang ego. Jika cita-cita itu meluas sehingga meliputi sehingga seluruh rakyat di negerinya, maka ia seorang nasionalis. Akan tetapi, jika cita-citany lebih tinggi lagi sehingga meliputi seluruh manusia di muka bumi ini kerana Allah Taala, maka ia seorang wali Allah yang sangat disegani.

Mahukah kita jadi orang yang berjiwa besar?

Rujukan:
Solusi isu no.35 - 'Sihat Tanpa Maksiat'
Al-Quran dan Terjemahan
'Hadirkan Allah di Hatimu' - Muhammad Sholokhin

Monday, October 10, 2011

APA KATA IMAN KITA?

Azan Asar sudah pun berkumandang menyeru sekalian ummatnya segera menunaikan kewajiban sebagai seorang Muslim untuk menegakkan tiang agamanya. Seusai menyempurnakan solat Asar petang tadi, terdetik dihati kecil; 'Dimanakah silap diri, yang membuatkan hati sentiasa tidak tenang?'. Alhamdulillah. Hari demi hari, dengan izin Allah, Dia melorongkan jalan yang makin dipermudahkan untuk saya mengerti kepentingan hidup ini diserahkan sebulatnya kepada Allah SWT. Kisah perjalanan hidup ini akan menjadi panduan agar tiada lagi kesilapan berulang.

Usia pertengahan 20-an bukan lagi awal untuk mencari jalan yang lebih diredhai Allah, dan bukan juga terlambat untuk memperbetulkan yang tercarik. Subhanallah. Sungguh menakjubkan aturan Allah SWT yang langsung tak tercapai dek akal manusia yang sentiasa ketandusan ilmu, dan atas nama kasih sayang Tuhan pada hambaNya.

Teringat saya pada usia masih muda setahun jagung mengenal erti kehidupan berdikari. Hidup ini bebas daripada pemerhatian ibu bapa di kampung. Membawa diri dengan harapan meraih kejayaan demi membela nasib kedua orang tua itu. Tetapi, hati ini sentiasa tidak pernah berkunjung ketenangan yang berpanjangan. Untuk meluahkan, sukar untuk saya menyusunkan kata-kata bagaimana dan kenapa hati tidak tenang? Dan pada manusia, hanya diberikan dua pilihan dalam hidupnya. Mahukan BAIK atau JAHAT? Adakala, kerapuhan iman menyalahkan takdir punca keresahan hati.

'Kenapa begini jadi padaku?'

Google Image
Ada impian tidak tercapai, jiwa mudah resah.
Ada harapan tidak tertunai, jiwa makin bergelora.
Ada janji tidak dikotakan, jiwa kian merusuh.
Apa tujuan hidup ini?

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah:216-
Ayat-ayat Allah yang wajib menjadi sandaran dan dijadikan motivasi diri, selalu diperdengarkan. Namun, langsung tidak terkesan di hati. Jiwa jadi kosong. Apa yang dikejar seolah-olah menjadi sia-sia, masih belum cukup untuk mencapai kepuasan hati. Dimanakan silapnya?

Bertanyalah dengan iman kita...
"Apakah cukup segala amalan ini ikhlas Lillahitaala?
Apakah perjuangan (kerja/belajar) yang diusahakan itu, mendapat redha Allah?"
Susah! Saya bukan orang yang baik. Ilmu saya tidak cukup, saya bukan ustaz/ustazah. Maka, insyaAllah, jawapan iman adalah ILMU. Niat ikhlas, perlukan ilmu untuk mengukuhkannya. Dan pilihan manusia pada jalan kebaikan juga perlukan ilmu untuk setia beristiqamah. Jiwa menjadi 'besar' apabila diisi dengan ilmu. Menempuh dunia global yang makin liberal demi mengejar cita-cita dan kerjaya, jiwa dipasakkan dengan ilmu agar tidak mudah dipesongkan oleh keasyikan indahnya dunia.

Dan mencari keberkatan pada ilmu yang dituntut juga perlukan ILMU - ilmu mengenal dan memahami Allah SWT.
"Allahumma Yassir Wala Tu'assir Ya Karim - Ya Allah, permudahkanlah dan jangan Engkau menyukarkan, wahai Tuhan yang Maha Mulia"
[Coretan buat Sahabat-sahabat GEMS yang dirindui]

Friday, September 30, 2011

MARUAH DIRI ANUGERAH TERLALU BERHARGA

Tiada sebarang perkataan yang dilafazkan atau perbuatan yang dilakukan melainkan terdapat disisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedai menerima dan menulisnya’ – Qaaf:18

Saya agak kecewa menggunakan laman sosial facebook. Saya kecewa kerana saya berkawan/ukhwah dengan ramai orang secara tidak ikhlas. Saya merasai sakitnya cemburu hanya kerana kenyataan status rakan-rakan facebook, hasad dan dengki dgn laman orang lain. Subhanallah. Lain sungguh dari cara berkawan/berukhwah secara ‘offline’ atau ‘face-to-face’. Jadi kenapa saya perlu HIPOKRIT sekiranya sesuatu itu mempunyai keburukan melebihi kebaikan? Kenapa pula perlunya ikhlas dalam berukhwah/berkawan?

google image

Soalnya, kenapa kita terlalu mengambil berat tentang hubungan yang ‘jauh’, hubungan di alam maya, sedangkan mereka yang sekeliling kita tak pernah pun terfikir atau tidak terdetik mahu beramah mesra dan mengambil tahu. Lebih-lebih lagi, ikatan keluarga dan silaturahim dengan saudara mara. Adakala langsung tak mahu ambil kesah.

Baiklah. Kalau boleh, semua orang nak bina rangkain yang paling besar. Mahukan diri/laman sendiri diketahui satu dunia. Haaa.. Apabila saya baca artikel ‘Maruah Diri Anugerah Terlalu Berharga’, saya tidak teragak-agak mahu berkongsi, kenapa facebook boleh jadi penyakit dalam diri. Lihat hadis tersebut;
Sabda Nabi SAW : ‘Setiap umatku adalah dimaafkan (diampunkan kesilapan kesalahannya) melainkan al-Mujahirin.’ Lalu sahabat bertanya; ‘Siapakah mujahirin itu, wahai Rasulullah?’ Lantas baginda menjawab; ‘Al-Mujahirin ialah orang yang melakukan dosa dan maksiat pada malam hari (sedangkan Allah menutupnya daripada diketahui orang lain) namun apabila siang, dia sendiri yang memberitahu kepada orang lain bahawa dia telah melakukan sekian-sekian pada malam semalam’. - Al Bukhari -
ISLAM ini mudah, tapi jangan terlalu ambil mudah. Alhamdulillah bagi mereka dan hati-hati ini yang masih punyai kasih sayang Allah untuk memiliki roh Islam. Apabila saya membaca bahagian; ‘3 cara menilai kecerdikan atau kebodohan’ (ANIS bil: 167) sesungguhnya saya sangat bersetuju. Menurut kata Prof Muhaya dalam ceramah motivasinya di siaran radio IKIM.fm; ada 3 cara komunikasi iaitu 7% perkataan, 38% intonasi, 55% fisiologi.

Hal ini ada kaitan dengan perkataan yang ditulis oleh seseorang; bentuk penulisan (sms, facebook, twitter dll) juga boleh melambangkan sifat dan sikap orang yang mengutus itu sendiri. Apa jua bentuk penulisan (blog, buku, artikel dll) akan DIPERTANGGUNGJAWABKAN di hadapan Allah SWT kelak. Adakah tulisan tersebut menyumbang kepada kebaikan atau sebaliknya.

Menurut kata Dr. Nik Yusri dalam artikelnya ‘Maruah Diri Anugerah Terlalu Berharga’, jagalah maruah diri kerana kemuliaan keluarga bermula daripada akhlak peribadi individu. Sebagaimana kata Prof Muhaya; ‘macamana perangai seorang anak itu, datangnya dari ibubapanya. Jika baik ibubapa itu, baiklah anaknya’. Jadi, kalau kita sayang anak-anak zuriat keturunan kita sepertimana ibu ayah kita menjaga kita (untuk kebaikan dunia akhirat), sayangilah diri sendiri, peliharalah diri sendiri dan jagalah maruah diri; meskipun pesanan/amaran dari ibu ayah mungkin tiada lagi di dunia, lakukan lillahitaala. Allah lebih TAHU.
Allahu ‘alam...

Thursday, September 29, 2011

SEHELAI DAUN NAN HIJAU

Telah dua bulan musim hujan berlalu sehingga di mana-mana pepohon tampak hijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.

Apa khabar daun hijau?’ katanya.

Tersentak daun hijau menoleh kea rah suara yang datang.

Oh, kamu ulat! badan mu terlalu kurus dan kecil, mengapa?’ Tanya daun hijau.
Aku hampir tidak mendapat dedaun hijau untuk makananku. Bolehkah kau membantuku sahabat?’ kata ulat kecil.
Tentu..tentu..marilah ke mari.

google image

Daun hijau berfikir, jika aku memberi sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Hanya sahaja aku kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak apalah!!! Perlahan-lahan ulat menggerakan tubuhnya menuju kea rah daun hijau. Setelah makan sehingga kenyang, ulat berterima kasih kepada daun hijau yang telah merelakan sebahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat. Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih sayang dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam daun hijau. Walaupun tubuhnya kini berlubang di sana sini namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu untuk ulat kecil yang lapar itu. Tidak lama berselang ketika musim panas datang, daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan di bakar.

Apa yang berlalu adalah amat beerti dalam hidup kita sehingga kita enggan berkorban sedikit sahaja untuk orang lain? Sedangkan akhirnya semua yang ada akan mati dan segalanya akan ditinggalkan. Rela berkongsi kesenangan dan kepentingan diri sendiri memang tidak mudah, tetapi indah.

Ketika berkorban diri kita sendiri menjadi seperti daun hijau yang berlubang namun itu sebenarnya tidak mempengaruhi hidup kita. Kita akan tetap hijau, Allah akan tetap memberkati dan memelihara kita. Bagi daun hijau, berkorban merupakan satu perkara yang mengesankan dan terasa indah serta memuaskan. Ia bahagia melihat sahabatnya mampu tersenyum kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari bahawa ia tidak akan selamanya tinggal sebagai daun hijau. Suatu hari nanti ia akan kering dan jatuh.

Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Itu sebabnya isilah hidup ini dengan perbuatan-perbuatan yang baik, kasih, pengorbanan, pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.
Jadikanlah berkorban itu sebagai suatu yang menyenangkan dan membawa sukacita tersendiri bagi kita. Kita dapat berkorban dalam banyak perkara. Mendahulukan kepentingan sesama, melakukan sesuatu untuk mereka, memberikan apa yang kita punyai dan masih banyak lagi pengorbanan yang dapat kita lakukan. Yang mana sering kita lakukan? Menjadikan ulat kecil yang menerima kebaikan orang atau menjadi daum hijau yang senang memberi?????

Fikirkan!!!!!!!

SEBUAH KESEMPATAN

Ada tiga jenis manusia melihat sebuah kesempatan. Dalam pepatah Mandarin dikatakan :

Orang yang lemah, menunggu kesempatan.
Orang yang kuat, menciptakan kesempatan.
Orang yang cerdik/bijak, memanfaatkan kesempatan. 

google image


Pertama; 

Bagi orang yang lemah, bila kesempatan belum datang, dia akan menunggu dan menunggu sampai kesempatan itu datang. Apabila kesempatan belum juga datang, dia berfikir, ini memang nasibku.


Kedua; 

Bagi orang kuat, bila kesempatan belum datang, dia akan menggunakan pelbagai macam cara, kreativiti, hubungan, dan segenap kemampuannya untuk menciptakan kesempatan itu datang kepadanya.


Ketiga; 

Bagi orang cerdik/bijak, dia akan memanfaatkan kesempatan kerana dia menyedari kesempatan adalah sesuatu yang berharga, belum tentu kesempatan itu datang untuk kedua kali.


Memang pada keadaan tertentu, kadang-kadang munculnya kesempatan itu memerlukan waktu. Kita perlu menunggu sesaat, tetapi bukan dengan sikap pasif. Sebaliknya, kita menunggu kesempatan itu dengan sikap waspada, proaktif dan penuh kesediaan.

Seperti bersedianya seekor kucing yang akan menangkap tikus. Kucing harus sabar, waspada, penuh persediaan menunggu kesempatan tikus keluar dari lubang persembunyiaannya. Sebaik tikus keluar, kucing akan segera menerkam mangsanya.


Keberhasilan kucing melumpuhkan tikus adalah serangkaian proses melakukan tiga hal yang dibicarakan di atas, iaitu kemampuan menunggu kesempatan bukan secara pasif tetapi proaktif, penuh kesediaan. Apabila kesempatan tercipta, langsung dimanfaatkan.

Kesempatan merupakan salah satu factor yang harus dimiliki bagi sesiapa saja yang mahu mengembangkan diri. Tanpa kesempatan yang tersedia, tidak mungkin kita boleh sukses. Oleh itu, bila kesempatan belum datang, kita harus berusaha menciptakannya, bahkan di dalam kesulitan pun, jika kita punya kekuatan untuk berusaha terus menerus, suatu hari, kesempatan pasti akan datang.

Seperti yang dikatakan oleh ilmuan besar Albert Enstein : 'IN THE MIDDLE OF DIFFICULTY LIES OPPORTUNITIES'. Di dalam setiap kesulitan terdapat kesempatan. Pastikan dengan segenap kretiviti, kertas kerja, kesungguhan dan niat baik kita ciptakan kesempatan, manfaatkan kesempatan untuk mengembangkan diri semaksimum mungkin dan memperoleh kehidupan yang lebih baik, lebih sukses, dan lebih bererti!


Sumber:
_sesuatu_diantara_waktu_
bluesselamanya

Wednesday, September 21, 2011

ADA MASALAH, BUKAN MASALAH

(Assalamualaikum)

Manusia selama dia bernafas maka dia tidak akan pernah terlepas dari masalah. Seperti keretapi setelah melepasi satu gerabak maka gerabak lain akan 'menerkam' kamu. Dan kadang-kadang tidak mustahil masalah akan datang bertimpa-timpa. Setiap manusia memiliki masalah yang berbeza-beza, ada yang kecil, ada yang luar biasa. Namun, kamu harus yakin bahawa walau sesukar manapun masalah yang kamu hadapi saat ini pasti akan ada jalan keluar. Semuanya bergantung kepada kamu sendiri. Jika selama ini kamu merasa terbeban dengan masalah yang kamu hadapi, tak ada salahnya kamu mengikuti tips dari Robeth H. Sculler dalam bukunya yang bertajuk 'THOUGH TIMES NEVER LAST, BUT THOUGH PEOPLE DO'. Mungkin kita boleh mendapat sedikit inspirasi dari kata-katanya.

1.  Hadapi Setiap Masalah Yang Datang

Hadapi masalah yang datang dengan tenang. Jangan dilihat dari besar kecilnya masalah kamu kerana masalah kecil sekalipun jika ia tidak diselesaikan suatu saat pasti akan meledak!

2.  Jangan Mendramatiskan Masalah

Jangan membesar-besarkan masalah yang kamu hadapi kerana ia akan semakin menekan kamu dan membuat kamu menjadi tidak tenang. Sekiranya kamu bertenang maka kamu akan dapat berfikir dan meletakkan masalah tersebut dari sudut yang lebih positif.

3.  Jangan Terlalu Santai

Tidak ada salahnya melupakan sesuatu masalah yang sedang dihadapi, namun hanya sejenak sahaja. Kerana setelah kamu tenang, kamu harus memikirkan jalan keluarnya. Lagipun semakin lama kamu melupakan masalah, maka semakin banyak masalah baru yang akan muncul.

4. Jangan Emosi

Sebenarnya memang logik jika kamu emosi di saat fikiran kamu kelam kabut kerana memikirkan masalah yang sedang kamu hadapi, tetapi jangan pula berlebihan  kerana jika berlebihan akan menyebabkan kamu mengambil tindakan yang drastik. Dan yang paling penting, jangan pernah buat keputusan di saat kamu sedang emosi.

5.  Pasang Strategi

Jangan terlalu mengharapkan bantuan daripada orang lain untuk memecahkan atau menyelesaikan masalah kamu. Boleh saja minta bantuan orang lain tetapi jangan terlalu berharap. Semua di tangan kamu. Maka aturlah strategi dan rancangan sehingga masalah kamu dapat diselesaikan.

Mengamati kejadian Tuhan dapat membantu diri merasa redha
dengan apa yang telah ditentukan dalam hidupnya

Berdoa, Redha dan Tawakkal

Sebagai seorang muslim, adalah menjadi kewajiban kita menyerahkan segala urusan kepada yang lebih Maha Mengetahui. Berdoa adalah senjata bagi orang muslim, berdoalah! Dengan berdoa kita dapat meletakkan harapan itu kepada Allah SWT. Dan akhir sekali, segala bentuk usaha telah kamu ambil untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah tersebut, kamu haruslah bertawakkal pada Allah. InsyaAllah Allah masih memandang kamu dan mendengar doa kamu, meskipun kita adalah manusia yang selalu melakukan kesalahan padaNya.

Berzikirlah dengan Doa Nabi Yunus:
"La Illaha Illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minaz Zalimin"

Wallahua'alam 

Saturday, September 17, 2011

PEMBERSIHAN JIWA

Proses pembersihan jiwa ini haruslah menuruti beberapa langkah seperti berikut :-


  1. Taubat
  2. Muraqabah
  3. Munasabah
  4. Mujahadah

Surah Yusuf : 53
" Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku. Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku maha Pengampun lagi Penyayang."

Seorang pendidik haruslah terlebih dahulu membimbing manusia kepada Tuhannya. Menerusi pembersihan jiwa, akan lahirlah akhlak-akhlak Islam yang menjadi penyuluh kepada jiwa para murid.

~~~Sorry for any inconvenience. This website is under construction~~~

PERJALANAN PHD MENJADIKAN AKU SEORANG INSAN

Tanggal 10 Ogos yang lalu, saya menjalani peringkat terakhir pengajian PhD saya iaitu viva-voce . Gementarnya hanya Tuhan saja yang tahu. D...